in

22 Pereka Fesyen Warnai ADIWARNA RUNWAY Di Alamanda

Edisi sulung ADIWARNA RUNWAY melabuhkan tirai di Alamanda Shopping Centre pada 13 September lalu selepas berlangsung selama empat hari bersempena sambutan Hari Malaysia.

Dianjurkan oleh Alamanda Shopping Centre dengan kerjasama Malaysian Official Designers’ Association (MODA) Malaysia, acara yang berlangsung dari 10 hingga 13 September itu menghimpunkan 22 pereka fesyen, persembahan muzik secara langsung serta pelbagai aktivasi berkaitan fesyen dan komuniti.

Acara pembukaan menampilkan rekaan daripada pereka fesyen tempatan yang menggunakan tekstil eksklusif bercetak khas, diinspirasikan daripada rona bunga raya sebagai bunga kebangsaan Malaysia.

BUZZ RINGKAS


APA:
ADIWARNA RUNWAY, acara fesyen sulung di Alamanda Shopping Centre.

BILA:
10 hingga 13 September 2026.

DI MANA:
Centre Court, Alamanda Shopping Centre, Putrajaya.

SIAPA:
Alamanda Shopping Centre dengan kerjasama Malaysian Official Designers’ Association (MODA) Malaysia.

SOROTAN:
22 pereka fesyen, pertunjukan fesyen, bazar, persembahan muzik dan aktivasi komuniti.

Francis Tan, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd

Francis Tan, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, berkata ADIWARNA RUNWAY menjadi satu langkah penting dalam usaha menjadikan Alamanda sebagai destinasi gaya hidup dan komuniti di Putrajaya.

“ADIWARNA RUNWAY merupakan satu pencapaian penting dalam usaha kami untuk mentransformasikan Alamanda Shopping Centre sebagai destinasi gaya hidup dan komuniti utama di Putrajaya,” katanya.

Menurut beliau, acara berkenaan turut membuka peluang kepada pereka fesyen tempatan untuk mengetengahkan karya mereka kepada pengunjung dalam suasana yang lebih dekat dengan komuniti.

Cyrus Chin, Presiden MODA

Sementara itu, Cyrus Chin, Presiden MODA, menyifatkan ADIWARNA RUNWAY sebagai platform yang membantu memperkenalkan bakat fesyen tempatan serta membuka ruang komersial kepada pereka Malaysia.

“ADIWARNA RUNWAY merupakan gambaran langsung bagaimana kami memupuk pereka fesyen tempatan, meneroka batasan kreativiti serta menyatukan industri untuk membentuk masa depan fesyen Malaysia,” katanya.

Himpunkan 16 Pereka Fesyen

Sepanjang acara berlangsung, pertunjukan fesyen menampilkan koleksi daripada 16 pereka fesyen termasuk Justin Yap Atelier, Yuleza, NANALYANA, EL by Ellie Lim, Zayana Yazed Creations, Outdwell, CARRO, HERA, Bill Keith, CASALWA, SITI KHADIJAH, Ariff Atelier, 3THELABEL, Arlina Ayou, Yani Bakhtiar dan Variante.

Koleksi yang dipersembahkan merangkumi fesyen sedia pakai kontemporari, busana sopan moden serta rekaan tempahan khas.

Ariff, pengasas Ariff Atelier, mengetengahkan unsur budaya dalam koleksinya.

“Koleksi ini meraikan masyarakat India Malaysia yang berwarna-warni serta warisan budayanya yang kaya melalui gaya fesyen kontemporari,” katanya.

Pengasas NANALYANA pula berkongsi mesej ringkas menerusi koleksi yang dipersembahkan.

“Jangan cairkan visi anda, singkirkan gangguan dan salurkan tenaga anda kepada perkara yang benar-benar penting,” katanya.

Bagi Arlina Amdan, pengasas dan pengarah kreatif ARLINA AYOU, batik membawa nilai yang lebih luas daripada sekadar tekstil.

“Batik sentiasa membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar sehelai kain. Di dalamnya terangkum sentuhan tangan, ketelitian, warisan serta kisah insan yang menghasilkannya,” katanya.

Bill Keith pula menekankan kepentingan untuk memberi tumpuan kepada kemampuan dan tindakan.

“Fokus kepada apa yang anda mampu lakukan, bukan sekadar apa yang anda mahu lakukan,” katanya.

Leslie Variyan, Pengasas dan Pengarah Kreatif Variante, berkata acara itu memberikan pengalaman bermakna kepada pereka serta ahli MODA.

“Adiwarna Runway merupakan pengalaman yang amat bermakna bagi saya, baik sebagai pereka mahupun sebagai ahli MODA,” katanya.

ADIWARNA Runway Bazaar

Selain pertunjukan fesyen, ADIWARNA Runway turut menampilkan ADIWARNA Runway Bazaar yang memberi peluang kepada pengunjung membeli koleksi sedia pakai dan aksesori artisan secara terus daripada pereka fesyen tempatan.

Bazar berkenaan menjadi ruang untuk menghubungkan pengguna dengan jenama tempatan, selain memperkenalkan hasil rekaan pereka kepada khalayak yang lebih luas.

Persembahan Muzik Dan Aktivasi Komuniti

Suasana acara turut dimeriahkan dengan persembahan muzik daripada barisan artis Malaysia termasuk Datuk Syafinaz Selamat, Daniel Chuer, Yazmin Aziz, Bunga Isme, Daniesh Suffian, Layla Sania, Farah Dolhadi dan Ernie Zakri.

Layla Sania berkata, gabungan muzik, fesyen dan kreativiti menjadikan acara itu satu pengalaman yang menarik.

“Saya sangat teruja dapat membuat persembahan dalam acara yang menggabungkan muzik, fesyen dan kreativiti seperti ini,” katanya.

Bunga Isme pula melihat fesyen dan muzik sebagai medium untuk mengekspresikan identiti serta cerita masing-masing.

“Saya percaya bahawa fesyen dan muzik mempunyai satu persamaan, kedua-duanya adalah cara kita mengekspresikan identiti dan cerita kita,” katanya.

Ernie Zakri turut menyifatkan peluang membuat persembahan dalam acara berkenaan sebagai pengalaman yang bermakna.

“Buat persembahan di Moda Adiwarna Runway memang satu pengalaman yang sangat best untuk saya,” katanya.

Dalam masa sama, ADIWARNA RUNWAY turut menampilkan Family Fashion Show yang melibatkan 10 pasangan pembeli-belah terpilih. Mereka diberi peluang berjalan di pentas peragaan dengan gaya daripada lima pereka MODA iaitu Variante, Arlina Ayou, HERA, CASALWA dan NANALYANA.

Acara itu turut memberi ruang kepada pelajar fesyen dari beberapa institusi pengajian tinggi dan sekolah fesyen untuk mempersembahkan koleksi masing-masing kepada orang ramai.

Dengan gabungan pertunjukan fesyen, bazar, hiburan dan penglibatan komuniti, ADIWARNA RUNWAY memperlihatkan usaha Alamanda Shopping Centre dan MODA dalam mengetengahkan kreativiti serta bakat fesyen tempatan kepada pengunjung di Putrajaya.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Sekali Lagi, Bahagia. Suami “Red Flag” Atau Cinta “Green Flag”?