in ,

AIM25 Cipta Sejarah Di Kuching, 24.5 Juta Tontonan Dan Interaksi Direkodkan TVS

Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) melabuhkan tirai dengan penuh gemilang di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak pada 26 September lalu, sekali gus mencipta sejarah apabila buat julung kalinya acara berprestij itu berlangsung di Kuching.

Berlangsung sempena sambutan Jubli Perak AIM, malam kemuncak tersebut menghimpunkan barisan bintang, penggiat industri serta bakat baharu muzik tanah air, dengan kehadiran Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

Sebagai penyiar rasmi dan penganjur bersama, TVS membawakan malam kemuncak AIM25 kepada penonton menerusi TVS Saluran 122 dan aplikasi TVS Inspire.

BUZZ RINGKAS
SIAPA
TVS sebagai penyiar rasmi dan penganjur bersama AIM25, bersama barisan penggiat serta bakat industri muzik tanah air.

APA
AIM25 melabuhkan tirai selepas buat julung kalinya berlangsung di Kuching, Sarawak, dengan Mimifly, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Aisha Retno antara penerima terbanyak.

BILA
Malam kemuncak berlangsung pada 26 September 2026. TVS akan menyiarkan semula acara pada 2 Oktober jam 11 malam dan 4 Oktober jam 7.30 pagi.

DI MANA
Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak, manakala siaran ulangan menerusi TVS Saluran 122 dan TVS Inspire.

MENGAPA
AIM25 menjadi edisi bersejarah apabila pertama kali diadakan di Sarawak, sekali gus mengetengahkan karya dan bakat muzik Borneo ke pentas nasional.

BAGAIMANA
TVS membawakan malam kemuncak menerusi siaran televisyen, TVS Inspire dan platform media sosial, yang secara keseluruhan merekodkan 24.5 juta tontonan dan interaksi.

Pentas AIM25 Meriah Dengan Persembahan

Malam kemuncak AIM25 dikendalikan pasangan suami isteri, Awal Ashaari dan Scha Alyahya, bersama personaliti TVS, Sheera Abang Mansur.

Acara tersebut turut diserikan dengan persembahan daripada barisan artis popular tanah air dan penghibur serantau termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Adira Suhaimi bersama Anggrek, Akim Ahmad, Alena Murang, Marsha Milan, Hael Husaini, Mimifly, Hujan, Estranged dan Fajar Noor.

Kepelbagaian persembahan merentasi genre dan generasi dengan mengetengahkan elemen pop, rock, hip hop, etnik dan tradisional, di samping identiti muzik Borneo.

Mimifly Antara Penerima Terbanyak

Mimifly menjadi antara nama paling menyerlah apabila membawa pulang lima trofi menerusi beberapa kategori.

Antaranya, Video Muzik Terbaik dan Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik menerusi “Temberang”, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu menerusi “Nara”, serta Lagu Perayaan Terbaik dan Anugerah Dalam Talian – Lagu Dengan Hasilan Tertinggi Di TikTok menerusi “Serumpun”.

Sementara itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza mencatat empat kemenangan menerusi Vokal Wanita Terbaik bagi “Kesuma”, Kolaborasi Artis/Penulis Lagu Tempatan Bersama Artis/Penulis Lagu Luar Negara Terbaik bagi “Cenderamaya”, selain Lagu Tradisional Terbaik dan Lagu Terbaik menerusi “Pesanan Buat Diri”.

Kemenangan “Pesanan Buat Diri” sebagai Lagu Terbaik turut mengiktiraf karya ciptaan Aubrey Suwito dan Datuk Habsah Hassan yang dipersembahkan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Aisha Retno pula meraih tiga kemenangan menerusi Album Terbaik dan Rakaman Album Terbaik bagi [RE.HAB], selain Lagu Inggeris Tempatan Terbaik menerusi “O.R.B.I.T”.

Mawat Cipta Detik Bersejarah

Antara detik penting AIM25 ialah pengenalan kategori Lagu Borneo Terbaik yang memberi pengiktirafan khusus kepada karya berteraskan identiti muzik Borneo.

Mawat mencipta sejarah sebagai penerima sulung kategori tersebut menerusi “Dayang Bintang”.

Kemenangan penyanyi asal Sarawak itu di pentas AIM yang buat pertama kalinya berlangsung di negeri berkenaan menjadi antara momen simbolik dalam edisi ke-25 tersebut.

Malam itu turut menyaksikan Ella menerima Anugerah Sri Wirama sebagai penghargaan terhadap sumbangan serta perjalanan panjang beliau dalam industri muzik Malaysia.

Barisan Pemenang AIM25

Antara pemenang kategori utama AIM25 ialah Alpha bagi Artis Baru Terbaik menerusi “Mona Lisa (Bang Bang)”, Arddley Nicholas bagi Vokal Lelaki Terbaik menerusi “Sandiwara Cinta” dan Inteam bagi Vokal Kumpulan Terbaik menerusi “Satukan Kami Di Syurga”.

Sekumpulan Orang Gila (SOG) bersama Amir Masdi memenangi Kugiran Terbaik, manakala Hael Husaini & Nadeera meraih Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik menerusi “Peluk”.

Kategori Video Muzik Terbaik dimenangi Mimifly menerusi “Temberang”, manakala Hazama memenangi Runut Bunyi Terbaik Di Dalam Filem Atau Drama menerusi “Dia Bukan Syurga” daripada Aku Bukan Narsisis.

Faizal Tahir memenangi Lagu Rock Terbaik menerusi “Bila Sampai Waktu”, manakala Alpha meraih Lagu Pop Terbaik menerusi “P Ramlee Saloma”.

Lagu Rap/Hip Hop Terbaik pula menjadi milik Yonnyboii & Malique menerusi “Tanya Tuhan”, manakala Lagu Cina Tempatan Terbaik dimenangi Yise Loo menerusi “(Love Yourself)”.

Bagi Lagu India Tempatan Terbaik, kemenangan menjadi milik Buggimaan bersama Sri Vithya menerusi “Kadhal War”.

Kategori Lagu Nasyid Terbaik dimenangi Halim Ahmad menerusi “Fitnah Akhir Zaman”, manakala Marsha Milan memenangi Lagu Etnik Terbaik menerusi “Pelangi Pasti”.

Mc Syze & Noh Salleh pula meraih Lagu Perpaduan Terbaik menerusi “Matahari Malaya”, sementara Lagu Tradisional Terbaik dimenangi Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi “Pesanan Buat Diri”.

Karya Kreatif Dan Digital Turut Diiktiraf

Bagi kategori pra-anugerah, Aidil Saleh memenangi Kulit Single/Album Terbaik menerusi Misompuru oleh Marsha Milan.

Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu pula dimenangi Mimifly menerusi “Nara”, manakala Rakaman Album Terbaik menjadi milik Aisha Retno menerusi [RE.HAB].

Akim & The Majistret memenangi Rakaman Lagu Terbaik menerusi “Gasoline”.

Dalam kategori dalam talian, Naim Daniel & Adnin Roslan memenangi Lagu Paling Tinggi Distrim menerusi “Seni Berdamai Dengan Takdir”, manakala Mimifly meraih Lagu Dengan Hasilan Tertinggi Di TikTok menerusi “Serumpun”.

Hael Husaini & Nadeera pula memenangi Video Muzik Rasmi Malaysia Dengan Tontonan Tertinggi Di Pelantar Video Utama menerusi “Meriah Lain Macam”.

TVS Catat 24.5 Juta Tontonan Dan Interaksi

Penyiaran Malam Kemuncak dan Karpet Merah AIM25, termasuk kandungan promosi di platform media sosial TVS, berjaya merekodkan 24.5 juta tontonan dan interaksi di seluruh platform TVS.

Selain siaran televisyen, kandungan menerusi TVS Inspire dan media sosial turut membolehkan detik-detik menarik sepanjang AIM25 terus diikuti, ditonton dan dikongsi penonton selepas acara berakhir.

Malam Kemuncak AIM25 turut mencatatkan tempoh siaran majlis penganugerahan trofi terpanjang dalam sejarah AIM, dengan tempoh kira-kira empat jam, tidak termasuk Karpet Merah selama satu jam 30 minit yang bermula pada jam 7.30 malam.

Jangan Terlepas Siaran Ulangan AIM25

Bagi memberi peluang kepada penonton yang terlepas siaran malam kemuncak atau mahu menyaksikan semula persembahan serta detik istimewa AIM25, TVS akan menyiarkan semula malam kemuncak pada 2 Oktober 2026, Jumaat, jam 11 malam dan 4 Oktober 2026, Ahad, jam 7.30 pagi.

Siaran ulangan tersebut boleh ditonton menerusi TVS Saluran 122 dan platform TVS Inspire.

“Kami melihat penganjuran AIM25 di Sarawak sebagai detik penting buat TVS untuk mendekatkan kemeriahan dan pencapaian industri muzik tanah air kepada penonton di seluruh negara, di samping mengetengahkan bakat serta karya tempatan, khususnya dari Sarawak dan Borneo, ke pentas nasional,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Tuan Haji Kushairi Abang.

“Sebagai penyiar rasmi, kami berharap penganjuran AIM25 di Sarawak menjadi permulaan kepada lebih banyak kerjasama di antara TVS dan industri muzik, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk bakat dan karya tempatan mendapat perhatian di peringkat nasional,” katanya.

Penganjuran AIM25 di BCCK bukan sahaja menandakan satu detik penting dalam perjalanan 25 tahun Anugerah Industri Muzik, malah memperlihatkan Sarawak sebagai pentas bagi acara seni, muzik dan industri kreatif bertaraf nasional.

Bagi TVS, penglibatan sebagai penyiar rasmi dan penganjur bersama turut memperkukuh komitmen untuk membawa kandungan muzik, seni dan budaya tempatan kepada khalayak lebih luas, selain membuka ruang kepada bakat Sarawak dan Borneo untuk terus diketengahkan di peringkat nasional.

AIM25 akhirnya melabuhkan tirai dengan sebuah malam yang meraikan karya, bakat dan perjalanan industri muzik Malaysia merentasi generasi, genre serta wilayah.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Kedah, Johor Ungguli Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI® 2026

Sambutan Hangat Kempen The Overlooked Malaysia, Dr. Cardin Sasar Negeri Baharu