Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza bakal kembali mengadakan konsert solo di Stadium Nasional Bukit Jalil menerusi Konsert Tradisional Gema Bumantara yang berlangsung pada 17 Oktober 2026, dengan misi mengangkat martabat muzik warisan tanah air ke pentas lebih besar.
Konsert anjuran CTDK Global Ventures Sdn. Bhd. bersama SN Legacy Sdn. Bhd. itu akan mengetengahkan pelbagai genre muzik tradisional seperti Zapin, Joget, Asli, Inang dan lagu-lagu klasik, sekali gus meraikan keindahan seni budaya Malaysia.
Dato’ Sri Siti Nurhaliza.
APA
Mengumumkan penganjuran Konsert Tradisional Gema Bumantara.
BILA
17 Oktober 2026.
DI MANA
Stadium Nasional Bukit Jalil.
KENAPA
Bagi memartabatkan muzik tradisional dan melestarikan warisan budaya Nusantara.
Kembali Gegarkan Stadium Bukit Jalil
Konsert Gema Bumantara menjadi persembahan solo ketiga Siti Nurhaliza di Stadium Nasional Bukit Jalil, sekali gus menjadikan lokasi ikonik itu sekali lagi saksi kepada sebuah persembahan berskala mega.
Bagi memastikan keaslian persembahan tradisional terus dipelihara, konsert itu bakal diiringi Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) bersama barisan pemuzik profesional di bawah pimpinan pengarah muzik muda, Cha’an.
Persembahan turut diserikan dengan penampilan penari Artistana Istana Budaya serta beberapa kumpulan kebudayaan tempatan.
Empat Bintang Jemputan Malaysia dan Indonesia
Konsert berkenaan turut menampilkan empat artis jemputan khas yang bakal memeriahkan pentas Gema Bumantara.
Mereka ialah penyanyi irama tradisional Haziq Rosebi, Ratu Irama Malaysia Noraniza Idris, bintang Indonesia Lesti Kejora serta penyanyi dangdut popular, King Nassar.
Gabungan artis dari Malaysia dan Indonesia itu dijangka menambahkan lagi kemeriahan konsert yang meraikan seni warisan Nusantara.
Mahu Warisan Terus Dihargai
Menurut Siti Nurhaliza, muzik tradisional merupakan akar kepada identiti masyarakat dan perlu terus dipelihara agar dapat diwarisi generasi akan datang.
“Muzik tradisional adalah akar dan jiwa kepada identiti kita. Melalui Konsert Gema Bumantara, saya berhasrat untuk memastikan warisan irama yang sangat indah ini terus hidup, dihargai, dan dibanggakan oleh generasi muda.
“Selain itu, konsert ini juga boleh dinikmati oleh pelancong dari luar negara yang mahu mengenali budaya kita,” katanya.
Tiket Sudah Mula Dijual
Tiket Konsert Tradisional Gema Bumantara kini boleh didapati menerusi Ticket2U dengan harga bermula RM70 hingga RM899.
Turut disediakan tiket khas untuk orang kurang upaya (OKU) berkerusi roda pada harga RM500 sepasang termasuk seorang pengiring.


GIPHY App Key not set. Please check settings