in ,

Siti Nurhaliza Cipta Sejarah, Bergandingan Dengan Firdhaus Dalam Lagu Mandarin

Sepanjang lebih tiga dekad berada dalam industri muzik, Dato’ Sri Siti Nurhaliza sudah merakamkan lagu dalam pelbagai bahasa.

Namun buat pertama kalinya, Biduanita Negara itu tampil menyanyikan sebuah lagu Mandarin penuh menerusi single duet berjudul Be Like Water bersama penyanyi dan penulis lagu Firdhaus.

Lebih daripada sekadar kolaborasi dua generasi, lagu tersebut turut membawa mesej mengenai kasih sayang, harapan dan keprihatinan yang menjadi tunjang kepada projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) CUCKOO Malaysia.

BUZZ RINGKAS
SIAPA
Dato’ Sri Siti Nurhaliza & Firdhaus.

APA
Pelancaran single duet “Be Like Water”.

BILA
30 Jun 2026.

DI MANA
Semua platform penstriman digital.

MENGAPA
Menandakan lagu Mandarin penuh pertama Siti Nurhaliza.

BAGAIMANA
Menerusi kolaborasi bersama Firdhaus sempena projek CSR CUCKOO Malaysia.

Firdhaus Diberi Kepercayaan Hasilkan Lagu

Di sebalik penghasilan Be Like Water, Firdhaus diberi tanggungjawab untuk menulis dan menggubah keseluruhan lagu tersebut.

Inspirasi karya berkenaan lahir daripada falsafah terkenal mendiang Bruce Lee, “Be water, my friend”, yang menggambarkan sifat air sebagai lambang ketabahan, kelembutan dan keupayaan menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan.

Melalui metafora tersebut, lagu ini mengajak pendengar untuk terus menyebarkan kasih sayang dan kekal tabah walaupun berdepan pelbagai cabaran hidup.

Siti Pilih Sendiri Firdhaus

Menurut Siti Nurhaliza, beliau sememangnya sudah lama mengikuti perkembangan seni Firdhaus dan mengagumi bakatnya sebagai pencipta lagu.

Atas sebab itu, beliau memilih penyanyi muda berkenaan untuk menjayakan projek duet bersejarah ini.

Bagi Firdhaus pula, peluang bekerjasama dengan Biduanita Negara pada awalnya membuatkan dirinya berasa gementar.

Namun perasaan itu bertukar menjadi pengalaman yang sukar dilupakan apabila dia sendiri membantu Siti menyebut setiap bait lirik Mandarin sepanjang proses rakaman.

Kolaborasi tersebut sekali gus memperlihatkan keserasian dua generasi artis yang berkongsi minat terhadap muzik tanpa mengira bahasa.

Sentuhan Orkestra Bertaraf Antarabangsa

Bagi menghidupkan lagi emosi lagu, Be Like Water menerima sentuhan penerbit terkenal Aubrey Suwito.

Rakaman lagu ini turut membabitkan Budapest Scoring Orchestra serta Dandelion Choir, menjadikan susunan muziknya lebih sinematik dan megah.

Malah, muzik video rasmi yang diarahkan Jasmine Wong turut dirakam di Dewan Filharmonik PETRONAS dengan menampilkan Selangor and Kuala Lumpur Orchestra & Choir (SKOC) bersama Yoke Nam Choir.

Bukan Sekadar Lagu, Tetapi Sebuah Mesej

Walaupun hadir sebagai sebuah lagu duet, Be Like Water membawa makna yang jauh lebih besar.

Ia diangkat sebagai lagu tema rasmi Projek CUCKOO Loves, Cares yang mengetengahkan mesej kasih sayang, harapan dan keprihatinan terhadap masyarakat.

Dengan gabungan vokal Siti Nurhaliza dan Firdhaus, karya tersebut bukan sahaja menyatukan dua generasi artis, malah membuktikan muzik mampu menjadi medium menyampaikan mesej kemanusiaan yang merentasi bahasa dan budaya.

Be Like Water kini boleh distrim di semua platform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX dan KKBOX.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Hong Kong ‘On Fire’ Dengan Festival, Bola Sepak & Diskaun!