Guru vokal, Shaffiq Erwin mencadangkan Amsyar Lee mencuba lagu penyanyi lelaki bagi memperlihatkan identiti vokalnya, sekali gus menjawab tanggapan bahawa penyanyi itu hanya bergantung pada suara artis lain.
Dalam masa sama, Shaffiq turut menasihati Amsyar supaya lebih berhati-hati ketika meluahkan kekecewaan berkaitan peluang dalam industri muzik tempatan.
SIAPA: Shaffiq Erwin dan Amsyar Lee
APA: Shaffiq mencadangkan Amsyar mencuba lagu penyanyi lelaki untuk memperlihatkan identiti vokalnya.
KENAPA: Cadangan itu bagi menjawab tanggapan bahawa Amsyar menggunakan “suara tipu”.
NASIHAT: Shaffiq mengingatkan Amsyar supaya lebih berhati-hati meluahkan kekecewaan di media sosial.
PANDANGAN: Shaffiq mengaitkan suara Amsyar dengan kategori countertenor dan mengiktiraf kebolehan vokalnya.
Cadang Amsyar cuba lagu penyanyi lelaki

Menurut Shaffiq, sekiranya diberi peluang membimbing vokal Amsyar, dia akan menyarankan penyanyi itu memilih lagu lelaki yang digubah mengikut kesesuaian julat suaranya.
“Jika saya diamanahkan untuk menjaga dan membimbing vokal Amsyar, saya akan sarankan beliau untuk tidak langsung memilih lagu wanita untuk dinyanyikan. Contohnya, mungkin saya akan suruh dia menyanyi lagu Amir Masdi, Hazama atau Syamel, tetapi digubah supaya lebih sesuai dengan suaranya. Di situ mungkin pendengar dapat mendengar suara sebenar Amsyar yang sering dikatakan menggunakan ‘suara tipu’ itu,” katanya.
Bagaimanapun, Shaffiq tidak menganggap Amsyar sengaja memalsukan suaranya ketika menyanyi.
Sebaliknya, beliau mengaitkan pendekatan nyanyian tersebut dengan kategori countertenor, iaitu penyanyi lelaki yang menyanyi dalam julat tinggi menggunakan teknik seperti falsetto atau head register.
“Melalui bunyi percakapannya pun kita boleh dengar warna suaranya memang halus,” katanya.
Warna suara Amsyar masih asing bagi sesetengah pendengar

Shaffiq berpendapat warna suara Amsyar mungkin masih kedengaran asing bagi sebahagian pendengar tempatan.
Namun, berdasarkan video pertandingan yang ditontonnya, Amsyar dilihat mempunyai ketepatan nada, kawalan pernafasan dan kepekaan muzik yang baik.
Menurutnya, penyanyi itu juga mempunyai keupayaan mengendalikan lagu yang mencabar.
Cuma, Shaffiq berpandangan bunyi nyanyian Amsyar masih boleh diperbaiki supaya kedengaran lebih bulat dan padu, sekali gus mengelakkan vokalnya kedengaran bingit atau seperti menjerit.
Amsyar pernah berdepan kritikan identiti nyanyian

Amsyar sebelum ini mula mendapat perhatian menerusi video meniru suara penyanyi wanita termasuk Siti Nurhaliza, Elizabeth Tan, Dayang Nurfaizah dan Jaclyn Victor.
Penyanyi itu kemudiannya pernah meluahkan rasa kesal di media sosial berhubung kritikan bahawa dirinya tidak mempunyai identiti nyanyian.
Amsyar turut mendedahkan bahawa dia pernah gagal dalam beberapa uji bakat tempatan sebelum menyertai program Sing! Asia pada 2025.
Dalam perkongsian mengenai pengalaman uji bakat tersebut, Amsyar mengandaikan suaranya mungkin dianggap pelik atau tidak asli.
Bagaimanapun, andaian itu bukan pengesahan terhadap alasan sebenar pihak produksi yang tidak memilihnya.
Peluang Sing! Asia perlu dilihat mengikut konteks

Peluang Amsyar menyertai Sing! Asia juga perlu dilihat berdasarkan konteks program berkenaan.
Walaupun disenaraikan dalam kategori rancangan variasi, program tersebut tetap berteraskan pertandingan nyanyian antarabangsa yang menghimpunkan peserta dari pelbagai negara.
Amsyar turut mendapat undian daripada Jessie J serta juri dalam talian pada episod pertama.
Tidak terpilih bukan bermaksud tidak berbakat

Mengulas mengenai pemilihan peserta dalam sesebuah program atau pertandingan, Shaffiq berpendapat tidak adil sekiranya warna suara semata-mata dijadikan alasan untuk mempertikaikan kemampuan seseorang penyanyi.
Pada masa sama, beliau mengakui pihak produksi biasanya turut mengambil kira keperluan format, pertimbangan perniagaan dan kesesuaian barisan peserta.
“Tidak semestinya tidak terpilih untuk sesebuah program atau pertandingan itu kerana anda tidak berbakat atau juri tidak suka awak,” katanya.
Shaffiq turut menegaskan bahawa keputusan juri seharusnya disokong dengan alasan yang lebih jelas dan kukuh, bukannya hanya berdasarkan warna suara seseorang.
Nasihat Amsyar lebih berhati-hati di media sosial

Mengenai luahan terbuka Amsyar, Shaffiq berkata perasaan tidak puas hati merupakan perkara normal.
Namun, sebagai individu yang dikenali umum dan masih mencari rezeki dalam industri muzik, penyanyi perlu memikirkan kesan setiap kenyataan yang dikongsikan.
“Sebagai public figure yang mencari rezeki dalam industry ini, seboleh-bolehnya cuba tahan diri daripada meluah di media sosial. Ia boleh memberi kesan semula kepada kita jika disalah tafsir oleh pihak yang membaca,” katanya.
Beliau menyarankan agar kekecewaan terlebih dahulu dikongsi bersama keluarga, pengurus atau teman rapat sebelum dibawa ke ruang awam.
“Saya harap kenyataan yang dikeluarkan Amsyar itu tidak menjejaskan kerjayanya di Malaysia. Jika iya, saya sarankan untuk memohon maaf dan jernihkan semula keadaan,” katanya.
Shaffiq pernah membimbing Ernie Zakri dan Syamel
Shaffiq merupakan penyanyi dan guru vokal yang pernah membantu dari segi penjagaan serta latihan vokal Ernie Zakri dan Syamel.
Beliau turut dikenali menerusi penyertaannya dalam program Famili Duo bersama Ara Johari.


GIPHY App Key not set. Please check settings