in ,

“Kami Tak Tunggu Senarai, Kami Turun Cari Sendiri” – Siti Nurhaliza Kongsi Misi Yayasan Nurjiwa

Di sebalik kesibukan sebagai penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terus komited menjalankan kerja-kerja kebajikan menerusi Yayasan Nurjiwa yang diusahakan bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K).

Menariknya, Siti mendedahkan pasukannya tidak hanya bergantung kepada senarai penerima bantuan, sebaliknya turun sendiri ke kawasan pedalaman bagi mencari golongan yang benar-benar memerlukan.

BUZZ RINGKAS

TURUN PADANG
Yayasan Nurjiwa mencari sendiri golongan asnaf yang memerlukan bantuan.

BANTU B40
Program pemberian makanan kepada pelajar B40 diteruskan lebih dua tahun.

DANA KONSERT
Sebahagian hasil konsert disalurkan kepada Yayasan Nurjiwa.

TERUS BANTU GAZA
Komited meneruskan bantuan walaupun sekolah Yayasan musnah dibedil.

Turun Sendiri Cari Golongan Asnaf

Menurut Siti, Yayasan Nurjiwa sudah lebih dua tahun menjalankan program pemberian makanan kepada pelajar daripada keluarga B40, selain giat mencari sendiri keluarga asnaf tanpa bergantung sepenuhnya kepada senarai yang diterima daripada agensi tertentu.

“Kami keluar cari asnaf. Kami turun sendiri ke tempat-tempat yang kadang-kadang orang lain tak pergi,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman turun padang membuka mata apabila bertemu keluarga yang hidup dalam serba kekurangan sehingga tidak mengenali dirinya mahupun Datuk K.

“Sampai tahap bila team kami tanya, ‘Ini Datuk Seri Khalid dengan Siti Nurhaliza, kenal tak?’ Mereka jawab, ‘Tak kenal.’ Maknanya orang yang betul-betul susah. Mereka tak ada TV, tak tengok media sosial,” katanya.

Dana Konsert Disalur Kepada Yayasan

Siti turut berkongsi bahawa setiap kali mengadakan konsert berskala besar, dia sudah memasang niat untuk menyalurkan sebahagian dana kepada Yayasan Nurjiwa bagi memastikan lebih banyak program kebajikan dapat diteruskan.

“Setiap konsert saya memang dah berniat untuk salurkan kepada Yayasan Nurjiwa. Insya-Allah untuk Konsert Gema Bumantara pun saya rancang salurkan lagi supaya bila ada dana, kita boleh buat lebih banyak aktiviti,” katanya.

Beliau juga berharap usaha murni itu dapat diteruskan oleh anak-anak mereka pada masa hadapan agar manfaatnya terus dinikmati masyarakat.

Sekolah Di Gaza Musnah, Bantuan Tetap Diteruskan

Dalam pada itu, Siti mengakui sedih apabila Sekolah Afwa Al-Aafiyah milik Yayasan Nurjiwa di Gaza musnah akibat serangan tentera Israel.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana Guru Besarnya, Dr Mohanad Kullab, masih selamat dan terus memainkan peranan membantu pelajar yang berpindah-randah akibat peperangan.

“Saya selalu berdoa Allah panjangkan usia Dr Mohanad supaya saya boleh terus membantu. Selagi ada kemampuan, kami tak akan berhenti memberi,” katanya.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Siti menegaskan Yayasan Nurjiwa akan terus komited menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan di dalam dan luar negara, selaras dengan matlamat penubuhannya untuk membawa manfaat kepada lebih ramai insan.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

“Tak Pernah Belajar Bahasa Cina Pun!” – Firdhaus Puji Sebutan Mandarin Siti Nurhaliza Hampir Sempurna

Azzam & Sheryl Kongsi Realiti Berumah Tangga Dalam Bertahan Denganmu