Malam pertama konsert Violet Skies: Dato’ Sri Siti Nurhaliza Live In Arena Of Stars membuka tirai dengan penuh aura & kelas tersendiri, menghimpunkan lebih 4,600 peminat yang sanggup “panjat Genting” untuk menyaksikan persembahan eksklusif solo pertama TokTi tahun ini.
- Malam pertama Violet Skies tarik ~4,600 peminat ke Genting, penuh aura & gaya TokTi.
- Noh Salleh anggap duet ini pencapaian tertinggi, Ahmad Dayyan tambah detik peribadi.
- TokTi umum album tradisional hujung 2025 & konsert mega tradisional pada 2026.

Konsert yang berlangsung di Arena Of Stars ini bukan sekadar meraikan 30 tahun perjalanan seni TokTi, tetapi turut diwarnai dengan momen peribadi, kolaborasi bersejarah dan pengumuman besar buat masa depan kariernya.
Aina Abdul Hadir Sokong, “Saya & Aina Sama-Sama Dari Bawah”
TokTi sempat berkongsi betapa beliau menghargai kehadiran Aina Abdul yang datang ke Genting memberi sokongan.

“Saya dan Aina sama. Kami bermula dari bawah, masuk pertandingan. Arwah ayah Aina belikan album saya, dia karaoke lagu saya. Macam saya juga, arwah ayah belikan set karaoke, saya nyanyi hari-hari. Tapi duduk berek polis, tak boleh nyanyi masa orang balik kerja, tunggu 4.30 petang baru boleh menyanyi,” cerita Siti, yang jelas terharu.
Noh Salleh: “Ini Pencapaian Tertinggi Sepanjang Hidup Saya”
Detik paling mencuri perhatian malam itu tentunya apabila Noh Salleh, vokalis kumpulan Hujan, buat pertama kalinya berduet dengan TokTi di atas pentas.

Mereka mendendangkan Bengawan Solo, Rahsia Tuhan & Pagi Yang Gelap, mencipta satu rasa unik, gabungan pop alternatif dan keanggunan vokal TokTi.
“Saya sangat terharu… ini pentas paling prestij. Rasanya ini pencapaian tertinggi saya sepanjang hidup dalam muzik – tak masuk akal dapat berdiri dengan penyanyi nombor satu negara,” kata Noh, sebak.
Ahmad Dayyan Cipta Detik Peribadi, Medley Rock Tutup Malam
Lebih mengharukan, malam itu turut menampilkan anak saudara TokTi, Ahmad Dayyan, yang menyampaikan Seribu Kemanisan & Azimat Cinta, menjadikan konsert ini terasa sangat dekat di hati keluarga dan peminat.

TokTi juga memanjakan peminat dengan lebih 20 lagu, kebanyakannya lagu rare pilihan Sitizoners, antaranya Pendirianku, Beradu Di Khayalan, Sendiri, Sesal, Tak Boleh Lupa & Kita Kan Bersama dengan susunan muzik baharu oleh Aubrey Suwito.
Sebelum tirai dilabuhkan, Siti menggamatkan arena dengan medley rock era 80-90an: Tika Dan Saat Ini, Di Alam Fana Cinta & Seribu Tahun Takkan Mungkin, menutup malam penuh gaya & tenaga.

Umum Album Tradisional & Konsert Mega Tahun Depan
Sebagai kejutan tambahan, Siti turut mengumumkan bakal menyiapkan album penuh berkonsep tradisional hujung tahun ini, disusuli konsert tradisional berskala mega pada 2026.
“InsyaAllah selepas konsert ini saya akan siapkan album tradisional hujung tahun ini. Lepas tu kita akan buat konsert tradisional besar-besaran… dari awal sampai habis kita buat grand,” katanya.




GIPHY App Key not set. Please check settings