in ,

Bayangkan Lagu “Angin Kencang” Diiringi Orkestra!

Penyanyi dan komposer terkenal, Noh Salleh bakal mempersembahkan karya-karya ikoniknya dalam sebuah konsert solo orkestra berskala besar menerusi Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra yang dijadual berlangsung di Idea Live Arena, Kuala Lumpur pada 8 November ini.

Konsert anjuran bersama Altus Prohouse dan CK Star Entertainment itu bakal menyaksikan lagu-lagu popular seperti Angin Kencang, Rahsia Tuhan, Bunga Di Telinga dan Sang Penikam diberi nafas baharu menerusi susunan muzik orkestra oleh komposer tersohor, Aubrey Suwito.

BUZZ RINGKAS
SIAPA
Noh Salleh dan Aubrey Suwito.

APA
Konsert solo orkestra Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra.

BILA
8 November 2026.

DI MANA
Idea Live Arena, Kuala Lumpur.

KENAPA
Mengangkat karya-karya ikonik Noh Salleh dalam susunan muzik orkestra berskala besar.

Karya Ikonik Dalam Susunan Orkestra

Cadenza of the Soul menjadi konsert solo orkestra berskala besar pertama Noh Salleh, sekali gus membawa peminat menikmati karya-karya yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan muziknya dalam dimensi baharu.

Persembahan itu turut diiringi oleh orkestra di bawah pimpinan Aubrey Suwito, yang terkenal dengan sentuhan muzik sinematik serta susunan orkestra yang memukau.

Pengalaman Muzik Yang Berbeza

Menurut wakil CK Star Entertainment dan Altus Prohouse, konsert tersebut bukan sekadar sebuah persembahan muzik, sebaliknya sebuah penghormatan terhadap perjalanan seni Noh Salleh sepanjang lebih dua dekad.

“Lebih daripada sekadar sebuah konsert, Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra merupakan sebuah penghormatan terhadap perjalanan seni Noh Salleh yang menggabungkan elemen muzik, penceritaan dan emosi dalam satu malam yang diraikan bersama para peminat.

Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra akan menjadi babak baharu buat suara yang sudah lama menemani anda tetapi bakal dilakar dalam format dan sesuatu yang tidak pernah anda dengar dan rasai.

“Kami di Altus Prohouse dan CK Star Entertainment juga percaya dengan reputasi Aubrey Suwito sebagai antara pengarah muzik dan komposer paling disegani di Malaysia, kolaborasi ini dijangka menghasilkan sebuah persembahan yang bukan sahaja mengangkat nilai artistik karya-karya Noh Salleh, tetapi menawarkan pengalaman konsert yang berbeza daripada persembahan-persembahan beliau sebelum ini,” katanya.

Aubrey Suwito Teruja Berkolaborasi

Aubrey Suwito mengakui beliau tidak mengambil masa lama untuk menerima pelawaan menjayakan projek tersebut kerana menganggap Noh sebagai antara pengkarya terbaik generasi kini.

“Saya tidak perlu berfikir dua kali untuk mengatakan ya atau bersetuju dengan projek ini. Noh Salleh seorang karyawan seni generasi kini yang cukup genius.

Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra pula akan menjadi sebuah perayaan muzik yang agung. Hadir dan rayakan emosi-emosi anda pada 8 November ini di Idea Live Arena dan pulang dengan jiwa yang besar terhadap karya anak tempatan,” katanya.

Tiket Mula Dijual

Tiket konsert mula dijual pada 5 Ogos 2026 bermula jam 12 tengah hari menerusi Ticket2U dan Fantopia.

Harga tiket ditawarkan bermula RM188 sehingga RM788 mengikut kategori, manakala pemegang tiket VVIP turut menikmati sesi Meet & Greet bersama Noh Salleh, sementara pemegang tiket VIP menerima kemeja-T konsert edisi terhad.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

MIC DROP Himpunkan Pelawak Terbaik Asia

Konsert Tradisional Gema Bumantara Siti Nurhaliza Oktober Ini!