Juri tetap Gegar Vaganza Fantasia (GVF), Datuk Ramli MS berharap penyanyi Shahir tidak terus dibelenggu kekecewaan selepas menerima markah 37% pada konsert minggu kedua, sebaliknya segera bangkit dan memperbaiki kelemahan untuk kembali memberikan saingan.
Ramli mengakui masih belum berpuas hati dengan mutu persembahan keseluruhan peserta pada minggu berkenaan, namun persembahan Shahir paling mencuri perhatiannya apabila penyanyi itu gagal mencapai tahap yang diharapkan.
Lebih mengejutkan, markah 37% yang diterima Shahir merupakan skor paling rendah pernah diberikan maestro muzik itu sepanjang 13 musim bertugas sebagai juri tetap Gegar Vaganza.
“Sepanjang sejarah GV, saya tidak pernah memberikan markah serendah 37%. Malah, peserta yang tersingkir sebelum ini pun biasanya mendapat sekitar 52% atau 53%.
“Bagi kami, tiada kompromi dalam soal ini kerana markah diberikan berdasarkan apa yang kami dengar. Sedangkan ketika sesi latihan, persembahannya jauh lebih baik,” katanya.
BUZZ RINGKAS
SIAPA: Shahir dan juri tetap GVF, Datuk Ramli MS.
APA: Ramli berharap Shahir segera bangkit selepas menerima markah 37% pada konsert minggu kedua.
BILA: Selepas konsert minggu kedua GVF.
DI MANA: Auditorium MBSA, Shah Alam.
MENGAPA: Persembahan Shahir disifatkan belum mencapai tahap yang sepatutnya, selain dipercayai terkesan dengan kegugupan di pentas besar.
BAGAIMANA: Ramli menggesa Shahir memperbaiki kelemahan dan tidak terus dibelenggu kekecewaan menjelang konsert seterusnya.

Gugup Di Pentas Besar Jejas Persembahan Shahir
Mengulas kemungkinan punca Shahir gagal memberikan persembahan seperti ketika latihan, Ramli berpendapat faktor kegugupan dan tekanan ketika berada di pentas besar mungkin menjejaskan keyakinan penyanyi itu.
“Bila adanya ‘badi’ pentas itu, kita akan hilang kawalan. Saya faham perkara itu kerana pentas GV ini sangat besar.
“Bila mereka menyayi, kita boleh tahu mereka berada di tahap mana,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun, Ramli berharap Shahir tidak menjadikan keputusan minggu kedua sebagai alasan untuk terus berasa kecewa, sebaliknya mengambil peluang yang ada untuk memperbaiki kelemahan.
Menurutnya, persembahan sederhana mungkin masih mampu membantu seseorang peserta mengekalkan kedudukan, tetapi keadaan menjadi lebih sukar apabila mutu nyanyian berada jauh di bawah tahap yang ditetapkan.
“Persembahannya memang tidak mencapai tahap yang sepatutnya. Jika mereka memberikan persembahan sederhana, mungkin masih boleh selamat. Tetapi jika sudah terlalu lemah, kita memang tidak boleh berbuat apa-apa.
“Saya rasa tidak perlu untuk menghuraikan satu persatu pecahan markah yang diberikan kerana anda sendiri boleh menilai bagaimana dia menyanyi malam tadi.
“Jika berada di dalam auditorium, mungkin anda tidak begitu menyedarinya. Tetapi apabila menonton menerusi televisyen, kelemahan itu memang sangat ketara,” katanya.

Markah Peserta Masih Belum Mencapai Standard Ramli MS
Dalam pada itu, Ramli turut mengakui belum berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan peserta pada konsert minggu kedua.
Menurutnya, juri tidak akan sewenang-wenangnya memberikan markah tinggi sekiranya persembahan yang disampaikan tidak mencapai standard ditetapkan.
Beliau turut memberikan gambaran mengenai perbezaan pemarkahan musim ini berbanding musim terdahulu apabila markah tertinggi setakat minggu kedua hanya mencatatkan 67%.
“Markah paling tinggi pun sekadar 67%. Jika dalam musim terdahulu, markah sebegitu mungkin hanya cukup untuk berada di kedudukan keempat.
“Peserta yang berada pada tahap terbaik biasanya memperoleh markah sekitar 75% hingga 80%. Namun, saya yakin mereka mampu menunjukkan peningkatan besar dalam minggu-minggu seterusnya. Itu yang saya suka tentang mereka,” katanya.

Kehadiran Empat Peserta Hot Seat Tambah Persaingan
Mengulas kemasukan empat peserta menerusi segmen Hot Seat iaitu Akim Ahmad, Ara Johari, Felix dan Farah, Ramli menyifatkan penyertaan mereka sebagai perkembangan menarik yang berpotensi mengubah corak persaingan musim ini.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kemampuan seseorang penyanyi tidak semestinya dapat dinilai hanya berdasarkan persembahan lagu sendiri kerana cabaran sebenar adalah apabila perlu membawakan karya penyanyi lain.
“Itu semua keputusan pengundi dan kami tidak terlibat langsung dalam pemilihan tersebut. Melihat kepada nama yang berjaya terpilih, saya rasa ia sangat menarik.
“Vokal Akim malam tadi memang mantap, tetapi dia menyanyikan lagu sendiri. Keadaannya tentu berbeza apabila perlu menyampaikan lagu orang lain.
“Kita pernah melihat situasi sama berlaku kepada Mila apabila kedudukannya merosot berbanding minggu sebelumnya selepas menyanyikan lagu penyanyi lain. Jadi, apa-apa sahaja boleh berlaku,” katanya.
Sementara itu, Stacy terus mengukuhkan kedudukannya apabila sekali lagi menduduki tangga teratas dengan kutipan markah tertinggi untuk dua minggu berturut-turut.
Barisan juri GVF turut disertai Datuk Syafinaz Selamat dan penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang yang bersama-sama menilai persembahan peserta sepanjang pertandingan berlangsung.
GVF merupakan program pertandingan nyanyian secara langsung selama 11 minggu yang bersiaran dari Auditorium MBSA, Shah Alam. Program itu menemui penonton setiap Sabtu, jam 9 malam menerusi Astro Ria (saluran 104).
Penonton juga boleh mengikuti GVF menerusi platform penstriman On Demand, Astro GO dan Sooka.


GIPHY App Key not set. Please check settings