Program realiti nyanyian popular Astro, Big Stage kembali dengan nafas baharu menerusi Big Stage X Rocketfuel yang bakal bersiaran secara langsung bermula 28 Jun 2026, jam 9 malam di Astro Ria.
Memasuki musim ketujuh, program ini tampil dengan kerjasama strategik bersama Rocketfuel Entertainment yang bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk bertanding, malah membuka laluan kepada pembangunan kerjaya seni yang lebih menyeluruh.
Lebih menarik, pemenang utama bakal menerima Rocketfuel Artist Development Contract bernilai sehingga RM200,000 sebagai persediaan untuk bergelar artis profesional.
Astro dan Rocketfuel Entertainment.
APA
Big Stage X Rocketfuel.
BILA
Bermula 28 Jun 2026.
DI MANA
Astro Ria, Astro GO dan Sooka.
MENGAPA
Mencari sensasi hiburan Malaysia seterusnya.
BAGAIMANA
Melalui pertandingan nyanyian dan pembangunan artis bernilai sehingga RM200,000.

Bukan Sekadar Menang Pertandingan
Berbeza dengan musim-musim sebelum ini, hadiah utama yang ditawarkan memberi fokus kepada pembangunan kerjaya jangka panjang dalam industri hiburan.
Kontrak pembangunan artis itu merangkumi penghasilan single dan video muzik baharu, pembangunan imej serta jenama peribadi, latihan vokal dan persembahan, bimbingan komunikasi media serta pengurusan media sosial.
Turut disediakan sokongan pemasaran, promosi dan peluang pendedahan merentas platform televisyen, radio serta digital Astro.

10 Peserta Rebut Peluang Jadi Bintang Baharu
Musim kali ini menyaksikan 10 peserta berbakat bakal bersaing untuk merebut peluang bergelar sensasi hiburan Malaysia seterusnya.
Mereka terdiri daripada Sufie Rose, Qilo, Rieffa, Danny, Aliff Kimiey, Yad-z, Ranisha, Danial Kifli, Sabrina serta duo Adam & Nazmie.
Setiap peserta hadir dengan identiti dan keistimewaan tersendiri dalam usaha memikat hati penonton serta membuktikan kemampuan mereka di pentas Big Stage X Rocketfuel.

Kerjasama Astro & Rocketfuel
Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, Big Stage selama ini telah berjaya melahirkan ramai bakat yang kini aktif dalam industri hiburan tempatan.
“Selama enam musim, Big Stage telah membuktikan bahawa ia lebih daripada sekadar pertandingan nyanyian. Ia merupakan platform yang membuka ruang kepada bakat-bakat baharu untuk menyerlahkan potensi sebenar mereka.
“Musim ini amat istimewa apabila Rocketfuel Entertainment menjadi sebahagian daripada identiti program menerusi Big Stage X Rocketfuel. Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami dalam mewujudkan ekosistem pembangunan bakat yang lebih kukuh dan mampan,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama tersebut diharap mampu melahirkan generasi baharu artis yang bukan sahaja berjaya di Malaysia tetapi mampu bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa.

Barisan Juri Serba Baharu
Turut kembali menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap ialah penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini.
Beliau akan bergandingan bersama dua alumni program realiti Astro yang berjaya menempa nama dalam industri muzik iaitu Akim Ahmad dan Aisha Retno.
Gabungan tiga juri ini dijangka memberi penilaian yang lebih pelbagai berdasarkan pengalaman masing-masing dalam dunia hiburan.

Saksikan Bermula 28 Jun
Big Stage X Rocketfuel akan bersiaran secara langsung setiap Ahad bermula 28 Jun 2026 jam 9 malam di Astro Ria.
Penonton juga boleh mengikuti program ini menerusi Astro GO, On Demand dan Sooka bagi menyaksikan siapakah bakal muncul sebagai sensasi hiburan Malaysia yang seterusnya.
Barisan Peserta Big Stage x Rocketfuel












GIPHY App Key not set. Please check settings