in ,

Ramai Persoal Kredibiliti? Aisha Retno Sudah Bersedia Terima Kritikan

Penyanyi Aisha Retno bersedia menerima sebarang kritikan dan teguran daripada orang ramai selepas diumumkan sebagai salah seorang juri program Big Stage X Rocketfuel.

Menurut pelantun lagu Tidak Adil itu, dia memahami akan ada pihak yang mempersoalkan kredibilitinya memandangkan usianya masih muda dan pengalaman sebagai juri masih baharu berbanding nama-nama besar lain dalam industri.

Namun, Aisha memilih untuk melihat setiap komen dan kritikan sebagai peluang untuk memperbaiki diri sepanjang menggalas tanggungjawab tersebut.

“Saya terima dengan hati yang sangat terbuka. Kritikan semuanya sudah jadi alah bisa tegal biasa buat Aisha.

“Jadi apa-apa pun saya terima dan hadamkan. Saya akan menjadi ianya satu perkara yang positif sepanjang menjadi salah satu panel juri.

“Yang mana-mana yang ada salah ke sepanjang minggu, Aisha sebagai juri pun berhak juga untuk ditegur,” katanya.

BUZZ RINGKAS

SIAPA
Aisha Retno.

APA
Terbuka menerima kritikan sebagai juri Big Stage X Rocketfuel.

BILA
Menjelang musim baharu program tersebut.

DI MANA
Majlis pengenalan peserta Big Stage X Rocketfuel di Astro Bukit Jalil.

MENGAPA
Menyedari tugas sebagai juri turut memerlukan dirinya menerima pandangan orang ramai.

BAGAIMANA
Dengan menjadikan setiap teguran sebagai perkara positif untuk memperbaiki diri.

Sedar Tanggungjawab Besar

Aisha turut mengakui dia mengambil masa untuk mempertimbangkan tawaran tersebut kerana sedar tugas sebagai juri hadir bersama tekanan dan tanggungjawab yang besar.

“Sejujurnya sangat tertekan. Apabila Aisha dilamar untuk menjadi salah satu panel juri, sebenarnya Aisha berfikir lama atas beberapa perkara.

“Alhamdulillah Allah bagi rezeki tahun ini, jadual saya agak padat. Yang kedua, atas beberapa faktor kesihatan Aisha untuk jadual juga dan yang ketiga sudah tentu tekanan untuk menjadi juri jika hendak dibandingkan dengan juri-juri yang profesional sebenarnya,” katanya.

Mahu Membantu Bakat Baharu

Dalam masa sama, Aisha menjelaskan kehadirannya di kerusi juri bukan untuk mencari perhatian atau populariti.

Sebaliknya, dia mahu menggunakan pengalaman yang dimiliki sebagai bekas peserta pertandingan nyanyian untuk membantu dan membimbing bakat-bakat baharu.

“Saya bukan ingin dilihat, saya ingin membantu.

“Saya ingin menjadi seseorang pemangkin yang membantu bersama lagenda hebat kita seperti Hael Husaini dan juga Akim Ahmad.

“Aisha di sini sebagai alumni yang cuba berkongsi pengalaman, apa yang boleh dibuat dan apa yang tak perlu dibuat peserta,” katanya.

Juri Juga Boleh Belajar

Menurut Aisha, tugas sebagai juri bukan sekadar menilai persembahan peserta, malah membuka ruang untuk dirinya turut belajar daripada generasi baharu yang bertanding.

“Menjadi seorang juri, saya ingin melihat bakat-bakat baru ini.

“Mereka juga akan memberi pendedahan kepada saya mengenai cara nyanyian jadi satu persekitaran untuk kita belajar juga.

“Juri pun boleh belajar juga daripada peserta dan kita pun memberi apa yang harus diberi dari segi ilmu dan sebagainya,” katanya.

Selain Aisha, Big Stage X Rocketfuel turut menampilkan Hael Husaini dan Akim Ahmad sebagai panel juri.

Program tersebut bakal menyaksikan 10 peserta bersaing sepanjang lapan minggu untuk merebut Rocketfuel Artist Development Contract bernilai sehingga RM200,000 yang merangkumi penghasilan single, video muzik, pembangunan imej dan bimbingan kerjaya profesional.

Mahu Beri Yang Terbaik

Walaupun sedar setiap keputusan dan komen yang diberikan bakal diperhatikan ramai, Aisha memilih untuk menerima cabaran itu dengan hati terbuka.

Baginya, teguran dan kritikan merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran, malah dia berharap dapat memainkan peranan sebaik mungkin dalam membantu mencungkil dan membentuk bakat baharu dalam industri muzik tempatan.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

RM200,000 Menanti Juara Big Stage X Rocketfuel!