Selepas mencipta fenomena menerusi siri pembukaan Wings Sunday Night Live di Kuala Lumpur, kumpulan rock legenda Wings sekali lagi membuktikan pengaruh mereka masih utuh apabila lebih 700 peminat membanjiri Hard Rock Cafe Melaka pada 12 Julai lalu.
Persembahan selama hampir satu jam setengah itu menyaksikan Awie, Syam, Edrie Hashim, Am dan Pae menghiburkan peminat menerusi gabungan lagu-lagu malar segar serta karya daripada album terbaharu mereka.
Wings.
APA
Menjayakan siri kedua Wings Sunday Night Live dengan persembahan penuh bertenaga di Hard Rock Cafe Melaka.
BILA
12 Julai 2026.
DI MANA
Hard Rock Cafe Melaka.
KENAPA
Sebagai kesinambungan siri showcase eksklusif bagi mempromosikan album baharu dan mendekati peminat.

Peminat Nyanyi Bersama Dari Awal Hingga Akhir
Wings membuka persembahan dengan Inspirasi Taming Sari sebelum meneruskan momentum menerusi Jerangkung Dalam Almari, Bujang Senang, Di Ambang Wati, Yes I Know dan Aku Pun Tahu.
Suasana bertambah meriah apabila lagu-lagu ikonik seperti Peronda Jaket Biru, Rock N Roll Lu Punya Suka, Jumpa Hilang, Bernafas Dalam Lumpur dan Hukum Karma bergema di seluruh ruang Hard Rock Cafe, dengan peminat menyanyikan setiap bait lagu bersama kumpulan itu.
Wings turut mempersembahkan lagu Taman Rashidah Utama daripada album Wings New Era sebelum mengembalikan nostalgia menerusi Harapan, Mabuk Tujuh Lautan dan Sejati.

Laungan ‘Encore’ Buat Wings Kembali Ke Pentas
Walaupun persembahan rasmi berakhir hampir tengah malam, peminat terus melaungkan perkataan “encore” sambil enggan berganjak dari hadapan pentas.
Melihat sambutan luar biasa itu, Wings kembali menghadiahkan tiga lagu tambahan iaitu Lipas Kudung, Entah Kiri Entah Kanan dan Hutan Simpan, sebelum menutup malam penuh bermakna itu menerusi Dalam Kehadiran Sofea.
Sorakan dan tepukan gemuruh jelas membuktikan hubungan erat antara Wings dan peminat yang kekal setia menyokong perjalanan muzik mereka sejak lebih empat dekad lalu.

Aura Wings Masih Kukuh
Kejayaan dua siri Wings Sunday Night Live di Kuala Lumpur dan Melaka membuktikan jenama tersebut masih mempunyai tarikan yang cukup kuat dalam kalangan peminat muzik rock tempatan.
Showcase eksklusif ini dianjurkan hasil kerjasama Awie Entertainment, Hard Rock Cafe dan RPM Label sebagai platform mempromosikan album baharu, selain menghidupkan semula budaya persembahan rock secara lebih intim bersama peminat.


GIPHY App Key not set. Please check settings