in , ,

Trevor Noah Bakal Gegarkan Kuala Lumpur November Ini

Selepas 14 tahun dinanti, pelawak antarabangsa Trevor Noah akhirnya bakal menjejakkan kaki ke Malaysia untuk mengadakan persembahan stand-up secara langsung di Kuala Lumpur pada 9 November ini.

Trevor Noah akan tampil di Idea LIVE Arena pada jam 8 malam menerusi persembahan yang dibawakan oleh LOL Asia dan BOHM, sekali gus memberi peluang kepada peminat tempatan menyaksikan sendiri figura komedi yang cukup dikenali menerusi The Daily Show.

Lebih daripada sekadar pelawak, Noah dikenali kerana kebolehannya mengangkat isu kehidupan, budaya, politik, hubungan serta tingkah laku manusia menerusi perspektif yang dekat dengan penonton daripada pelbagai latar.

BUZZ RINGKAS
SIAPA
Trevor Noah

APA
Pelawak, penulis, penerbit dan pengacara antarabangsa itu bakal mengadakan persembahan stand-up secara langsung di Malaysia.

BILA
9 November 2026, jam 8 malam.

DI MANA
Idea LIVE Arena, Kuala Lumpur.

MENGAPA
Trevor Noah akhirnya hadir ke Malaysia selepas 14 tahun usaha untuk membawanya beraksi di negara ini.

BAGAIMANA
Presale dibuka pada 9 September jam 10 pagi, manakala jualan umum bermula 11 September jam 10 pagi menerusi Fantopia.

14 Tahun Menanti Trevor Noah

Kehadiran Noah ke Malaysia bukan sesuatu yang berlaku dalam sekelip mata apabila CEO LOL Asia, Rizal Kamal, mendedahkan usaha membawa pelawak kelahiran Johannesburg itu ke negara ini sudah dilakukan selama 14 tahun.

Menurut Rizal, Noah mempunyai kelebihan tersendiri dalam menghubungkan penonton daripada latar budaya berbeza menerusi komedi yang bijak tetapi masih mengekalkan sisi kemanusiaan.

Katanya, Malaysia mempunyai penonton yang cukup matang untuk menghargai pendekatan komedi Noah, menjadikan persembahan kali ini sesuatu yang sudah lama dinantikan.

Dari Afrika Selatan Ke Pentas Dunia

Noah mula membina nama dalam dunia komedi di Afrika Selatan sebelum berkembang menjadi salah seorang personaliti hiburan paling dikenali di peringkat antarabangsa.

Namanya semakin melonjak selepas menyertai The Daily Show sebagai wartawan sebelum mengambil alih kerusi pengacara daripada Jon Stewart pada 2015.

Sepanjang tujuh tahun mengendalikan rancangan tersebut, Noah membawa perspektifnya sebagai individu dari Afrika Selatan ke dalam perbincangan mengenai politik, budaya dan isu semasa Amerika Syarikat.

Walaupun meninggalkan The Daily Show pada 2022, perjalanan Noah dalam industri hiburan terus berkembang menerusi stand-up comedy, penulisan, produksi, podcast dan televisyen.

Kini, dia merupakan pemenang dua anugerah Emmy, penulis buku terlaris The New York Times, pengasas Day Zero Productions serta Trevor Noah Foundation, selain menjadi pengacara podcast mingguan What Now? With Trevor Noah.

Pada 2026, Noah turut kembali ke Netflix menerusi komedi istimewa terbaharunya, Trevor Noah: Joy in the Trenches.

Dia juga kembali mengendalikan Grammy Awards untuk kali keenam berturut-turut pada 2026 sebagai pengacara dan penerbit eksekutif.

Komedi Yang Melangkaui Satu Budaya

Antara kekuatan utama Noah ialah kebolehannya menjadikan pengalaman yang berbeza antara satu sama lain terasa universal kepada penonton.

Pengalaman hidupnya sendiri banyak mempengaruhi karya yang dihasilkan, termasuk menerusi memoir Born a Crime: Stories from a South African Childhood yang mengangkat kisah zaman kanak-kanaknya serta isu bangsa, identiti, keluarga dan kehidupan.

Buku tersebut menjadi buku terlaris nombor satu New York Times dan telah terjual lebih tiga juta naskhah merentasi pelbagai format.

Karya keduanya, Into the Uncut Grass, turut mencapai kedudukan nombor satu dalam senarai buku terlaris New York Times.

Di pentas pula, Noah membuktikan kekuatan tarikannya menerusi jelajah Off The Record yang berjaya terjual habis di lima benua, termasuk persembahan di Hollywood Bowl, 10 malam di Beacon Theatre, New York serta tiga persembahan di O2, London.

Kini, pengalaman tersebut bakal dibawa pula ke Kuala Lumpur.

Tiket Mula Dijual September Ini

Peminat yang mahu menyaksikan Trevor Noah secara langsung di Malaysia boleh mendapatkan akses presale bermula 9 September 2026, jam 10 pagi.

Akses presale memerlukan pendaftaran terlebih dahulu, manakala jualan umum akan dibuka pada 11 September 2026, juga pada jam 10 pagi, menerusi platform tiket rasmi Fantopia.

Dengan kemunculan sulungnya di Malaysia ini, persembahan Trevor Noah dijangka menghimpunkan peminat yang mengenalinya daripada The Daily Show, stand-up comedy dan Netflix, selain pembaca buku serta pendengar podcastnya.

Selepas bertahun-tahun menghiburkan penonton di seluruh dunia, Noah kini akhirnya membawa perspektif dan jenaka tersebut ke Kuala Lumpur, sesuatu yang sudah 14 tahun cuba direalisasikan.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Lebih Sedekad Menyepi, Disagree Kembali Beraksi Menerusi “Black & White in Colour” Di REXKL

19 Tahun Menanti, 3DIVA Kembali! Giliran Peminat Lama Bawa Gen Z Menyanyi Bersama