Selebriti versatil Zizan Razak menasihatkan pengacara baharu supaya banyak bertanya, menerima teguran serta tidak bersikap bodoh sombong ketika masih dalam proses mempelajari selok-belok bidang pengacaraan.
Zizan, 42, berkata, pengacara yang masih baharu perlu sedar bahawa mereka mempunyai banyak perkara untuk dipelajari dan tidak seharusnya berpura-pura mengetahui semua perkara.
“Kalau rasa masih baru dan budak mentah, belajar serta banyakkan bertanya. Jangan sesekali buat-buat pandai kononnya bagus dalam semua benda.
“Pengacara lama pun jangan kedekutlah ilmu, didik dan bantu ketengahkan lagi pengacara baharu,” katanya.
Menurut Zizan, sikap rendah diri dan kesediaan menerima nasihat daripada pengacara lebih berpengalaman penting untuk membantu seseorang membina kemahiran serta keyakinan ketika mengendalikan sesebuah rancangan.
Zizan Razak.
APA
Nasihat kepada pengacara baharu yang masih belajar dan mencari rentak dalam bidang pengacaraan.
NASIHAT
Pengacara baharu perlu banyak bertanya, menerima teguran dan tidak berpura-pura mengetahui semua perkara.
RUANG
Zizan meminta orang ramai memberi peluang kepada pengacara baharu untuk belajar, dididik dan memperbaiki kelemahan.
KERJASAMA
Pengacara senior pula disaran tidak kedekut berkongsi ilmu, manakala rakan gandingan perlu mengelakkan sifat dengki.
PROGRAM
Zizan bakal mengemudi Borneo Rising bersama Sherry Alhadad bermula 6 September, dengan Noh Salleh, Marsha Milan dan Shila Amzah sebagai juri tetap.
Jangan Jadi Bodoh Sombong

Tambahnya, pengacara khususnya dalam kalangan generasi baharu perlu mengelakkan sikap bodoh sombong dengan berpura-pura mengetahui banyak perkara serta enggan menerima nasihat daripada orang lain.
“Maksud bodoh, benda kita tak boleh belajar. Kemudian apa erti sombong? Perkara yang kita tidak mampu nak ajar sebab individu itu berlagak.
“Jadi, jangan jadi bodoh sombong, buang perkara tersebut sebab tiada sebab pun seorang pengacara untuk bersikap bodoh atau sombong.
“Kalau sudah sedar kedudukan, kurang ilmu, tidak bijak atau memang tiada semua benda, jadilah individu rendah diri dan dengar apa nasihat pengacara senior,” ujarnya.
Bagi Zizan, pengalaman dan ilmu yang diperoleh daripada pengacara senior boleh membantu golongan baharu memahami perkara yang mungkin belum mereka kuasai.
Pengacara Baharu Perlu Diberi Ruang

Dalam masa sama, Zizan meminta orang ramai supaya tidak terus melemparkan kata-kata negatif kepada pengacara baharu yang masih mencari rentak ketika mengendalikan sesebuah rancangan.
Katanya, setiap pengacara bermula daripada tahap yang berbeza dan mereka memerlukan ruang untuk belajar serta memperbaiki kelemahan, terutama apabila diberikan tanggungjawab mengendalikan program terkenal.
“Kita tidak boleh terus hentam pengacara itu sebab semua orang pada awalnya muncul tanpa ilmu yang banyak atau ‘zero’.
“Berilah peluang, didik dan latihlah mereka. Namun mereka juga perlu belajar banyak benda dan nilai semula setiap kecaman dalam media sosial.
“Kemudian lihat semula persembahan sebelum itu, ambil maklum dan perbaiki kelemahan diri,” katanya.
Zizan berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program Borneo Rising.
Menurutnya, teguran dan kecaman yang diterima di media sosial boleh dinilai semula oleh pengacara bagi mengenal pasti kelemahan sebelum melakukan penambahbaikan pada persembahan seterusnya.
Jangan Dengki Dengan Rakan Gandingan

Zizan turut mengingatkan pengacara supaya tidak mempunyai rasa cemburu atau dengki terhadap rakan gandingan semata-mata mahu menyerlahkan diri sendiri.
“Paling penting jangan ada rasa dengki antara satu sama lain seperti mempunyai niat untuk tenggelamkan rakan pengacara semata-mata mahu menyerlah seorang diri.
“Setiap pengacara perlu cuba terbaik dan letakkan diri sedang bekerja.
“Niat utama adalah untuk menjayakan program yang dikendalikan, bukannya kena jayakan diri sendiri. Itu pentingkan diri dan kalau ada, satu kesilapan,” jelasnya.
Menurut Zizan, keserasian antara pengacara penting bagi memastikan sesebuah program dapat dikendalikan dengan baik tanpa wujud persaingan yang tidak sihat antara rakan gandingan.
Zizan Kendali Borneo Rising Bersama Sherry Alhadad

Dalam perkembangan lain, Zizan bakal mengemudi program realiti nyanyian Borneo Rising bersama Sherry Alhadad bermula 6 September depan.
Program berkenaan mencungkil bakat nyanyian khususnya dari Sabah dan Sarawak.
Borneo Rising turut menampilkan Noh Salleh, Marsha Milan dan Shila Amzah sebagai barisan juri tetap.



GIPHY App Key not set. Please check settings