Komuniti Islam dan pencinta kemanusiaan dijemput untuk menghadiri Seeking Rahma Gathering 2025: The Inevitable Promise, sebuah acara kerohanian dan solidariti yang bakal berlangsung pada 24 dan 25 Mei ini di Auditorium Tun Azizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Dalam sidang media pada 22 Mei lalu, penganjur acara, Rahma Worldwide, mengumumkan pelbagai pengisian istimewa termasuk sesi bersama Grand Imam Michigan, Sheikh Dr. Shadi Zaza, yang terkenal kerana telah mengetuai lebih lima misi perubatan ke Gaza.
Turut hadir pada acara ini ialah Ahmad Halabi, Ketua Pegawai Eksekutif Rahma Worldwide, yang akan berkongsi pengalaman beliau dalam pelbagai misi kemanusiaan ke Gaza. Para peserta juga berpeluang mendengar sendiri kisah-kisah sebenar dari barisan hadapan misi bantuan kemanusiaan melalui perkongsian delegasi Rahma Worldwide.

Konsert kemanusiaan bertajuk Symphony of Humanity bakal memeriahkan malam perhimpunan ini, menampilkan persembahan istimewa oleh artis nasyid antarabangsa Mohamed Tarek dan Hafiz Hamidun. Persembahan ini bersempena dengan pelancaran single duo antarabangsa pertama mereka, yang dijangka membawa mesej keamanan dan kasih sayang sejagat.
Acara dua hari ini juga menyajikan sesi kuliah Grand Dhuha oleh Sheikh Dr. Shadi Zaza, forum diskusi panel, dan sesi khas bertajuk “The Inevitable Promise: The Women of Heavens” bagi memperkasakan peranan wanita dalam komuniti.
Penganjur menyatakan bahawa acara ini adalah platform bagi menyatukan ummah melalui pengisian rohani, perkongsian ilmu dan pembentukan hubungan silaturrahim.
“Kami berharap acara ini menjadi satu perjalanan jiwa yang memupuk rahmat, kasih sayang dan solidariti. Ini bukan hanya sekadar ceramah, tetapi juga ruang untuk menyemai nilai kemanusiaan dan empati sesama insan,” ujar penganjur.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila layari laman rasmi: www.seekingrahma.live.
Acara ini dijangka menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, profesional, dan keluarga yang mendambakan inspirasi rohani serta peluang untuk menyumbang kepada misi kemanusiaan global.



GIPHY App Key not set. Please check settings