Pencinta bunga dan alam semula jadi kini mempunyai satu lagi destinasi wajib dikunjungi apabila BUNGA 2026 secara rasmi membuka tirainya di Resorts World Awana, Genting Highlands.
Festival selama lima hari itu menghimpunkan pengusaha, penghibrid, pengumpul dan persatuan orkid terkemuka dari seluruh Asia dalam satu acara florikultur bertaraf antarabangsa.
Berlangsung dari 3 hingga 7 Jun di Awana Village, festival ini turut diangkat sebagai pameran bunga tertinggi di Malaysia, menawarkan pelbagai pengalaman berkaitan orkid, seni botani dan biodiversiti dalam suasana tanah tinggi yang nyaman.
Resorts World Awana & komuniti orkid Asia.
APA
Festival orkid dan florikultur antarabangsa.
BILA
3 hingga 7 Jun 2026.
DI MANA
Awana Village, Genting Highlands.
MENGAPA
Meraikan keindahan orkid dan biodiversiti.
BAGAIMANA
Melalui pameran, pertandingan dan aktiviti botani.
Himpunkan Pakar Orkid Dari Seluruh Asia
Antara tarikan utama BUNGA 2026 ialah Pameran dan Pertandingan Orkid Antarabangsa yang menampilkan peserta dari Malaysia, Singapura, Thailand, Vietnam, Taiwan, Indonesia dan Brunei. Pengunjung berpeluang melihat sendiri koleksi orkid eksklusif, hasil kacukan unik serta landskap bunga yang direka khas oleh pakar-pakar hortikultur serantau.
Antara nama yang terlibat termasuk Taipei Orchid Society, Damrong Star Orchid Society dari Thailand, Indonesia Orchid Community, The Orchid Society of South East Asia (OSSEA) dari Singapura dan Jasmina Florist & Landscaping Co. dari Brunei.

Malaysia Sedia Jadi Hab Orkid Serantau
Menurut Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam Resorts World Genting, Spencer Lee, festival tersebut bukan sekadar pameran bunga biasa tetapi menjadi platform yang menyatukan komuniti orkid dari seluruh rantau Asia.
“BUNGA 2026 bukan sekadar sebuah pameran bunga, malah merupakan platform yang meraikan kreativiti, budaya, usaha pemuliharaan serta minat terhadap orkid yang menyatukan komuniti dari seluruh Asia,” katanya.
Beliau berkata festival itu juga menjadi langkah awal ke arah penganjuran Asia Pacific Orchid Conference (APOC) 2028 yang bakal berlangsung di Resorts World Genting.

Bukan Sekadar Tengok Bunga
Selain pameran utama, pengunjung boleh meneroka ruang niaga botani yang menawarkan pelbagai spesies orkid, tumbuhan tropika, dekorasi berasaskan tumbuhan dan produk gaya hidup berkaitan alam semula jadi.
Festival ini turut menampilkan pengalaman interaktif seperti Bloom Beyond BUNGA di Eufloria Gardens & Sculpture Park, Forest for the Future: Orchid Stories serta Wild Orchid Explorer yang membawa pengunjung menyelusuri habitat semula jadi orkid liar di hutan tanah tinggi Genting.

Pengalaman Premium Untuk Pencinta Flora
Bagi mereka yang mahukan pengalaman lebih eksklusif, Orchadia memperkenalkan konsep gaya hidup botani premium yang menggabungkan gastronomi, bengkel khas, kelas induk orkid dan sesi apresiasi kopi serta teh dalam suasana rumah kaca mewah.
Sepanjang festival berlangsung, pengunjung juga berpeluang mendapatkan orkid yang jarang ditemui selain menyertai pelbagai aktiviti pendidikan berkaitan pemuliharaan tumbuhan dan biodiversiti.

Tiket Bermula RM30
Tiket masuk BUNGA 2026 ditawarkan pada harga RM30 manakala tiket kombo bersama Eufloria boleh didapati pada harga RM60. Menariknya, setiap tiket turut disertakan kredit makanan bernilai RM10 yang boleh ditebus sepanjang festival berlangsung.
Pengunjung yang ingin bercuti lebih lama turut boleh memilih pakej Bunga Bloomscape Staycation dengan harga penginapan bermula serendah RM81 semalam termasuk tiket kemasukan ke festival.

Genting Kini Mekar Dengan Warna-Warni Orkid
Dengan penyertaan peserta dari seluruh Asia, pelbagai aktiviti interaktif dan ribuan spesies bunga dipamerkan, BUNGA 2026 bukan sahaja menjadi syurga buat pencinta flora tetapi turut mengangkat Malaysia sebagai antara destinasi penting dalam dunia florikultur serantau. Festival ini juga membuka peluang kepada orang ramai untuk menghargai keindahan alam semula jadi sambil mendalami dunia orkid yang penuh warna-warni.



GIPHY App Key not set. Please check settings