LAGU DARI SELULOID VOLUME 2 bukan sekadar satu hiburan, tetapi juga sebuah inisiatif penting untuk mendigitalkan dan merekodkan semula (secara digital) 10 buah lagu dari filem-filem Melayu Klasik yang diterbitkan antara tahun 1950 hingga 1959.
Projek ini bertujuan untuk memastikan bahawa lagu-lagu ikonik dari era tersebut diselaraskan dengan kemajuan teknologi digital serta perkembangan industri 4.0 dan 5.0 masa kini.

Inisiatif ini diusahakan oleh Mac Training Centre Sdn Bhd dengan kerjasama Studio Funky Brigade. Tujuan utama projek ini adalah untuk memelihara dan memastikan warisan seni negara dapat dikekalkan, diakses, serta diwariskan kepada generasi akan datang.
Lagu-lagu dari filem Melayu pada tahun 1950-an memiliki nilai sejarah yang tinggi dan merupakan sebahagian daripada khazanah negara yang kaya dengan estetika, yang mana pada masa itu, muzik dan nyanyian dirakam secara langsung tanpa bantuan teknologi canggih seperti yang ada pada hari ini.
Sebagai kesinambungan daripada projek LAGU DARI SELULOID yang dilancarkan tahun lalu, projek LAGU DARI SELULOID VOLUME 2 juga bertujuan untuk menghargai dan mengenang karya-karya seni para komposer, penulis lirik, serta penyanyi pada waktu itu. Projek ini diharapkan dapat memberi sumbangan kepada perkembangan seni muzik dan filem di masa depan, sekaligus menanamkan rasa kecintaan terhadap muzik Melayu Klasik.
Antara lagu-lagu yang dipaparkan dalam projek ini adalah Merpati Dua Sejoli (filem Bakti – 1950), Semarak Hati(filem Juwita – 1951), Mesra Ibu/Kasih Ibu (filem Sedarah – 1952), Ingin Tahu (filem Hujan Panas – 1953), Chahaya(filem Insaf – 1954), dan Sejakku Bertemu Padamu (filem 4 Isteri – 1955). Lagu-lagu lain yang turut diarkibkan termasuk Tiada Kata Secantik Bahasa (filem Anakku Sazali – 1956), Nak Dara Rindu (filem Bujang Lapok – 1957), Sumpah Tanda Setia (filem Gergasi – 1958), dan Sang Ratu (filem Raden Mas – 1959).
Projek ini turut melibatkan penyanyi terkenal seperti Aqasha, Sharifah Zarina, Ayu Damit, Azizul Haqim, Ezdianie Hayatie, dan Idris Brown. Beberapa lagu akan dipersembahkan secara solo, sementara yang lain dalam bentuk duet.



Bagi memastikan maklumat yang tepat mengenai sejarah lagu-lagu tersebut, kajian mendalam telah dilakukan, termasuk wawancara dengan dua tokoh penting dalam industri muzik dan seni tanah air iaitu Dato’ Dr. Johari Salleh, seorang masestro muzik dan komposer, serta Ahmad Fauzi, seorang pelakon dan penyanyi yang turut terlibat dalam filem-filem tersebut. Kedua-dua tokoh ini mempunyai banyak pengetahuan dan catatan tentang perkembangan muzik dan filem Melayu, terutama pada zaman kegemilangan seni di Singapura.
Menurut Puan Samirah Hambali, Pengarah Urusan Mac Training Centre, pengarkiban dan pendigitalan skor muzik serta rakaman semula bagi lagu-lagu klasik Melayu 1950-an adalah satu usaha yang amat penting bagi memastikan khazanah seni ini terus terpelihara. “Kami berterima kasih kepada Yayasan Hasanah yang terus memberikan sokongan untuk meneruskan projek penting ini,” katanya.
Shamsul Cairel, Pengarah projek dan juga Pengarah Muzik LAGU DARI SELULOID VOLUME 2, menjelaskan bahawa pemilihan lagu-lagu adalah berdasarkan filem-filem dari era 1950-an. Beliau juga berkongsi cabaran yang dihadapi dalam menjalankan projek ini, seperti ketiadaan salinan filem lama seperti Bakti yang hilang dari arkib. Walau bagaimanapun, mereka beruntung kerana ada potongan filem lama yang dimuat naik oleh peminat filem klasik di media sosial yang membantu dalam proses pengarkiban.

Mac Training Centre Sdn Bhd turut bekerjasama dengan ASWARA, melibatkan pelajar dan alumni dari Fakulti Muzik, Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem, serta Fakulti Pengurusan Seni dan Budaya. Penyelidikan turut dilakukan di Arkib Negara, Bahagian Muzik RTM, dan Perpustakaan Negara. Pemuzik-pemuzik yang terlibat adalah pelajar ASWARA serta beberapa tenaga profesional.

Projek LAGU DARI SELULOID VOLUME 2 akan dipaparkan di saluran YouTube Mac Training Centre Sdn Bhd pada Rabu, 27 Februari 2025, dengan menyajikan rakaman audio dan visual yang memaparkan kredit nama komposer, penulis lirik, penyanyi, serta skor muzik yang telah diperbaharui.
Projek ini juga mendapat sokongan daripada Mastika Katering sebagai penaja utama untuk makanan sidang media, ASWARA sebagai penaja tempat, serta geran ArtsFAS 2024 daripada Yayasan Hasanah.



GIPHY App Key not set. Please check settings