Sebuah lagu nyanyian Biduanita Negara, Saloma serta dua buah lagi yang dinyanyikan bersama suaminya, Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee menjadi pilihan penyanyi berasal Sarawak, Dayang Nurfaezah untuk dimuatkan dalam album kesembilannya ‘Belagu’.
‘Tudung Periuk’ yang dinyanyikan Allahyarham P. Ramlee dan Saloma untuk filem ‘Sumpah Orang Minyak’ dipilih membuka trek pertama album yang bakal hadir dengan lapan lagu klasik Melayu lama.
Sebuah lagi lagu dari filem sama, ‘Tari Tualang Tiga’ nyanyian asal Saloma turut dimuatkan diikuti lagu duet pasangan suami isteri ini iaitu ‘Malam Ku Bermimpi’.
Selain itu lima lagi lagu klasik lama meliputi ‘Jikalau Abang Merindu’ (nyanyian asal Nona Asiah), ‘Tak Seindah Wajah ‘(Tan Sri S.M. Salim), ‘Gurindam Jiwa’ (Rafeah Buang/R. Ismail), ‘Di Kirim Jangan Di Pesan Jangan’ (Dato Andre Goh) dan ‘Kenang Daku Dalam Doa Mu’ nyanyian Allahyarhamah Dato Sharifah Aini.
‘Belagu’ – bermaksud menyanyi dalam dialek Melayu bumi Kenyalang Sarawak iaitu negeri tumpah darahnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty yang dilahirkan 39 tahun lalu memperlihatkan buat pertama kalinya mengembalikan esen muzik tradisional dalam sebuah album.
Kenapa lagu-lagu lama dan tidak yang baharu agaknya?
“Menerusi ‘Belagu’ saya mahu perkenalkan semula lagu Melayu klasik kepada generasi muda dalam bentuk yang lebih ringan dan segar, “ jawab Dayang Nurfaezah di majlis pra dengar album ‘Belagu’ yang berlangsung di Universal Music Malaysia pada petang 12 Januari 2020 lalu.
Menurut Dayang, lagu Melayu klasik sudah mempunyai ritmanya tersendiri, bait lirik yang cukup indah dan begitu juga cara penyampaiannya.
“Kami ada menyuntik kelainan pada persembahan lagu-lagu ini tetapi keaslian melodinya masih dikekalkan,” kata Dayang.
Keistimewaan yang mahu diketengahkan oleh ‘Belagu’ tidak hanya pada susunan muziknya namun juga pada proses rakamannya.
Dayang mahu mengalami sendiri bagaimana merakamkan lagu dengan iringan muzik secara lansung lantas mencetus idea untuk dia ‘membawa’ studio rakaman ke ruang yang lebih besar.
Proses rakaman yang di sempurnakan dalam masa dua hari, diiringi pemuzik-pemuzik hebat di bawah telunjuk Audrey Suwito yang juga bertindak menyusun dan menggubah lagu-lagu di dalam album.
Memilih ‘Tudung Periuk’ sebagai lagu pembukaan album, penyanyi tersohor yang sudah meraih pelbagai anugerah ini berpendapat lagu tersebut dipilih kerana kemasyhurannya di kalangan orang Melayu sejak dahulu lagi.
“Liriknya yang begitu puitis disempurnakan lagi dengan melodi yang mengasyikan, ‘Tudung Periuk’ cukup jelas mempamerkan esen muzik tradisional Melayu,” tambah Dayang.
Menurutnya, beliau melancarkan lagu berkenaan terlebih dahulu sebagai pembuka kepada semua peminat supaya mereka tahu apa yang bakal disajikan kepada mereka apabila album ini dilancarkan sepenuhnya kelak.
“Jika mereka sukakan ‘Tudung Periuk’ pastinya mereka akan sukakan suntikan segar pada lagu-lagu lain di dalam ‘Belagu’.
Istimewanya lagi, melalui rakaman ‘Belagu’, Dayang mahu mengalami sendiri bagaimana merakamkan lagu dengan iringan muzik secara lansung lantas mencetus idea untuk dia ‘membawa’ studio rakaman ke ruang yang lebih besar.
Lebih menarik lagi, Dayang turut mengajak rakan duet popularnya, Hael Husaini menyanyi bersamanya untuk lagu ‘Gurindam Jiwa’. Wah! Serasi sungguh dia orang kan? Betul ke tiada apa apa hubungan istimewa?
BELAGU diterbitkan oleh syarikat milik Dayang Nurfaizah sendiri DN & AD ENTERTAINMENT SDN BHD dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia.
TUDUNG PERIUK boleh didengari sekarang di semua platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 15 Januari 2021 manakala album BELAGU edisi digitaldilancarkan pada 12 Febuari 2021.
‘Pre-order, pre-add, pre-save’ di semua platform digital sekarang!
GIPHY App Key not set. Please check settings