KUALA LUMPUR, 5 Januari – “Saya dan keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk bertindak,” kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berhubung penahanan anak lelakinya dalam operasi polis di sebuah pusat hiburan di sini, awal pagi Sabtu.

Menurutnya dalam satu kenyataan malam ini, beliau telah dimaklumkan penahanan anaknya Ahmad Saiful Islam Mohamad oleh pihak polis hari ini.

Kenyataan Mohamad Sabu melalui laman Facebooknya.

“Susulan penahanan ini, saya dan keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk bertindak berdasarkan proses undang-undang sedia ada.

“Anak saya sama seperti anak orang lain juga tertakluk kepada proses undang-undang negara,” katanya.

Media hari ini melaporkan anak seorang menteri adalah antara dua lelaki yang ditahan dalam operasi polis di sebuah pusat hiburan, di Jalan Ampang, kira-kira jam 3 pagi.

Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan bersama rakanya berusia 33 tahun apabila didapati positif dadah jenis ganja.

Ops Pusat Hiburan Bersepadu itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) dan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bermula jam 12.30 tengah malam di sekitar Jalan Ampang.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Beliau juga memaklumkan bahawa kedua-dua suspek tersebut telah dibebaskan dengan jaminan polis petang tadi.

Tinggalkan Pendapat Anda Untuk Semua Dengari