in ,

Danial Kifli Tak Sedia Jadi Boy Band

Peserta Finalis Big Stage X Rocketfuel, Danial Kifli tidak menolak kemungkinan untuk terus bekerjasama bersama anggota Pulze selepas pertandingan, namun mengakui belum bersedia jika mereka perlu dibentuk sebagai kumpulan boy band secara kekal.

Pendiriannya itu hadir selepas Pulze yang dianggotai Danial, Adam Nazmie, Hussain dan Qilo berjaya menewaskan kumpulan Beatz dalam pusingan Battle minggu separuh akhir.

BUZZ RINGKAS

TAK MAHU KEKAL
Danial Kifli tidak bersedia untuk membentuk Pulze sebagai kumpulan boy band secara kekal.

JAGA PERSAHABATAN
Dia bimbang komitmen kumpulan boleh menjejaskan hubungan persahabatan mereka.

BOLEH KERJASAMA
Danial terbuka jika mereka terus mengadakan persembahan bersama atas permintaan peminat.

PULZE MENANG BATTLE
Pulze mengatasi Beatz menerusi persembahan lagu Monalisa Bang Bang daripada Alpha.

Tak Mahu Persahabatan Terjejas

Danial berkata, dia lebih selesa jika hubungan mereka kekal sebagai persahabatan berbanding meletakkan komitmen sebagai sebuah kumpulan secara serius.

“Kalau betul-betul grup yang betul-betul fokus macam Alpha, sejujurnya saya tak nak. Saya dah lebih selesa solo,” katanya.

Menurut Danial, apabila bergerak secara solo, dia hanya perlu bertanggungjawab terhadap dirinya sendiri sekiranya menerima kecaman atau pujian.

“Kalau saya kena kecam atau pujian, saya sendiri yang dapat. Saya sendiri akan perbaiki,” katanya.

Takut Ada Yang Terasa

Danial berkata, dia menyayangi hubungan yang terjalin bersama anggota Pulze selepas mereka menghabiskan beberapa minggu bersama dalam pertandingan.

Bagaimanapun, dia bimbang keadaan mungkin berubah sekiranya mereka benar-benar menjadi sebuah kumpulan dan terpaksa berdepan dengan komitmen serta perbezaan karakter masing-masing.

“Bila grup ini, saya sangat sayang dari segi ukhuwah kita. Kita tahu bila kita grup nanti, masing-masing akan nampak perangai sebenar. Nanti ada seorang yang mungkin akan terasa atau mungkin tak boleh beri komitmen,” katanya.

Justeru, Danial mahu persahabatan yang terjalin itu kekal walaupun pertandingan sudah berakhir.

“Saya kalau boleh, sebagai kawan yang baru kenal beberapa minggu, saya nampak semua baik. Saya tak nak ada isu nanti bila dekat luar. Kalau boleh saya nak kekalkan persahabatan kita sampai bila-bila,” katanya.

Terbuka Jika Peminat Mahu Lihat Pulze Bersama

Bagaimanapun, pendirian itu tidak bermaksud Danial menolak sepenuhnya kemungkinan mereka bekerjasama selepas Big Stage X Rocketfuel.

Katanya, jika terdapat permintaan daripada peminat untuk melihat mereka mengadakan persembahan bersama, dia terbuka untuk mempertimbangkannya.

“Kalau ada rezeki, kita sama-sama boleh. Tapi kita anggap benda ini sebagai ‘have fun’, macam nak hiburkan orang saja,” katanya.

Namun, Danial menegaskan dia tidak melihat Pulze sebagai kumpulan yang perlu mempunyai sasaran tetap seperti menghasilkan single atau memburu anugerah.

Komitmen Jadi Cabaran

Antara sebab Danial kurang bersedia untuk menyertai kumpulan secara serius ialah komitmen yang perlu diberikan oleh setiap anggota.

Katanya, pengalaman sepanjang Big Stage sendiri sudah menunjukkan betapa sukarnya untuk menyelaraskan jadual apabila masing-masing mempunyai aktiviti berbeza.

“Bila kita ramai-ramai ini, susah nak bagi masa. Dalam minggu ini pun ada yang pergi penggambaran penaja, ada yang pergi kelas tambahan. Masa itu pun saya dah rasa macam, alamak, susah juga,” katanya.

Selain masa, Danial turut bimbang sekiranya kesilapan seorang anggota akhirnya memberi kesan kepada keseluruhan kumpulan.

“Bila grup ini, masing-masing kena sempurna. Maksudnya tak boleh salah sikit. Walaupun berbeza individu, suara dan kelebihan, bila seorang buat silap, nanti semua akan rasa benda yang sama,” katanya.

Atas faktor itu, Danial mengakui dirinya masih belum bersedia untuk memikul komitmen sebagai anggota kumpulan secara tetap.

Pulze Menang Battle

Dalam pusingan Battle minggu separuh akhir Big Stage X Rocketfuel, Pulze yang dianggotai Danial Kifli, Adam Nazmie, Hussain dan Qilo berentap menentang Beatz yang terdiri daripada Ranisha, Aliff Kimiey, Yad-Z dan Danny.

Pulze berjaya meraih kemenangan menerusi persembahan lagu Monalisa Bang Bang daripada kumpulan Alpha dan menerima wang bernilai RM1000.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

“Fatwa Pujangga Lagu Kegemaran Arwah Mak” – Yad-Z