in ,

Hussain Nak Tidur Dua Hari, Peminat Jadi Askar?

Selepas mengharungi perjalanan selama 18 minggu dalam dua program realiti, juara Big Stage X Rocketfuel, Hussain mengakui dirinya benar-benar penat sehingga perkara pertama yang terlintas di fikirannya selepas bergelar juara adalah mahu tidur selama dua hari.

Hussain berkata, perjalanan panjang tersebut bukan sesuatu yang mudah, malah ada kepenatan yang sukar untuk diterangkan kepada orang lain.

“Saya sebenarnya susah nak beritahu sebab antara saya dengan Tuhan saja yang tahu saya punya penat macam mana. Tapi janji saya, saya nak buat yang terbaik, itu saja,” katanya.

BUZZ RINGKAS

MAHU REHAT
Hussain mengakui mahu tidur selama dua hari selepas tamat perjuangan dalam Big Stage.

ANGGAP KELUARGA
Dia menganggap rakan-rakan seperjuangan sebagai keluarga dan mengakui bakal merindui mereka selepas pertandingan.

UTAMAKAN IBU BAPA
Hussain tidak mahu berehat terlalu lama kerana mahu terus berusaha dan membahagiakan ibu bapanya.

PEMINAT SEBAGAI “ASKAR”
Hussain menyifatkan peminat sebagai “askar” yang sentiasa mempertahankan dirinya apabila menerima kecaman.

Sampai Terfikir Nak Tidur Dua Hari

Selepas segala tugasan dan pertandingan berakhir, Hussain mengakui tubuhnya memerlukan rehat yang cukup selepas berminggu-minggu memberikan komitmen.

Malah, dia secara berseloroh berkata mahu tidur selama dua hari sebelum kembali meneruskan rutin sebagai seorang artis.

“Penat oh ini. Esok pula ada temu bual. Saya pun nak tidur lama. Saya nak tidur dua hari jugalah kalau boleh. Tidur, bangun balik, saya nak tidur lagilah,” katanya.

Bagaimanapun, Hussain sedar kemenangan tersebut turut membuka laluan baharu dalam kerjaya seni dan dia tidak mahu mengambil masa terlalu lama untuk berehat.

“Saya tak adalah lama sangat rehat sebab umur masih muda. Lagi pulun-pulunlah,” katanya.

Doa Keluarga, Sokongan Peminat

Mengimbas kembali bagaimana dia mampu bertahan selama 18 minggu, Hussain menyifatkan doa keluarga dan sokongan peminat sebagai antara kekuatan utama sepanjang berada dalam pertandingan.

“Semuanya daripada berkat doa daripada keluarga saya dan saya punya peminat. Tanpa mereka siapalah saya,” katanya.

Hussain turut mengakui sokongan tersebut bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana mereka sentiasa berada di belakangnya sepanjang perjalanan dalam program realiti.

Bahkan, selepas dinobatkan sebagai juara, dia mahu mengutamakan peminat dengan merancang untuk mengadakan acara bertemu dan beramah mesra sebagai tanda penghargaan.

“First sekali saya nak buat ‘meet and greet’ dengan peminat saya,” katanya.

Hussain Anggap Peminat Sebagai “Askar”

Dalam pada itu, Hussain turut mengulas mengenai peminatnya yang sering dilihat tampil mempertahankan dirinya apabila menerima komen negatif di media sosial.

Menurut Hussain, dia melihat tindakan tersebut sebagai satu bentuk rezeki dan menghargai kesetiaan mereka yang sentiasa menyokongnya.

“Saya punya askar, tentera. Tak boleh orang lain kecam saya, mereka bantai balik,” katanya.

Hussain percaya sokongan peminat itu mungkin hadir kerana mereka turut melihat sisi dirinya yang rapat dengan keluarga, khususnya cara dia melayan bapanya.

“Mungkin saya dapat kesan daripada situ. Kadang-kadang orang tak ada abang, kemudian bila dia tengok saya layan bapa saya macam itu, mereka seronok, tumpang seronoklah,” katanya.

Kemenangan Untuk Ibu Bapa

Bagi Hussain, kejayaan bergelar juara bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya hadiah buat kedua-dua ibu bapanya yang banyak memberikan tunjuk ajar dan nasihat sepanjang hidupnya.

Dia mengakui pernah mengecewakan bapanya ketika zaman remaja dan kemenangan tersebut menjadi peluang untuk membuktikan bahawa dia mampu membanggakan keluarga.

“Saya sebelum ini banyak mengecewakan dia. Jadi benda ini saya nak hadiahkan kepada dia. Saya rasa dah macam dapat banggakan ayah, abah. Saya dah dapat banggakan kedua-dua ibu bapa saya, keluarga saya dan terutama peminat saya sendiri,” katanya.

Kemenangan itu melayakkan Hussain membawa pulang kontrak bernilai RM200,000, wang tunai RM30,000, sebuah single terbitan Rocketfuel Entertainment, peruntukan pengurusan kerjaya serta pemasaran single bernilai RM100,000 dan trofi.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

“Abah, Saya Berjaya!” Hussain Juara Big Stage X Rocketfuel