Peserta Big Stage X Rocketfuel, Danial Kifli mengakui tidak menjangka menerima U Mobile Priority Pass yang membolehkannya mara terus ke pentas final, apatah lagi apabila mengetahui terdapat peserta lain yang lebih mendapat perhatian netizen dan juri sepanjang pertandingan.
Danial berkata, dia pada awalnya tidak meletakkan sebarang harapan untuk menerima pas berkenaan kerana menyedari terdapat peserta yang lebih menonjol dari segi vokal, konsep persembahan serta sokongan peminat.
BUZZ RINGKAS
TERUS KE FINAL
Danial Kifli menerima U Mobile Priority Pass dan mengesahkan tempat ke pentas final.
NETIZEN PERSOAL
Ada peminat mempertikaikan mengapa Danial menerima Priority Pass tersebut.
TAK AMBIL HATI
Danial berkata dia tidak kisah dengan perbandingan atau pertikaian mengenai rezekinya.
PERNAH DIPERTIKAI
Dia turut pernah berdepan persoalan mengenai pencalonan serta jumlah tontonan karyanya sebelum ini.
Tak Sangka Dapat Priority Pass
Menurut Danial, dia lebih memilih untuk memberi tumpuan kepada markah dan persembahannya sendiri berbanding memikirkan peluang mendapatkan Priority Pass.
“Sejujurnya saya tak jangka. Bila saya sertai Big Stage ini dan dapat khabar kami ada pas daripada U Mobile, memang saya tak target pun,” katanya.
Malah, Danial mengakui menyedari terdapat beberapa peserta yang lebih menjadi pilihan netizen dan juri.
“Kita tahu ada yang hebat dari segi vokal, ada yang hebat dari segi engagement peminat. Jadi saya rasa mungkin mereka lebih layak mendapatnya sebab mereka lebih mendapat perhatian,” katanya.
Bagaimanapun, dia terkejut apabila mendapati gambarnya tertera pada Priority Pass berkenaan.
“Bila diumumkan itu, saya tengok gambar saya dan memang sangat-sangat terkejut. Saya gembira sangat sampai tak boleh cakap,” katanya.
Netizen Pertikai Kenapa Dia Terpilih
Dalam masa sama, Danial sedar keputusan tersebut turut mengundang persoalan daripada netizen yang mempertikaikan pemilihannya untuk menerima Priority Pass.
Namun, perkara itu tidak mengganggu emosinya kerana dia menganggap setiap peserta mempunyai rezeki dan kelebihan masing-masing.
“Kalau orang nak bandingkan saya dengan orang lain, masing-masing ada kelebihan dan kekurangan. Masing-masing ada rezeki masing-masing, macam roda,” katanya.
Danial turut menegaskan dia tidak mengambil hati dengan komen yang mempertikaikan kedudukannya untuk mara ke final.
“Kecil hati itu tak ada. Saya seorang yang tak kisah sebab saya tak fokus sangat dekat media sosial,” katanya.
Pernah Berdepan Pertikaian Sebelum Ini
Menurut Danial, situasi mempertikaikan pencapaian dirinya bukan sesuatu yang baharu.
Dia berkata, sebelum ini pun pernah ada pihak yang mempersoalkan pencalonannya dalam kategori Lagu/Audio Tergempak, Gempak Most Wanted Awards 2023 (GMWA 2023) serta jumlah tontonan bagi karya muziknya.
“Saya pernah berada di posisi macam itu. Dulu rezeki saya tercalon dalam Top 5 Astro Gempak pun ada yang mempertikaikan rezeki saya, tontonan saya untuk single pun banyak yang cakap tak layak,” katanya.
Namun, pengalaman tersebut membuatkan Danial lebih memilih untuk tidak terlalu memikirkan pandangan negatif di media sosial.
Pilih Fokus Perbaiki Kelemahan
Danial berkata, dia lebih selesa menggunakan masa yang ada untuk memperbaiki kelemahan diri daripada terlalu memikirkan komen netizen.
“Saya lebih suka masa diri saya untuk perbaiki apa yang menjadi kelemahan saya setiap minggu,” katanya.
Dengan Priority Pass tersebut, Danial kini menjadi antara peserta yang sudah mengesahkan tempat di pentas final Big Stage X Rocketfuel dan berpeluang memburu kontrak pembangunan artis bernilai sehingga RM200,000.
GIPHY App Key not set. Please check settings