Selepas lebih sedekad mencipta nama di pentas antarabangsa, penyanyi dan penulis lagu Malaysia, Zee Avi, kini membuka lembaran baharu dalam kerjayanya apabila menjalin kerjasama strategik bersama Sony Music Publishing Indonesia.
Langkah itu dilihat sebagai usaha memperkukuhkan lagi kehadiran pemilik lagu Bitter Heart itu di Indonesia, selain membuka lebih banyak peluang kolaborasi bersama penulis lagu dan pemuzik dari negara jiran.
Zee Avi dan Sony Music Publishing Indonesia.
APA
Kerjasama strategik bagi mengembangkan karya dan kolaborasi muzik di Indonesia.
BILA
2026.
DI MANA
Malaysia dan Indonesia.
KENAPA
Memperkukuhkan hubungan muzik serantau serta membuka lebih banyak peluang kolaborasi rentas negara.

Indonesia Sentiasa Dekat Di Hati Zee Avi
Menurut Zee, kerjasama tersebut hadir secara semula jadi memandangkan beliau sudah lama menerima sokongan luar biasa daripada peminat di Indonesia.
“Saya sentiasa percaya muzik mempunyai jalannya yang tersendiri. Selama bertahun-tahun, saya bertuah kerana terus menerima sokongan daripada pendengar di Indonesia dan hubungan itu semakin kukuh.
“Indonesia telah memberikan begitu banyak kasih sayang terhadap muzik saya. Sebab itu, kerjasama antara kumpulan saya, Zee Avi And The Good Things dengan Sony Music Publishing Indonesia terasa seperti langkah yang sangat semula jadi.
“Mereka membantu memperkenalkan muzik kami kepada khalayak yang lebih luas, pada masa sama memberi ruang untuk kami terus kekal dengan identiti sebagai artis dan penulis lagu,” katanya.
Zee Avi And The Good Things merupakan trio yang dianggotai Zee Avi sebagai vokalis dan komposer, Yuswa Ansari selaku pemain keyboard serta Raja Farouk sebagai pemain bass.

Mahu Lebih Banyak Kolaborasi Rentas Negara
Penyanyi kelahiran Sarawak itu berkata beliau berharap kerjasama ini menjadi jambatan untuk membina hubungan kreatif yang lebih erat antara Malaysia dan Indonesia.
“Harapan terbesar saya adalah untuk berhubung dengan lebih ramai pendengar, penulis lagu dan artis, sekali gus mengeratkan lagi hubungan antara industri muzik Malaysia dan Indonesia.
“Saya berharap kerjasama ini dapat membuka lebih banyak peluang pertukaran idea kreatif yang bermakna dan membolehkan kami saling belajar antara satu sama lain.
“Secara peribadi, saya juga teruja untuk berkembang sebagai penulis lagu menerusi sesi penulisan dan kolaborasi yang telah dirancang oleh Sony Music Publishing Indonesia. Setiap kolaborasi adalah peluang untuk mempelajari sesuatu yang baharu,” katanya.
Selain memperkenalkan katalog muziknya kepada pendengar Indonesia, Zee turut berharap dapat kembali aktif membuat persembahan di negara tersebut.
“Saya juga berharap dapat meluangkan lebih banyak masa di Indonesia dengan mengadakan persembahan, bertemu peminat, bekerjasama dengan pemuzik tempatan dan menjadi sebahagian daripada komuniti kreatif di sana.
“Persembahan secara langsung sentiasa menjadi bahagian yang paling saya nikmati sebagai pemuzik. Ketika ini ada beberapa perbincangan sedang berlangsung dan saya tidak sabar untuk kembali beraksi di pentas Indonesia,” ujarnya.

Persamaan Budaya Jadi Kelebihan
Menurut Zee, persamaan budaya antara Malaysia dan Indonesia menjadi kekuatan utama yang memudahkan karya-karyanya diterima di kedua-dua negara.
“Saya rasa terdapat persamaan yang indah antara pendengar Malaysia dan Indonesia. Kita berkongsi banyak nilai budaya selain menghargai penceritaan dan kejujuran dalam penulisan lagu.
“Walaupun kebanyakan lagu saya menggunakan bahasa Inggeris, emosi tidak memerlukan terjemahan. Jika sesebuah lagu itu lahir daripada kejujuran, saya percaya pendengar akan dapat menghayatinya,” katanya.

Sony Music Mahu Perluas Kerjasama Malaysia-Indonesia
Sementara itu, Pengarah Sony Music Publishing Indonesia, Damajanti Ariandini, berkata pihaknya melihat Zee sebagai seorang penulis lagu berpengalaman yang mempunyai reputasi kukuh di peringkat antarabangsa.
“Matlamat utama kami adalah untuk bekerjasama dengan Zee Avi, seorang penulis lagu yang terbukti berbakat serta mempunyai rekod kerjaya yang panjang dalam industri muzik.
“Hasrat Zee untuk bekerjasama dengan penulis lagu Indonesia juga seiring dengan inisiatif kami untuk memperluaskan kerjasama bersama penulis lagu dan artis dari Malaysia,” katanya.
Menurut Pengurus A&R & Kreatif Sony Music Publishing Indonesia, Ivan Ardihernawan, pihaknya kini merancang mempertemukan Zee dengan beberapa penulis lagu di bawah naungan syarikat itu bagi menghasilkan karya baharu yang berpotensi berjaya di kedua-dua pasaran.

Karier Antarabangsa Yang Terus Berkembang
Sepanjang perjalanan seninya, Zee Avi telah menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Best Original Theme Song di 53rd Taipei Golden Horse Awards menerusi lagu Arena Cahaya untuk filem Ola Bola.
Beliau turut dianugerahkan Pegawai Bintang Kenyalang (PBK) oleh Kerajaan Sarawak atas sumbangannya kepada dunia seni.
Album sulungnya yang diterbitkan pada 2009 pula pernah disenaraikan oleh The Associated Press sebagai antara 10 album terbaik tahun tersebut, selain mencatat jualan melebihi 300,000 unit dan menerima pensijilan emas di beberapa negara Asia.
Malah, karya-karya Zee turut menembusi Hollywood apabila lagu Swell Window dipilih sebagai sebahagian daripada runut bunyi filem 21 Jump Street, selain lagunya digunakan dalam beberapa kempen iklan antarabangsa termasuk Walmart di Amerika Syarikat.



GIPHY App Key not set. Please check settings