in ,

7 Tahun Hilang, Azar Azmi Masih Berbisa!

Walaupun sudah tujuh tahun tidak muncul dalam drama bersiri, nama Azar Azmi ternyata masih mempunyai tempat di hati peminat apabila video pengumuman kemunculan semulanya meraih lebih satu juta tontonan di TikTok dalam tempoh kurang 24 jam.

Video yang diterbitkan oleh Bambam Studios itu menjadi bualan ramai sejurus diumumkan pada Mei lalu, sekali gus membuktikan aura pelakon berusia 34 tahun itu masih belum pudar meskipun lama berehat daripada dunia lakonan.

BUZZ RINGKAS
SIAPA
Azar Azmi.

APA
Video pengumuman kemunculan semula Azar Azmi meraih lebih sejuta tontonan di TikTok.

BILA
Selepas pengumuman rasmi pada Mei 2026.

DI MANA
TikTok dan drama Bulan Henti Bicara di Astro Ria.

KENAPA
Membuktikan Azar Azmi masih mempunyai pengaruh besar walaupun tujuh tahun tidak muncul dalam drama televisyen.

Comeback Yang Dinanti Peminat

Kemunculan semula Azar menerusi drama Bulan Henti Bicara menjadi antara berita yang paling menggembirakan peminat yang sekian lama menantikan beliau kembali menghiasi kaca televisyen.

Lebih menarik, kepulangan kali ini bukan sekadar penampilan biasa, sebaliknya beliau diberikan tanggungjawab membawakan watak Faziah, seorang wanita yang sarat dengan konflik emosi dan memerlukan penghayatan yang mendalam.

Ambil Masa Seminggu Sebelum Bersetuju

Menurut Azar, beliau tidak terus menerima tawaran tersebut kerana merasakan watak Faziah cukup berat untuk dibawa.

“Saya mengambil masa seminggu untuk memberi jawapan menerima watak Faziah yang diberikan. Untuk jadi Faziah bukan mudah kerana dia mengharapkan kasih sayang tetapi tidak dapat.

“Untuk menerima watak ini, saya diyakinkan sendiri oleh penerbit, pengarah dan pasukan kerja. Alhamdulillah saya dapat bekerjasama dengan Kak Eyra. Kak Eyra sebagai pengarah sangat membantu membentuk seorang Faziah dan menjadikan apa yang penonton lihat hari ini,” katanya.

Drama Sarat Dengan Emosi

Bulan Henti Bicara mengisahkan perjalanan hidup Zulfa yang terperangkap antara tanggungjawab terhadap keluarga dan penderaan mental serta fizikal yang dialaminya sebagai seorang isteri.

Drama adaptasi novel karya Rissa Ahdiya itu diarahkan oleh Eyra Rahman dan turut dibintangi Ezzanie Jasny, Azhan Rani, Ali Reza, Farah Ahmad, Hushairy Hussein, Azri Iskandar, Qireen Din, Myra Afrina, Qaseh Izwandy, Qaiyum Aiesha, Nik Ramly @ Poknik, Qistina Rania dan Rafique Iskandar.

Dengan jalan cerita yang menyentuh isu kekeluargaan, kasih sayang, pengorbanan serta penderaan rumah tangga, drama ini terus mencuri perhatian penonton sejak mula ditayangkan.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

22 Tahun Menunggu! Yusry Akhirnya Kembali Dengan Album Solo

Lepas Hollywood, Zee Avi Sasar Tawan Indonesia Pula!