in

Siapa Raja Ayam Sebenar? Ayam Lejen III Kembali!

Kalau ada satu makanan yang mampu menyatukan rakyat Malaysia, jawapannya sudah tentu ayam. Sama ada ayam goreng, ayam golek, ayam bersos atau Nashville Hot Chicken, semuanya bakal berhimpun di bawah satu bumbung menerusi Ayam Lejen III, festival ayam terbesar anjuran FriedChillies.

Festival yang memasuki edisi ketiga itu akan berlangsung pada 25 hingga 26 Julai 2026 di Datum Jelatek Shopping Centre, Kuala Lumpur, dengan kemasukan adalah percuma untuk semua pengunjung.

BUZZ RINGKAS
SIAPA
FriedChillies dan lapan jenama ayam popular.

APA
Festival makanan Ayam Lejen III.

BILA
25 hingga 26 Julai 2026.

DI MANA
Datum Jelatek Shopping Centre, Kuala Lumpur.

KENAPA
Menghimpunkan pelbagai gaya hidangan ayam dalam satu festival untuk pencinta makanan.

Lapan Jenama Ayam Dalam Satu Lokasi

Tahun ini, Ayam Lejen III menghimpunkan lapan jenama ayam yang cukup popular di Lembah Klang, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung mencuba pelbagai gaya masakan ayam tanpa perlu mengunjungi setiap restoran.

Antara jenama yang mengambil bahagian ialah:

  • Fowlboys Diner
  • Ayam Goreng Berhantu
  • Supernomms Fried Chicken
  • Ayam Masywi
  • Cowboys Barbecue & Grill
  • Muiz Hot Chicken
  • Hot Bird
  • Hott Chickk

Setiap vendor turut menyediakan hidangan sampler eksklusif dan menu istimewa yang hanya boleh didapati sepanjang festival berlangsung.

Dari Nashville Hot Chicken Hingga Ayam Golek

Ayam Lejen III bukan sekadar menghimpunkan ayam goreng biasa.

Pengunjung boleh merasai pelbagai variasi ayam seperti Nashville Hot Chicken, ayam pressure fried, ayam goreng bersalut sos ala Korea, chicken tenders, kepak ayam barbeku sehinggalah Ayam Golek yang dipanggang perlahan di atas api terbuka.

Antara tarikan menarik termasuk ayam Nashville Hot Chicken daripada Fowlboys Diner, Jumbo Tenders dengan enam tahap kepedasan oleh Hot Bird, ayam bersos daripada Ayam Goreng Berhantu, Signature Salted Egg Sauce oleh Supernomms Fried Chicken, kepak ayam salai daripada Cowboys Barbecue & Grill, serta Ayam Golek legenda daripada Ayam Masywi.

Bukan Sekadar Makan Ayam

Selain menikmati pelbagai hidangan, pengunjung turut boleh menyertai pelbagai aktiviti menarik sepanjang festival.

Antaranya ialah debat santai mengenai ayam goreng, undian awam untuk memilih ayam kegemaran, pertandingan makan, aktiviti pentas, hiburan keluarga serta pelbagai promosi daripada vendor yang mengambil bahagian.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FriedChillies, Adly Rizal, Ayam Lejen diwujudkan sebagai platform untuk menghimpunkan jenama ayam terbaik Malaysia dalam satu lokasi.

“Ramai bertanya kepada kami, ayam goreng mana yang paling sedap? Jawapan kami sentiasa sama, datang dan tentukan sendiri. Di Ayam Lejen III, pengunjung boleh membandingkan Nashville Hot Chicken, ayam goreng tempatan, ayam pressure fried, ayam bersos, kepak ayam barbeku dan Ayam Golek dalam satu festival. Itulah yang menjadikan Ayam Lejen begitu istimewa,” katanya.

Destinasi Hujung Minggu Pencinta Makanan

Ketua Pegawai Eksekutif Datum Jelatek Shopping Centre, Zetty Rahim berkata pihaknya berbesar hati menjadi tuan rumah sekali lagi kepada Ayam Lejen III.

Beliau berkata lokasi pusat beli-belah yang mempunyai akses terus ke LRT Jelatek, ruang parkir berbumbung yang luas serta suasana selesa menjadikannya destinasi ideal untuk keluarga menikmati festival makanan tersebut.

Orang ramai disaran hadir seawal mungkin bagi menikmati hidangan sampler paling popular serta menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang dua hari festival berlangsung.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

“Itu Bukan Tugas Kami!” – Aisha Retno