Selepas perjalanan Sabrina dalam Big Stage X Rocketfuel terhenti pada minggu ketiga, penyanyi itu mendedahkan individu yang paling akan dirinduinya bukanlah pentas pertandingan, sebaliknya rakan peserta, Rieffa.
Menurut Sabrina, sepanjang berada dalam pertandingan itu mereka membina hubungan yang sangat rapat sehingga Rieffa menjadi tempatnya meluahkan segala perasaan.
BUZZ RINGKAS
SIAPA
Sabrina dan Rieffa.
APA
Sabrina berkongsi perkara yang paling akan dirindui selepas tersingkir.
BILA
Selepas konsert minggu ketiga Big Stage X Rocketfuel.
DI MANA
Big Stage X Rocketfuel.
MENGAPA
Rieffa menjadi tempat Sabrina berkongsi perasaan sepanjang pertandingan.
BAGAIMANA
Sabrina menyifatkan hubungan mereka seperti adik-beradik dan berjanji akan terus berkarya.
Anggap Rieffa Seperti Adik Sendiri
“Saya memang akan rindukan momen dengan kawan-kawan, dengan peserta lain sebab saya dengan mereka memang rapat. Kami selalu berkongsi pengalaman,” kata Sabrina.
Tambah Sabrina, hubungan dengan Rieffa lebih istimewa kerana setiap kali berdepan tekanan atau berasa tidak sedap hati, dialah individu pertama yang dicarinya.
“Especially dengan Rieffa, memang apa-apa saya cari dia. Saya kongsi perasaan saya. Kalau saya rasa tak sedap hati, saya memang cerita dekat dia,” katanya.
Hubungan Seperti Adik-Beradik
Walaupun tidak mempunyai adik kandung, Sabrina menganggap Rieffa seperti ahli keluarganya sendiri sepanjang mereka berada dalam pertandingan.
“Dia boleh kata macam adik saya. Walaupun saya tak ada adik, tapi saya anggap dia macam adik-beradik. Jadi saya akan paling rindu dekat dialah sebenarnya,” katanya.
Pengakuan itu sekali gus memperlihatkan hubungan erat yang terjalin antara kedua-dua peserta sepanjang saingan Big Stage X Rocketfuel.
Perjuangan Belum Berakhir
Dalam masa sama, Sabrina turut menitipkan ucapan penghargaan kepada peminat yang sentiasa memberi sokongan sepanjang pertandingan.
“Kepada semua peminat saya, Sabrinationz, perjuangan saya tak berhenti dekat sini. Saya akan terus berkarya, especially dalam muzik. Saya takkan berhenti. Berikan saya semangat dan juga masa untuk saya terus berjuang,” katanya.
Walaupun tersingkir pada minggu ketiga, Sabrina menegaskan perjalanan seninya tidak akan terhenti dan berjanji untuk terus menghasilkan karya baharu buat peminat yang setia menyokongnya.
GIPHY App Key not set. Please check settings