Selepas mencuri perhatian ramai menerusi video cover di TikTok, Adam Nuqris kini tampil dengan single debut berjudul Alasan yang menjadi titik permulaan rasmi perjalanan solonya dalam industri muzik tempatan.
Dicipta oleh Kidd Santhe, lagu ini turut ditulis bersama Adam sendiri, Saixse dan Altimet (Mambang), sekali gus menghasilkan karya hip-hop moden dengan sentuhan trap yang lebih segar dan emosional.
Berbeza dengan lagu patah hati biasa, Alasan membawa tema lebih introspektif mengenai keletihan emosi, keberanian memilih diri sendiri dan hakikat bahawa tidak semua hubungan perlu dipertahankan.

“Lagu ini bukan sekadar tentang kesedihan,” kata Adam Nuqris, penyanyi.
“Ia tentang saat apabila kita berhenti menafikan apa yang kita rasa dan mula berani memilih diri sendiri. Kadang-kadang kita bertahan terlalu lama dalam sesuatu yang sebenarnya sudah tidak lagi memberi ruang untuk kita berkembang. Pada saat itu, pergi bukan bermaksud kalah, tetapi satu bentuk keberanian yang paling jujur,” katanya.
Adam Nuqris.
APA
Pelancaran single debut “Alasan”.
BILA
20 April 2026.
DI MANA
Semua platform digital utama.
MENGAPA
Menandakan permulaan rasmi karier solo.
BAGAIMANA
Dengan karya hip-hop moden penuh emosi.

Bermula Dengan Rakaman Spontan
Menariknya, Alasan sebenarnya bermula daripada sebuah rakaman spontan berdurasi 30 saat ketika sesi jamming di studio sebelum dimuat naik ke TikTok.
Rakaman tersebut menerima sambutan luar biasa daripada pengguna media sosial sehingga membuka jalan kepada penghasilan versi penuh lagu tersebut.
“Saya ingat itu cuma momen kecil pada awalnya,” katanya.
“Tapi apabila saya nampak ramai benar-benar ‘connect’ dengan klip tersebut, saya sedar mungkin ini bukan sekadar rakaman spontan. Dari situlah ‘Alasan’ berkembang menjadi karya penuh yang lahir daripada emosi yang sangat jujur,” katanya.

Video Muzik Lengkapkan Emosi Lagu
Mengiringi pelancaran lagu ini, video muzik rasmi Alasan diarahkan oleh pengarah kreatif Kripxen yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan SonaOne dan Alyph.
Dengan pendekatan visual sinematik dan simbolik, muzik video tersebut memperkukuhkan lagi naratif emosi yang cuba disampaikan menerusi lagu ini.

Dari TikTok Ke Industri Arus Perdana
Adam mula dikenali menerusi video cover di TikTok yang menampilkan tona vokal “serak-serak basah” serta kebolehannya membawa pelbagai genre muzik.
Karya cover lagu-lagu artis seperti Zynakal dan Yonnyboii turut mendapat perhatian ramai termasuk daripada artis asal sendiri.
Populariti tersebut secara perlahan-lahan membuka ruang buat Adam membina identiti seninya sendiri.

Perjalanan Hidup Bentuk Identiti Muzik
Di sebalik populariti media sosial, perjalanan Adam sebenarnya dibina daripada pengalaman hidup yang sederhana.
Sebelum bergelar artis rakaman, Adam pernah bekerja sebagai tukang gunting rambut selain mengusahakan gerai makanan di Kampung Baru.
Sebagai pemuzik yang belajar sendiri bermain gitar, Adam membina keyakinan menerusi sesi jamming bersama rakan-rakan dan persembahan kecil sejak usia muda.

“Saya tidak datang daripada jalan yang mudah dan saya tidak pernah mahu berpura-pura seolah-olah hidup saya sempurna,” katanya.
“Semua pengalaman hidup saya daripada kerja biasa, kehidupan harian sehinggalah jatuh bangun mencari arah telah membentuk diri saya hari ini. Saya belajar bahawa muzik bukan sekadar bunyi, tetapi kejujuran dalam menyampaikan apa yang kita rasa. ‘Alasan’ adalah refleksi paling jujur tentang fasa hidup saya sekarang,” katanya.

Permulaan Baharu Adam Nuqris
Di bawah naungan SVLTAN Management dengan kerjasama Sony Music Entertainment Malaysia, Alasan menjadi langkah pertama Adam Nuqris dalam membina nama dalam industri muzik arus perdana.
Single tersebut kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama termasuk YouTube.

Dari Viral Ke Identiti Seni Sendiri
Secara keseluruhannya, perjalanan Adam Nuqris membuktikan bahawa fenomena media sosial boleh berkembang menjadi kerjaya seni yang serius apabila disertai bakat dan kejujuran dalam berkarya.
Dengan Alasan, Adam bukan sahaja memperkenalkan muziknya kepada khalayak lebih luas, tetapi turut membina identiti tersendiri sebagai antara wajah baharu industri muzik tempatan.


GIPHY App Key not set. Please check settings