in ,

Zahiril Adzim Jadi Ustaz Kelakar Bermertuakan Mafia?

Selepas berjaya mencuri perhatian menerusi pelbagai karakter serius sebelum ini, Zahiril Adzim kini tampil dengan sisi lebih santai menerusi drama terbaharu “Bapa Mentuaku Mafia”.

Dalam drama arahan Afiza Asram itu, Zahiril membawakan watak Ustaz Takdir, seorang ustaz muda yang bijak, bersahaja dan mempunyai personaliti yang dekat dengan anak muda.

Menurut Zahiril, karakter tersebut antara watak paling menyeronokkan pernah dibawakannya sepanjang bergelar pelakon.

“Saya membawakan karakter sebagai Ustaz Takdir. Cerita dan karakter ini memang lawak. Tetapi sebenarnya saya seorang yang serius dalam kehidupan harian,” katanya sambil ketawa.

Tambahnya lagi, watak Takdir mempunyai pendekatan berbeza daripada gambaran ustaz yang sering dipaparkan dalam drama tempatan.

“Karakter ini santai, easy going dan kelakar. Itu yang buat saya teruja untuk jayakan watak ini,” katanya.

BUZZ RINGKAS
SIAPA
Zahiril Adzim dan Siti Hariessa.

APA
Drama komedi aksi “Bapa Mentuaku Mafia”.

BILA
Bermula 13 Mei 2026.

DI MANA
Astro Ria dan Astro GO.

MENGAPA
Mengangkat kisah ustaz muda terjebak dalam keluarga mafia.

BAGAIMANA
Dengan gabungan humor santai, konflik dan elemen kekeluargaan.

Watak Ustaz Yang Lebih Moden

Bagi Zahiril, masyarakat hari ini semakin terbuka menerima karakter ustaz yang lebih santai selagi mesej yang dibawa masih positif.

“Kita selalu bayangkan ustaz dengan imej tertentu, tetapi sekarang ramai ustaz muda lebih dekat dengan anak muda. Cara pembawaan itu penting supaya mereka lebih mudah didekati,” katanya.

Dalam nada bergurau, Zahiril turut menyelitkan usikan berkaitan jalan cerita drama tersebut.

“Saya harap saya dapat bawa watak ustaz ini dengan baik sebab bapa mentua saya pun mafia,” katanya berseloroh.

Kisah Ustaz Dan Anak Ketua Mafia

Drama ini mengisahkan Takdir yang hidup berpegang kepada prinsip agama sebelum kehidupannya berubah apabila dipaksa berkahwin dengan Melissa, anak perempuan ketua mafia bernama Zack.

Zack percaya Takdir mampu mengubah keluarganya menjadi lebih baik dan berharap kehadiran ustaz muda itu dapat membawa perubahan dalam kehidupan mereka.

Namun dalam masa sama, Takdir turut berdepan konflik cinta bersama Murni selain perlu menyesuaikan diri dengan dunia mafia yang penuh rahsia dan cabaran.

Walaupun sarat dengan konflik, drama ini tetap disuntik dengan elemen humor dan momen ringan yang menghiburkan.

Dibintangi Barisan Pelakon Popular

Selain Zahiril Adzim dan Siti Hariessa, drama ini turut dibintangi Dato’ Razak Ahmad, Auni Yusri, Nafiez Zaidi, Shweta Sekhon, Aishah Atan dan Haeriyanto Hassan.

Gabungan pelakon berpengalaman dan bakat baharu dijangka menjadi antara kekuatan utama drama ini.

Jawapan Lucu Tentang Latah

Ketika ditanya mengenai video melatah yang sering tular di media sosial, Zahiril menjawab dengan penuh selamba.

“Saya tidak melatah. Itu semua hikayat rakyat. Dongeng semata-mata,” katanya.

“Walaupun ada bukti, itu tetap dongeng,” tambahnya lagi sambil ketawa.

Drama “Bapa Mentuaku Mafia” mula ditayangkan pada 13 Mei 2026 di Astro Ria setiap Rabu dan Khamis jam 9 malam.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Selepas 10 Tahun, Maher Zain Akhirnya Temui Jalan “Back To You”

Sucikan Semula Bukit Bintang! PU Riz Anjur Quranic Madani