in ,

Teater “Suluh Peraba” Kembali! Satira Mistik Sarat Pengajaran

Setelah lebih dua dekad, karya teater penuh makna dan simbolisme, “Suluh Peraba”, kembali menghiasi pentas teater tempatan! Adaptasi daripada novel karya Sasterawan Negara, Dato’ Rahman Shaari, pementasan ini bakal membawa para penonton mengimbau konflik klasik antara rasional dan kepercayaan karut dalam latar yang lebih segar dan moden.

Pementasan kali ini dianjurkan oleh Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Putrajaya (PEWIRA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Bertempat di Auditorium DBP, Kuala Lumpur, persembahan istimewa ini akan berlangsung pada 16 Mei 2025 (8.30 malam) dan 17 Mei 2025 dengan dua sesi, 2.30 petang dan 8.30 malam.

Pengarah Bersentimental dengan “Suluh Peraba”

Disutradarai oleh Subroto Hj. Katimin, pementasan ini merupakan satu penghormatan peribadi buat pengarahnya. Subroto pernah terlibat dalam produksi yang sama pada tahun 2001 sebagai Penolong Pengarah dan juga pelakon utama. Menurut beliau, “Suluh Peraba” bukan sekadar sebuah naskhah teater, tetapi juga satu warisan seni yang menggabungkan satira, komedi dan elemen mistik dalam gaya persembahan yang mendidik.

“Suluh Peraba sangat dekat di hati saya. Ia bukan hanya adaptasi karya hebat, malah satu penghormatan kepada penulis skripnya, Allahyarham Zakaria Ariffin, yang baru meninggal dunia pada Februari lalu,” ujar Subroto dengan nada penuh emosi.

Naskhah Lama dalam Latar Zaman Baharu

Berbeza dengan pementasan terdahulu, versi kali ini mengemas kini latar cerita kepada tahun 2025, tetapi masih mengekalkan roh dan mesej asal karya. Teater ini mengetengahkan dua watak utama, Asmal dan Odai, yang menentang kepercayaan karut dengan menubuhkan kelab anti-tahyul bernama “Suluh Peraba”. Namun, tekanan keluarga dan situasi sekeliling memaksa mereka kembali kepada amalan yang pernah dikritik.

Sindiran Tajam Terhadap Kepercayaan Kurafat

Mengangkat tema konflik antara rasional dan tahyul, teater ini membawa sindiran tajam terhadap amalan perbomohan dan kepercayaan tidak berasas yang masih wujud dalam masyarakat moden. Subroto turut menegaskan bahawa pementasan ini juga berbentuk refleksi dan peringatan agar masyarakat tidak terus terjebak dalam kepercayaan yang bertentangan dengan syariat.

“Masih ada segelintir yang percaya pada bomoh dan tahyul, maka teater ini adalah satu medium untuk menyedarkan mereka. Sambil berhibur, penonton akan ‘terjentik’ untuk berfikir,” tambahnya.

Seruan kepada Generasi Muda

Pengarah turut berharap agar pementasan ini dapat menarik minat generasi muda untuk lebih kritikal terhadap isu kepercayaan karut dan memahami kepentingan budaya Melayu berlandaskan syarak. Pementasan yang menggunakan pendekatan satira komedi dengan simbolisme visual dan elemen mistik ini dijangka mampu menarik perhatian ramai, khususnya para penggiat seni dan penggemar teater.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan karya agung ini! Tiket kini boleh didapati di kaunter Dewan Bahasa dan Pustaka. Pastikan anda hadir dan merasai keunikan teater penuh simbolisme ini!

Ditulis oleh The Buzzer/Editor

Kadang-kadang lelaki. Kadang-kadang perempuan. Mengumpul berita dari serata ceruk alam maya atau melaporkan secara eksklusif.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

KRU Cipta Sejarah, Konsert GenKRU 2025 Pecah Dua Rekod Malaysia Book of Records

Dua Usahawan Wanita Failkan Saman Fitnah Terhadap Pempengaruh TikTok ‘Anarchy Sky’