Seramai 60 usahawan mikro telah berjaya menerima manfaat daripada dana zakat Maybank Islamic melalui Program Kelestarian Perniagaan: Memperkasa Aspek Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus Perusahaan Mikro Asnaf 2024.
Para peserta terdiri daripada golongan asnaf dari tujuh buah negeri di Malaysia, Kedah, Perlis, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka & Terengganu.
Program ini dianjurkan oleh Right Track Education dengan sokongan dana zakat daripada Maybank Islamic bertujuan memperkasa usahawan asnaf dengan kemahiran holistik dan pendedahan kepada ekosistem keusahawanan yang sebenar.
Program itu berlangsung dari 25 hingga 29 November 2024, dan melibatkan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi keusahawanan tempatan.
Setiap peserta menerima geran tunai bernilai RM1,000 beserta sijil penyertaan setelah berjaya melengkapkan program tersebut.
Geran itu bertujuan membantu mereka mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh sepanjang latihan dalam perniagaan masing-masing.
Sebagai contoh Usahawan Asnaf Kedah, Miqdad Bin Hanafi, 38 menyatakan bahawa program latihan perniagaan yang ditawarkan oleh Maybank Islamic ini telah memberikan impak besar kepada perniagaannya.
“Melalui program ini, saya dapat meningkatkan jualan sebanyak 80% selepas memanfaatkan platform TikTok sebagai ejen jualan, hasil tunjuk ajar tenaga pengajar dalam program ini.”
“Jika sebelum ini saya hanya memperoleh RM500 sebulan, kini jualan bulanan saya mencecah RM3,000 sebulan,” katanya.

Kejayaan Miqdad menjadi bukti bahawa dengan sokongan dan usaha gigih, asnaf juga mampu bangkit menjadi usahawan berjaya.
Selain itu, Halimah Binti Bakar, 50 Tahun, seorang usahawan dalam bidang bakeri, dan merupakan salah seorang wakil peserta daripada Usahawan Asnaf Negeri Pahang, meluahkan rasa syukur kerana terpilih menyertai program tersebut.
“Program ini benar-benar memberikan saya kemahiran baru dan membina keyakinan untuk mengembangkan perniagaan melalui aspek digital dan media sosial.
“Sebelum ini, saya langsung tidak berani untuk membuat siaran langsung di TikTok atau membuka jualan di Shopee. Namun kini, saya sudah mula mencuba, dan alhamdulillah sambutannya sangat positif,” katanya.

Kejayaan ini jelas menunjukkan bahawa sokongan berterusan mampu memberikan impak besar dalam mengubah kehidupan usahawan asnaf ke arah yang lebih cemerlang.
GIPHY App Key not set. Please check settings