Monday • 8 March 2021

Terkini

Nur Fatima Dah Ada ‘Galeri’ Ungkap Kisah Perpisahan?

Masih ingatkah anda dengan penyanyi yang hampir tersingkir pada minggu ke-5 program realiti Gegar Vaganza 6 namun terselamat apabila tiada penyingkiran dan akhirnya berjaya menduduki tempat ke-4?

Ya.. beliau tidak lain adalah satu-satunya peserta yang terbang jauh dari Canberra, Australia, Nur Fatimah Abdul Wahab, 38, untuk menyertai Gegar Vaganza 6 dan sanggup meniggalkan suaminya, Mohammad Jefrry Wain Wright.

Kini ternyata pengorbanannya tidak sia-sia apabila Nur Fatimah atau nama pentasnya Nur Fatima terus aktif  dan kini memiliki single terbaharu ‘Galeri’ yang turut mendapat kolaborasi bersama artis rap Malaysia, Kayda.

Lagu ini ditulis dan digubah oleh komposer-komposer hebat negara seperti Omar K, Audi Mok, Altimet, Firdaus Rahmat dan Mas Dewangga di mana proses rakaman, suntingan dan adunan yang mengambil masa selama 2 minggu telah dilakukan di Studio Enormus milik komposer Omar K.

Mengisahkan tentang seseorang yang telah berpisah daripada pasangannya dan sedang dalam proses untuk move on, akan tetapi percampuran emosi yang dihadapinya menyukarkan proses tersebut apabila menatap gambar-gambar mereka ketika bersama di sosial media ibarat sebuah galeri, membangkitkan memori silam.

Gitu kisahnya… tetapi jangan salah sangka pulak yang Nur Fatima dah berpisah dengan suaminya pula kerana ini sekadar lagu yang mungkin berlaku di kalangan pasangan bercinta mahu pun yang sudah berkahwin.

“Meneruskan kehidupan setelah berpisah adalah sesuatu yang sukar tetapi perlulah redha dengan apa yang terjadi dan belajar daripada perpisahan tersebut,” Nur Fatima berpendapat.

Pada single kali ini Nur membawa kelainan dengan membawakan genre balada pop dengan elemen hip-hop yang disampaikan oleh Kayda kerana beliau mempunyai suara rap yang bagus, bertenaga dan sekaligus membawa aura yang lebih moden kepada lagu ‘Galeri’.

“Nur  dan Kayda melakukan proses rakaman ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sedang berlangsung sebelum Nur pulang ke pangkuan suami di Australia, sambil mematuhi SOP yang ditetapkan dan Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar,” ujar beliau yang membahasakan dirinya Nur.

Mengulas lanjut mengenai video muzik (MV) Galeri, Nur memberitahu, “Memandangkan isu COVID-19 yang masih berlaku, ia telah memberi inspirasi pada Nur dan pihak pengurusan untuk mengolahnya dalam bentuk animasi, walaupun tidak menggambarkan keseluruhan jalan cerita lagu tersebut ia lebih menghiburkan kerana kelainan yang ditonjolkan. “

Ditanya mengenai aktiviti hariannya ketika PKP mula diperkenalkan, Nur berkata walau pun banyak aktiviti seni terpaksa dihentian namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk berlatih di studionya di rumah selain mencari ilham dan mengumpul bahan untuk lagu baharu.

“Selain aktiviti fizikal seperti bersenam, melakukan yoga dan mendaki, Nur mempunyai binatang peliharaan iaitu burung bernama Koa yang sangat pintar dan menghiburkan,” ujarnya..

Mengakui kerjaya seninya ada pasang surut walau pun sudah 20 tahun berkecimpung dalam industri muzik tanah air, kata Nur, “Untuk kekal dalam industri bukannya mudah, lebih-lebih lagi apabila kalau dinilai dari segi populariti kerana ada naik dan turunnya.”

“Kita perlu mengikut peredaran masa dan keutamaan saya lebih kepada keluarga namun dengan bantuan dan tunjuk ajar daripada pihak pengurusan, akhirnya saya muncul kembali ke persada tanah air dan saya tahu saya perlu bekerja lebih keras lagi,” tambah Nur sambil mengharapkan agar ‘Galeri’ mampu memikat hati pendengar.

Lagu ‘Galeri’ boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music.

Manakala video muziknya boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube.

TINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Masukkan nama anda di sini

Latest Posts

Video Terkini

Sentiasa bersama F8Buzz

Dapatkan artikel berita, inspirasi, gaya hidup & hiburan terkini, terus ke email anda. DAFTAR SEKARANG!