in ,

Sanggup Jadi “Makcik Bawang’ Di Threads, Rupanya Taktik Pasya Promosi Lagu!

Bukan sekadar memuat naik poster atau petikan lagu, penyanyi solo Pasya memilih pendekatan berbeza untuk mempromosikan single terbaharunya apabila menggunakan platform Threads bagi mencetuskan perbincangan dalam kalangan pengguna media sosial.

Pasya atau nama sebenarnya Faizul Ashraff Fauzi, 32, mengakui sengaja memainkan isu isteri curang dengan seorang artis bagi menarik perhatian pengguna terhadap lagu terbaharunya berjudul Tak Tertanggung Lagi.

Menurutnya, strategi itu dilakukan selepas dia melihat Threads sebagai platform yang sering dipenuhi perbincangan panas, selain menyedari isu kecurangan antara topik yang mendapat perhatian tinggi.

“Ini pertama kali saya menjadi ‘makcik bawang’ dan netizen kerana melihat platform Threads sangat toksik. Jadi, saya menambahkan lagi toksik dalam suasana yang sudah toksik,” katanya.

Pasya berkongsi perkara itu ketika sidang media pelancaran single dan video muzik Tak Tertanggung Lagi, selain pelancaran lagu Aku Tekad nyanyian Ucop serta pengenalan syarikat Aryan Putra Entertainment (APE) dari Limbang, Sarawak.

BUZZ RINGKAS

SIAPA: Pasya atau Faizul Ashraff Fauzi, 32.

APA: Menggunakan Threads sebagai platform promosi single terbaharunya, Tak Tertanggung Lagi.

BILA: Ketika mempromosikan single terbaharunya.

DI MANA: Platform media sosial Threads.

MENGAPA: Melihat isu kecurangan sebagai antara topik yang mendapat perhatian tinggi dalam kalangan pengguna.

BAGAIMANA: Sengaja mencetuskan perbincangan mengenai isteri curang dengan artis selepas mendapat persetujuan pihak pengurusan.

Kenal Pasti Topik Popular Sebelum Lancarkan Strategi

Mengulas lanjut, Pasya berkata dia terlebih dahulu berbincang dengan pihak Aryan Putra Entertainment (APE) dan A*CAP sebelum melaksanakan strategi berkenaan.

Jelasnya, dia gemar mengkaji corak perbincangan serta memahami algoritma sesuatu platform sebelum mengambil peluang untuk mempromosikan karya.

“Apabila saya melihat bahagian Insight di Threads, saya mendapati topik berkaitan kecurangan mendapat perhatian paling tinggi.

“Saya fikir perkara itu sesuai dengan jalan cerita Tak Tertanggung Lagi, iaitu sebuah lagu mengenai isteri yang berlaku curang.

“Jadi, saya sengaja mencetuskan isu mengenai isteri yang curang dengan seorang artis. Perkara itu mendapat perhatian dan secara tidak langsung menjadi salah satu strategi untuk mempromosikan lagu tersebut,” ujarnya.

Pasya turut berpendapat artis pada masa kini perlu memainkan peranan secara aktif dalam memasarkan karya masing-masing dan tidak hanya bergantung kepada pihak lain.

Pasya Anggap Dirinya Sebagai Produk Dalam Industri Muzik

Dalam perkembangan sama, Pasya menjelaskan Tak Tertanggung Lagi merupakan projek one-off bersama APE.

Mengulas perbezaan kerjayanya sebagai penyanyi solo dan vokalis kumpulan Search bersama KidDin, dia berkata kedua-duanya mempunyai kedudukan tersendiri dalam perjalanan seninya.

Baginya, menyertai Search merupakan impian sejak zaman persekolahan kerana dia sendiri membesar sebagai peminat kumpulan rock berkenaan.

“Pasya ialah sebuah produk. Ketika bersama Search, itu merupakan impian zaman kecil saya kerana saya sudah menjadi peminat kumpulan tersebut sejak di bangku sekolah.

“Walaupun jiwa saya rock, saya perlu memahami industri dan selok-beloknya. Jika saya mahu menghasilkan lagu rock atau muzik yang lebih keras, saya juga perlu memikirkan kos yang dikeluarkan untuk menghasilkan karya tersebut.

“Jadi, saya perlu memahami pasaran dan menyesuaikan diri, termasuk menerusi penghasilan lagu seperti Tak Tertanggung Lagi,” katanya.

Pendekatan itu memperlihatkan kesedaran Pasya bahawa perjalanan sebagai anak seni bukan hanya bergantung kepada minat dan identiti muzik, sebaliknya turut memerlukan pemahaman terhadap kehendak pasaran serta strategi untuk memperkenalkan karya kepada pendengar.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

The Lantis, Insomniacks, Ziana Zain, Jaclyn Victor Dan Alpha Bakal Gegar Dua Malam Konsert Astro!

Jaclyn Victor Sanggup Belajar Mandarin Demi Singer 2027, Sudah Duduki Ujian HSK 1