in

“Gelaran Itu Sesuatu Yang Berbeza, Menyanyi Perkara Lain” – Ziana Zain

Penyanyi Datuk Ziana Zain menegaskan gelaran Datuk yang diterimanya tidak menjadi alasan untuk menaikkan kadar bayaran persembahan, sebaliknya dia kekal menetapkan harga berdasarkan pengalaman serta kos semasa.

Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 58, berkata kadar bayaran yang dikenakan masih mengambil kira keperluan penganjur, termasuk jumlah lagu yang diminta dan sama ada persembahan menggunakan pemuzik secara langsung atau minus one.

“Tidak. Saya masih mengekalkan harga yang relevan dengan zaman sekarang dan pengalaman kita. Gelaran itu sesuatu yang berbeza, menyanyi pula perkara lain.

“Sebut harga seperti biasa, sama ada untuk dua, tiga, empat atau lima lagu, dengan band, tanpa band atau minus one. Cuma, kita akan menaikkan harga mengikut peredaran semasa. Apabila harga minyak naik, kita naikkan sedikitlah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Sooka dan Konsert Vaganza yang berlangsung di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur, pada Rabu.

BUZZ RINGKAS

SIAPA: Penyanyi Datuk Ziana Zain.

APA: Mengekalkan kadar bayaran persembahan seperti biasa walaupun kini bergelar Datuk.

BILA: Ketika ditemui pada sidang media Konsert Sooka dan Konsert Vaganza, Rabu.

DI MANA: Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur.

MENGAPA: Gelaran Datuk tidak berkaitan dengan kadar bayaran nyanyian yang ditentukan berdasarkan pengalaman dan keperluan persembahan.

BAGAIMANA: Sebut harga mengambil kira jumlah lagu, penggunaan pemuzik secara langsung atau minus one serta perubahan kos semasa.

Kos Persiapan Persembahan Turut Diambil Kira

Mengulas lanjut, pelantun lagu Madah Berhelah itu berkata rundingan bersama penganjur penting bagi mencapai persetujuan yang mengambil kira pelbagai perbelanjaan untuk menjayakan sesuatu persembahan.

Menurutnya, kos persiapan kini turut melibatkan khidmat pasukan profesional seperti jurugaya tudung, jurusolek dan penggaya fesyen.

“Sekarang ini, semuanya memerlukan kos. Untuk bersiap pun kita mempunyai pasukan sendiri seperti jurugaya tudung, jurusolek dan penggaya fesyen.

“Dahulu kita buat sendiri, tetapi sekarang perkara itu sudah menjadi kemestian. Setiap kali keluar, penampilan perlu sentiasa kemas dan menarik.

“Kita berkongsi rezeki dengan mereka. Perkara ini memudahkan kami sebagai penyanyi kerana hanya perlu berbincang mengenai warna dan rekaan pakaian yang sesuai, selebihnya mereka akan uruskan,” katanya.

Penampilan Kemas Tanda Hargai Peminat

Dalam pada itu, Ziana berkata aspek penampilan turut menjadi keutamaan setiap kali membuat persembahan, termasuk memastikan pakaian yang dipilih bersesuaian dengan konsep acara serta pencahayaan pentas.

Baginya, penampilan yang kemas bukan sekadar melengkapkan persembahan, malah menjadi salah satu cara untuk menghargai peminat yang sentiasa merakam dan menyimpan kenangan perjalanan seninya.

“Penyanyi perlu menjaga penampilan. Kita bersiap dan menyanyi dengan baik sebenarnya sebagai tanda terima kasih kepada peminat.

“Gambar-gambar itu menjadi koleksi dan arkib mereka. Kadang-kadang kita sendiri tidak ingat pakaian yang pernah dipakai, tetapi peminat masih ingat dan boleh membandingkannya.

“Selain bakat, imej juga sangat penting dan tidak boleh dipandang remeh. Kita sayangkan kerjaya ini, jadi kita mahu semuanya dari hujung rambut hingga hujung kaki nampak sempurna,” katanya.

Jelas Ziana, penjagaan imej dan persediaan persembahan merupakan sebahagian daripada komitmennya terhadap kerjaya seni serta penghargaan kepada peminat yang terus menyokong perjalanan muziknya.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

ANAS Cosmetics Raih RM1.3 Juta Dalam 11 Jam, Anas Zahrin Bolot Dua Anugerah TikTok Shop!

The Lantis, Insomniacks, Ziana Zain, Jaclyn Victor Dan Alpha Bakal Gegar Dua Malam Konsert Astro!