in ,

Jaclyn Victor Sanggup Belajar Mandarin Demi Singer 2027, Sudah Duduki Ujian HSK 1

Penyanyi, Jaclyn Victor mengambil inisiatif mempelajari bahasa Mandarin sebagai persediaan untuk mewakili Malaysia ke pertandingan Singer 2027 di China selepas menjuarai program Singer 2026.

Jaclyn berkata, meskipun pihak produksi memaklumkan bahawa dia tidak semestinya perlu menyampaikan lagu dalam bahasa Mandarin, dia tetap mahu mempelajari bahasa tersebut bagi memastikan sebutan yang digunakan ketika menyanyi adalah tepat.

Menurutnya, persediaan itu sudah dimulakan dan dia juga baru sahaja menduduki peperiksaan HSK Tahap 1, iaitu ujian asas penguasaan bahasa Mandarin.

“Saya terus cakap yang saya kena belajar Mandarin. Walaupun pihak produksi kata tidak mengapa dan memberikan contoh Jessie J yang pergi ke sana tanpa menyanyi dalam bahasa Cina, saya tetap mahu belajar.

“Saya nak pastikan apabila kita menyanyi, sebutannya betul. Sekurang-kurangnya saya boleh buat persediaan sebaik mungkin. Saya baru sahaja menduduki peperiksaan HSK 1 untuk bahasa Mandarin,” katanya.

BUZZ RingKAS


SIAPA: Jaclyn Victor.

APA: Mula mempelajari bahasa Mandarin sebagai persediaan ke pertandingan Singer 2027 di China.

BILA: Persediaan menjelang pertandingan tahun 2027.

DI MANA: China, lokasi pertandingan Singer 2027.

MENGAPA: Mahu membuat persediaan lebih awal dan memastikan sebutan bahasa Mandarin betul ketika menyanyi.

BAGAIMANA: Mengikuti kelas Mandarin dan sudah menduduki peperiksaan asas HSK 1.

Mahu Pastikan Sebutan Mandarin Betul Ketika Menyanyi

Mengulas cabaran mempelajari bahasa berkenaan, Jaclyn mengakui Mandarin mempunyai keunikan tersendiri kerana penggunaan nada atau tone boleh mengubah maksud sesuatu perkataan.

Jelasnya, satu perkataan boleh membawa maksud berbeza bergantung pada nada yang digunakan, sekali gus menjadikan aspek sebutan antara perkara yang perlu diberikan perhatian.

“Cikgu saya kata jangan cakap susah, okey? Senang-senang sahaja,” selorohnya.

“Mandarin ini berbeza sebab ia berdasarkan nada. Satu perkataan boleh mempunyai pelbagai nada dan maksud yang berlainan. Bagi mereka yang memang belajar di sekolah Cina, perkara itu mungkin sudah biasa, tetapi kita yang baru nak belajar ini kadang-kadang tertanya-tanya apa maksudnya,” katanya.

Justeru, Jaclyn mahu meneruskan pembelajaran tersebut dan menggunakan masa yang ada untuk memperbaiki penguasaan bahasa Mandarin sebelum beraksi di pentas antarabangsa.

Tangguh Ke China Beri Masa Untuk Buat Persediaan

Dalam perkembangan sama, Jaclyn menjelaskan penyertaannya ke pertandingan Singer di China yang pada asalnya dijangka berlangsung lebih awal terpaksa ditangguhkan ke tahun hadapan susulan perubahan pengurusan di Mango TV.

Menurutnya, dia sepatutnya berangkat ke China sejurus memenangi pertandingan peringkat Malaysia, namun dimaklumkan penyertaan itu akan berlangsung pada musim berikutnya.

Walaupun mengakui sedikit kecewa dengan perubahan tersebut, Jaclyn melihat penangguhan itu sebagai peluang untuk membuat persediaan lebih rapi.

“Walaupun saya kecewa sedikit, tetapi kecewa untuk dua saat sahaja. Selepas itu saya fikir, saya ada banyak masa untuk membuat persediaan.

“Saya boleh sambung belajar Mandarin dan sebagainya. Jadi, saya okey dengan perkara itu dan ambil masa untuk bertenang,” katanya.

Tambahnya, tempoh tambahan itu juga membolehkan dirinya membuat persediaan lebih menyeluruh berbanding sekiranya terus berangkat ke China sejurus memenangi pertandingan.

Tidak Mahu Lepaskan Peluang Bertanding Di China

Mengulas pengalaman menyertai Singer 2026 yang turut menampilkan peserta lebih muda, Jaclyn mengakui pada awalnya berasa dirinya jauh lebih matang berbanding peserta lain.

Bagaimanapun, dia menganggap peluang tersebut sebagai sesuatu yang perlu direbut selagi masih berkesempatan untuk mencuba pengalaman baharu.

“Saya rasa kalau ada peluang, buatlah selagi boleh. Apa salahnya, kan? Apabila peluang ini datang kepada saya, saya terus fikir yang saya perlu belajar Mandarin,” katanya.

Untuk rekod, program Singer 2026 terbitan Astro dengan kerjasama Mango TV menyaksikan tujuh finalis bersaing dalam dua pusingan persembahan bagi merebut gelaran penyanyi terbaik musim pertama.

Selain Jaclyn, enam finalis lain yang turut berentap ialah Vanessa Reynauld, Chen Ying En, Nicole Lai, Priscilla Abby, Jesslyn dan Yazmin Aziz.

Kemenangan tersebut membuka peluang buat Jaclyn untuk membawa nama Malaysia ke pentas Singer 2027 di China, sekali gus menjadikan pembelajaran bahasa Mandarin sebagai antara persediaan penting sebelum berdepan cabaran seterusnya.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Sanggup Jadi “Makcik Bawang’ Di Threads, Rupanya Taktik Pasya Promosi Lagu!