BUKIT KAYU HITAM, 16 Sept – Anita Yusof yang menunggang motosikal secara solo merentasi 40 negara di empat benua dengan jarak 65,000 kilometer berjaya menamatkan kembaranya pada Hari Malaysia yang disambut Jumaat.

Pensyarah di Institut Pengajian Guru di Ipoh, Perak itu tiba di sempadan Bukit Kayu Hitam kira-kira pukul 10.45 pagi tadi, disambut 30 penunggang motosikal kuasa besar dan dua anak lelakinya, Rudy Iskandar Ramli 27, dan Emiershah Iskandar Ramli, 22.

Anita, 49, berkata beliau bersyukur telah menjayakan misi itu dan berpuas hati kerana berjaya mengubah persepsi masyarakat bukan Islam mengenai Islam yang kononnya mengamalkan diskriminasi terhadap wanita.

“Ini adalah satu kepuasan bagi saya. Ada yang meminta maaf kepada saya kerana sebelum ini mereka bersangka buruk terhadap Islam malah seorang wanita mahu membeli buku mengenai Islam untuk dibaca,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Bukit Kayu Hitam di sini, Jumaat.

Beliau memulakan kembara ‘Global Dream Ride’ itu pada 13 Sept 2015.

Anita turut mahu berkongsi pengalaman beliau sepanjang mengembara bersama-sama pelajar sekolah selain akan menerbitkan buku yang akan menceritakan suka dukanya sepanjang misi itu.

Beliau berkata beliau pernah menunggang motosikal sehingga 800km dalam masa sehari namun ia bergantung kepada faktor cuaca, keadaan jalan raya serta beberapa faktor lain.

“Paling pendek jarak tunggangan saya ialah 50 kilometer dan sepanjang perjalanan motosikal saya jenis Yamaha FZ150 tidak mengalami kerosakan teruk yang mengganggu pengembaraan ini,” katanya.

Pencapaiannya itu juga berkemungkinan menjadikan beliau sebagai warga Malaysia dan wanita Asia pertama berjaya mengelilingi dunia dengan menaiki motosikal secara solo.

Tinggalkan Pendapat Anda Untuk Semua Dengari