JERUSALEM, 14 Sept – Bekas Presiden Israel Shimon Peres telah diserang angin ahmar pada malam Selasa dan dimasukkan ke Pusat Perubatan Chaim Sheba, Tel Hashomer di luar Tel Aviv untuk rawatan segera.

Sedang Bertarung Nyawa Di Unit Rawatan Rapi

Pakar perubatan yang merawat beliau memaklumkan pemberita bahawa Peres “sedang bertarung nyawa di unit rawatan rapi” selepas diserang angin ahmar.

Pada pagi Rabu, Pengarah Hospital Tel Hashomer Yitzhak Kreiss berkata keadaan Peres adalah “serius namun stabil.”

“Encik Peres berjaya mengharungi detik-detik yang mencemaskan semalam,” kata Kreiss sambil menambah ketika ini bekas presiden itu diberi suntikan ubat pelali dan dipakaikan alat pernafasan.

Para doktor telah memutuskan untuk tidak membedah Peres kerana bimbang beliau mungkin tidak mampu bertahan ketika menjalani prosedur itu, katanya.

Rafi Walden, menantu Peres merangkap doktor peribadi beliau, berkata angin ahmar menyerang bahagian otak kanan bekas presiden itu.

Peres, 93, antara pengasas terakhir negara Israel, telah berkhidmat sebagai Perdana Menteri dan merupakan seorang daripada pemimpin yang memeterai “Perjanjian Damai Oslo” 1994 dengan rakyat Palestin.

Peres menjadi Presiden Israel dari 2007 hingga 2014.

Selepas itu, beliau terus aktif dalam lingkungan awam menerusi aktiviti Pusat Keamanan Peres dan menyokong kewujudan bersama serta perdamaian antara golongan Yahudi dan Arab di Timur Tengah.

TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan ulasan anda!
Sila masukkan nama anda di sini