in

20 Pasukan Berebut Gelaran Juara! Kejohanan Tarian Singa Kebangsaan Kembali Gegarkan Genting

Saingan menuju kejuaraan Kejohanan Tarian Singa Kebangsaan Malaysia Ke-21 2026 semakin sengit apabila hanya 20 pasukan berjaya mara ke peringkat separuh akhir selepas 88 pasukan berentap dalam pusingan kelayakan zon pada Jun lalu.

Resorts World Genting (RWG) mengumumkan barisan pasukan separuh akhir menerusi Majlis Cabutan Undi Peringkat Separuh Akhir yang berlangsung di Wisma Genting, sekali gus menentukan giliran aksi setiap pasukan yang bakal berentap pada September ini.

BUZZ RINGKAS
APA
Kejohanan Tarian Singa Kebangsaan Malaysia Ke-21 2026.

20 PASUKAN
Berjaya mara ke peringkat separuh akhir selepas 88 pasukan menyertai pusingan kelayakan zon.

SEPARUH AKHIR
26 September 2026.

FINAL
27 September 2026 di Arena of Stars, Resorts World Genting.

HADIAH JUARA
RM20,000 berserta trofi dan pingat.

20 Pasukan Rebut Tempat Ke Final

Kesemua 20 pasukan yang layak akan berentap pada 26 September 2026 bagi merebut tempat ke pentas akhir.

Hanya 10 pasukan terbaik akan mara ke aksi kemuncak yang dijadualkan berlangsung pada 27 September 2026 di Arena of Stars, Resorts World Genting.

Antara pasukan yang berjaya melayakkan diri ialah:

  1. Persatuan Tarian Singa dan Naga Chung Seng
  2. Penang Meihu Culture and Sports Association
  3. Pertubuhan Tarian Naga dan Singa Wen Ching Kelapa Sawit
  4. Kwong Ngai Lion Dance (Kuala Lumpur)
  5. Che Yee Khor Moral Uplifting Society Lahad Datu
  6. Persatuan Penganut Buddha Seng Fatt Kampar, Perak
  7. Persatuan Tarian Naga dan Singa Jin Shan Tangkak Johor
  8. Xuan Long Dragon and Lion Dance Ampang Selangor
  9. Pertubuhan Kebudayaan Kesenian dan Kesukanan Tawau
  10. Kwong Ngai Lion Dance (Penang)
  11. Persatuan Penganut Agama Buddha Xi Nan Kelapa Sawit
  12. Persatuan Tarian Naga dan Singa Khuan Loke, Sungai Way, Selangor
  13. Sin Ong Kong Temple Lion Dance Troupe Labuan
  14. Persatuan Penganut Dewa Tian Fa Wei Ling Tian Fa Kung Keningau
  15. Persatuan Tarian Singa WLDF Pakatan Malaysia
  16. Persatuan Penganut Agama Sin Ong Dian
  17. Yi Ngai Lion Dance
  18. Persatuan Tarian Singa dan Naga Keong Fatt Sabah
  19. Persatuan Tarian Naga dan Singa Xuan Long Rawang Selangor
  20. Hong Teck Dragon & Lion Dance

88 Pasukan Berentap, 20 Mara

Edisi tahun ini menyaksikan sambutan menggalakkan apabila 88 pasukan dari seluruh negara menyertai pusingan kelayakan zon pada Jun 2026.

Selepas melalui persaingan yang kompetitif, hanya 20 pasukan berjaya melangkah ke separuh akhir, menunjukkan tahap persaingan serta standard pertandingan tarian singa negara yang semakin meningkat.

Menurut Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG, Spencer Lee, kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan pertandingan, malah platform untuk mengetengahkan bakat terbaik negara dan memartabatkan warisan budaya.

“Kejohanan ini bukan sekadar sebuah pertandingan, malah merupakan platform untuk mengenal pasti pasukan tarian singa terbaik negara yang menghimpunkan bakat, disiplin, tradisi dan inovasi. Setiap persembahan mencerminkan dedikasi, pengorbanan dan semangat yang telah dipupuk selama bertahun-tahun,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa pihaknya menantikan pasukan yang bakal dinobatkan sebagai juara kebangsaan untuk menggalas cabaran Malaysia di pentas dunia.

Juara Bawa Pulang RM20,000

Selain merebut gelaran juara kebangsaan, para peserta turut bersaing untuk mendapatkan hadiah wang tunai yang ditawarkan pada setiap peringkat pertandingan.

Juara kebangsaan bakal membawa pulang RM20,000 berserta trofi dan pingat, manakala naib juara menerima RM12,000 dan tempat ketiga membawa pulang RM9,000.

Tujuh pasukan finalis yang lain pula masing-masing menerima RM3,000, sementara semua pasukan yang layak ke peringkat separuh akhir akan menerima RM2,000.

Tidak ketinggalan, Anugerah Aksi Paling Sukar bernilai RM3,000 turut ditawarkan kepada pasukan yang mempamerkan aksi teknikal paling cemerlang pada peringkat separuh akhir berdasarkan penilaian panel hakim rasmi.

Pameran Tarian Singa Dibuka Mulai Ogos

Bagi memeriahkan lagi sambutan kejohanan, RWG turut menyediakan pameran khas di Genting Guest Xperience Centre (GGXC), bersebelahan Crockfords.

Pameran itu akan dibuka kepada orang ramai mulai 1 Ogos 2026, memberi peluang kepada pengunjung mengenali dengan lebih dekat sejarah, warisan, kemahiran serta ketelitian yang diperlukan dalam setiap persembahan tarian singa.

Tiket Separuh Akhir Dan Final Sudah Dijual

Tiket bagi pusingan separuh akhir dan akhir Kejohanan Tarian Singa Kebangsaan Malaysia Ke-21 2026 kini mula dijual.

Pas dua hari ditawarkan pada harga RM268 bagi PS1 dengan tempat duduk bernombor dan RM168 bagi PS2 dengan tempat duduk bebas.

Bagi tiket sehari, harga untuk pusingan separuh akhir ialah RM129 bagi PS1 dan RM99 bagi PS2, manakala tiket pusingan akhir berharga RM248 bagi PS1 dan RM138 bagi PS2.

Setiap pembelian tiket dikenakan caj pemprosesan tambahan sebanyak RM4.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Dua Hari Je! Selangor Travel Fair 2026 Rekod Lebih 50,000 Pengunjung

Guru Dari Perak Bawa Pulang Kereta Elektrik Bernilai RM67,000!