Usahawan dan pengarah syarikat, Dr Nor Atiqah Mohamad Alwi, kekal meletakkan kepercayaan terhadap sistem kehakiman negara ketika prosiding kes membabitkan syarikat A2 Wax Sdn. Bhd. masih berjalan.
Nor Atiqah, 37, berkata proses perbicaraan kini sudah melalui hampir separuh sesi dan masih menunggu tarikh prosiding seterusnya pada Oktober.
“Seperti berita yang pernah disiarkan pada 2025, saya didakwa di mahkamah Terengganu membabitkan kes syarikat saya.
“Kes itu masih dalam prosiding dan saya diwakili peguam, Tuan Muhammad Rafique Rashid Ali. Setakat ini, perbicaraan sudah melalui hampir separuh proses dan mungkin berbaki dua saksi lagi.
“Buat masa ini, saya masih menunggu tarikh pada Oktober bagi sesi perbicaraan seterusnya. Untuk perkembangan lanjut mengenai kes itu, saya serahkan kepada peguam untuk memberikan penjelasan,” katanya.
SIAPA: Dr Nor Atiqah Mohamad Alwi
APA: Berkongsi perkembangan prosiding kes membabitkan syarikat A2 Wax Sdn. Bhd.
STATUS: Perbicaraan sudah melalui hampir separuh proses dan berbaki kira-kira dua saksi.
HARAPAN: Berharap kes dibicarakan dan diselesaikan secara adil mengikut proses perundangan.
KESAN: Mengakui berdepan tekanan emosi dan kini lebih berhati-hati dalam memberikan kepercayaan.
Berdepan tekanan sejak 2022
Menurut Nor Atiqah, perjalanan proses perundangan sejak 2022 bukan sesuatu yang mudah, malah perkara itu turut memberi tekanan dan menimbulkan kebimbangan terhadap dirinya.
“Sudah tentu perkara ini memberikan tekanan kerana saya berdepan dengan kes mahkamah sejak 2022. Tekanan dan kebimbangan itu memang ada.
“Saya masih meneruskan urusan harian termasuk mengendalikan perniagaan seperti biasa dan bersyukur kerana sepanjang proses ini, saya dipertemukan dengan individu yang baik dan banyak membantu,” luahnya.

Lebih berhati-hati soal kepercayaan
Pengalaman melalui proses berkenaan turut memberi kesan terhadap cara Nor Atiqah melihat soal kepercayaan, terutama dalam urusan perniagaan.
Katanya, pengalaman tersebut membuatkan dirinya lebih berhati-hati sebelum memberikan kepercayaan kepada orang lain.
“Selepas melalui proses ini, saya lebih berhati-hati dalam memberikan kepercayaan kepada orang lain. Ia mengajar saya untuk menilai dengan siapa kita boleh meletakkan kepercayaan dan sejauh mana kepercayaan itu wajar diberikan.
“Dalam masa sama, saya menyedari bahawa saya mempunyai pekerja yang baik kerana mereka terus bersama saya ketika berdepan keadaan sukar,” luahnya lagi.

Harap pihak bertanggungjawab laksanakan amanah
Dalam pada itu, Nor Atiqah mengakui pernah berasa kecewa apabila mendakwa terdapat pihak bertanggungjawab yang seolah-olah tidak menjalankan tugas serta amanah seperti sewajarnya.
“Kita sebagai rakyat biasa tentunya berharap kepada pihak yang diberikan amanah dan kuasa untuk membantu serta melindungi kepentingan rakyat.
“Saya berharap pihak yang diberikan tanggungjawab dan kuasa dapat melaksanakan amanah dengan sebaik-baiknya serta tidak menyalahgunakan kuasa,” ujarnya.
Tetap percaya sistem kehakiman
Walaupun melalui tempoh yang panjang sepanjang proses perundangan, Nor Atiqah berkata dia masih yakin terhadap sistem kehakiman negara dan berharap kes berkenaan dapat diselesaikan berdasarkan proses yang adil.
“Saya percaya sistem kehakiman kita dan berharap serta doa agar kes ini dapat dibicarakan secara adil dan diselesaikan dengan sebaik-baiknya.
“Saya bersyukur keluarga sentiasa memberikan sokongan dan berterima kasih kepada peguam saya, Tuan Rafique Rashid, yang membantu saya sepanjang proses kes ini,” tambahnya.
Nor Atiqah turut menitipkan pesanan kepada individu yang sedang berdepan situasi sama supaya tidak berputus asa dalam mendapatkan keadilan.
“Jika ada yang melalui pengalaman seperti saya, kita perlu terus bangkit dan percaya bahawa kebenaran akhirnya akan diketahui.
“Saya hanya mengharapkan keadilan sebaik-baiknya dan percaya kepada sistem kehakiman negara,” kongsinya.

Kes membabitkan A2 Wax
Terdahulu, Nor Atiqah bersama suaminya didakwa atas pertuduhan penyalahgunaan wang milik syarikat A2 Wax Sdn. Bhd. berjumlah RM49,000 antara 29 Ogos hingga 23 November 2021 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.
Bagi pertuduhan kedua, pasangan itu didakwa menyalahgunakan wang syarikat berjumlah RM7,000 pada 31 Januari 2022.
Kedua-duanya didakwa mengeluarkan dan menggunakan cek tunai bagi membayar sewa premis di alamat sama yang didakwa merupakan kediaman mereka di Bandar 16 Sierra, Puchong, Selangor.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.
Bagaimanapun, Nor Atiqah mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan berkenaan.



GIPHY App Key not set. Please check settings