Peserta Big Stage X Rocketfuel, Aliff Kimiey tampil mempertahankan rakan duetnya, Marsya Qistina selepas timbul dakwaan di media sosial yang menyalahkan penyanyi itu sebagai punca persembahannya kurang menyerlah pada konsert minggu kelima.
Menurut Aliff, Marsya bukan sahaja seorang penyanyi yang hebat, malah banyak membantunya sepanjang minggu latihan sebelum mereka mempersembahkan lagu Terimaku Seadanya.
Aliff Kimiey menafikan dakwaan Marsya Qistina menjadi punca persembahannya kurang menyerlah.
BANYAK MEMBANTU
Menurutnya, Marsya banyak membimbing sepanjang latihan dan mereka saling membantu.
AKUI GUGUP
Aliff mengakui berdepan rasa gemuruh ketika menyampaikan lagu ballad di pentas.
DAH BUAT YANG TERBAIK
Aliff percaya dia sudah memberikan persembahan terbaik mengikut kemampuan pada malam itu.

Marsya Banyak Membantu Sepanjang Latihan
Aliff berkata dia sama sekali tidak bersetuju dengan dakwaan yang dilemparkan segelintir netizen terhadap Marsya.
“Sejujurnya saya boleh cakap Marsya memang seorang penyanyi yang bagus. Dia memang banyak membimbing saya sepanjang seminggu kami bersama. Kami saling berkongsi idea dan banyak membantu antara satu sama lain,” katanya.
Menurut Aliff, mereka bukan sahaja berbincang mengenai persembahan, malah turut saling membantu daripada aspek vokal sepanjang sesi latihan.
“Dia banyak membantu saya daripada segi persembahan. Saya pun ada bantu dia daripada segi vokal. Kami memang saling membantu,” katanya.

Nafikan Marsya Jejaskan Persembahan
Ketika ditanya sama ada dia bersetuju dengan dakwaan bahawa Marsya menjadi punca persembahannya kurang menyerlah, Aliff menafikan perkara tersebut.
“Tak sepatutnya. Dia memang seorang penyanyi yang bagus. Sejujurnya memang dia banyak membantu saya,” katanya.

Akui Rasa Gugup Sebelum Naik Pentas
Dalam masa sama, Aliff mengakui dia berasa gugup sebelum membuat persembahan kerana lagu ballad memerlukan kawalan tempo dan lontaran vokal yang lebih teliti.
“Sudah tentu saya gementar sebelum membuat persembahan. Lagu ballad banyak bermain dengan tempo dan pitching. Itu sedikit sebanyak mengganggu saya sebelum naik pentas,” katanya.
Bagaimanapun, Aliff percaya dia sudah memberikan persembahan terbaik mengikut kemampuan yang dimilikinya pada malam itu.
“Saya sudah memberikan yang terbaik. Apa yang dipersembahkan pada malam itu, itulah yang saya mampu lakukan,” katanya.



GIPHY App Key not set. Please check settings