Selepas lebih dua dekad tidak tampil dengan album solo penuh, Yusry Abdul Halim akhirnya kembali mempertaruhkan karya terbaharu berjudul “Eternal”, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya.
Diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia, album ini menjadi kemunculan semula Yusry sebagai artis solo selepas lebih 20 tahun, selain memperlihatkan kematangannya sebagai penyanyi, komposer dan pencipta lagu.
Yusry Abdul Halim.
APA
Pelancaran album solo “Eternal”.
BILA
Kini tersedia untuk didengar di semua platform penstriman digital.
DI MANA
JioSpace (acara pelancaran) dan platform penstriman digital.
KENAPA
Menandakan kemunculan semula Yusry sebagai penyanyi solo selepas lebih dua dekad.

Album Yang Lahir Daripada Pengalaman Hidup
Bagi meraikan pelancarannya, Yusry sebelum ini telah bertemu peminat menerusi Eternal Gala Night yang berlangsung di JioSpace, sebelum album itu dilancarkan secara rasmi dan kini boleh didengari di semua platform penstriman digital.
Menurut Yusry, judul “Eternal” dipilih kerana menggambarkan perkara-perkara yang kekal dalam kehidupan seseorang.
“Saya memilih tajuk Eternal kerana saya percaya setiap orang mempunyai cerita yang akan kekal bersama mereka sepanjang hidup. Ada kenangan yang menggembirakan, ada juga yang menyakitkan, tetapi semuanya membentuk siapa diri kita hari ini.
“Saya harap album ini dapat menjadi teman kepada pendengar, tidak kira di mana mereka berada dalam perjalanan hidup masing-masing,” katanya.

Enam Lagu, Enam Warna Kehidupan
Album ini memuatkan enam buah lagu yang masing-masing membawa cerita dan emosi berbeza.
Daripada kisah cinta, kehilangan, pengorbanan, kasih sayang keluarga, cabaran dalam hubungan sehinggalah pemerhatian terhadap masyarakat hari ini, setiap lagu disusun bagi membentuk satu perjalanan emosi yang lengkap.
Sebagai lagu fokus album, “Jiwa & Raga” mengangkat tema cinta yang dibina atas kesetiaan dan pengorbanan menerusi sentuhan balada moden.
“Hancur Kecewa” pula mengisahkan proses menerima kehilangan dan mencari kekuatan untuk bangkit semula, manakala “Pelengkap Hidup” meraikan kasih sayang dalam institusi keluarga.
Turut dimuatkan ialah “Kasarnya Cinta”, “Kamu Harus Tahu” dan “Narsisistik”, yang masing-masing mengetengahkan kisah hubungan, penyesalan serta fenomena budaya media sosial masa kini.

Kolaborasi Bersama Luca Sickta
Album “Eternal” turut menyaksikan kolaborasi Yusry bersama penyanyi rap, komposer dan penulis lagu Luca Sickta menerusi dua buah lagu iaitu “Jiwa & Raga” dan “Hancur Kecewa”.
Menurut Luca, beliau sudah membayangkan karakter vokal Yusry sejak awal proses menghasilkan lagu-lagu tersebut.
“Saya mahu lagu-lagu ini kedengaran jujur. Yusry mempunyai kematangan dalam penyampaian yang mampu menghidupkan setiap emosi yang ingin disampaikan. Itulah suara yang saya bayangkan sejak awal lagi,” katanya.
Selain dua lagu hasil ciptaan Luca, empat karya lain dalam album ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Yusry sendiri.

Mahu Temani Pendengar Dalam Setiap Fasa Kehidupan
Bagi Yusry, kejayaan album ini bukan diukur melalui jumlah penstriman semata-mata, sebaliknya apabila lagu-lagunya mampu menemani pendengar dalam pelbagai situasi kehidupan.
“Saya berharap setiap orang akan menemui sekurang-kurangnya sebuah lagu dalam album ini yang dekat dengan kisah hidup mereka. Jika karya-karya ini mampu memberi ruang untuk seseorang mengimbau kenangan, mencari kekuatan atau sekadar menemani perjalanan mereka, itu sudah cukup bermakna buat saya,” katanya.
Dengan enam lagu yang membawa pelbagai kisah dan emosi, “Eternal” menjadi sebuah album yang meraikan perjalanan kehidupan manusia daripada detik paling membahagiakan sehinggalah saat paling mencabar.


GIPHY App Key not set. Please check settings