Hos baharu Big Stage X Rocketfuel, Azeva akhirnya tampil menjelaskan persoalan netizen yang sering melihat dia menggosok hidung ketika bersiaran secara langsung sehingga ada yang membuat andaian dia menjalani prosedur kecantikan.
Menurut anak kepada penerbit terkenal Datuk A.Aida itu, perkara tersebut sebenarnya berpunca daripada masalah resdung yang dialaminya dan bukannya kerana melakukan pembedahan pada hidung.
JELAS ISU
Azeva nafi melakukan pembedahan hidung.
SEBAB SEBENAR
Akui menghidap resdung dan kerap menggosok hidung ketika live.
PENGALAMAN BAHARU
Teruja diberi peluang mengacarakan Big Stage X Rocketfuel.
RAKAN HOS
Syukur digandingkan bersama Nabil Ahmad.

Bukan Buat Hidung, Tapi Resdung
Azeva berkata dia sudah lali menerima persoalan mengenai bentuk hidungnya, namun menegaskan hidung tersebut adalah anugerah daripada ibunya.
“Azeva ada resdung. Saya tenyeh hidung sebab nak sumbat hingus. Tapi orang memang selalu persoalkan sama ada saya buat hidung atau tidak.
“Kalau saya buat, saya buatlah macam Barbie. Hidung ini memang keturunan mak saya. Tengoklah mak saya cantik macam mana. Memang tak buat, janji tak buat,” katanya sambil berseloroh.

Gementar Tapi Teruja Jadi Hos
Dalam masa sama, Azeva mengakui pada mulanya berasa gementar apabila diberi kepercayaan mengendalikan Big Stage X Rocketfuel, apatah lagi ia merupakan pengalaman pertamanya sebagai hos program secara langsung.
Namun, dia bersyukur kerana digandingkan bersama pengacara berpengalaman, Nabil Ahmad.
“Saya memang sangat teruja, tapi pada masa sama saya gementar sebab ini kali pertama saya jadi hos.
“Alhamdulillah saya dapat partner macam Abang Nabil. Kami memang dah lama kenal dan saya bersyukur Astro beri peluang serta kepercayaan ini kepada saya,” katanya.

Tak Susah Cari Keserasian
Mengulas mengenai keserasian bersama Nabil, bekas peserta Talk To My Manager 2 itu berkata mereka tidak mengambil masa lama untuk membina chemistry kerana sudah lama saling mengenali.
“Senang saja sebab Abang Nabil faham saya dan saya faham dia. Kami memang jenis suka cakap benda-benda random. Jadi bila digandingkan, semuanya jadi lebih mudah,” ujarnya.
Azeva diumumkan sebagai hos bersama Nabil Ahmad ketika minggu pertama Big Stage X Rocketfuel, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kariernya selepas menyertai Talk To My Manager Musim 2 sebelum ini.



GIPHY App Key not set. Please check settings