Hussain mengakui dia sanggup sekali lagi ‘berpuasa durian’ selepas diserap sebagai peserta Big Stage X Rocketfuel hasil undian tertinggi penonton.
Menurut naib juara Talk To My Manager Musim 2 (TTMM2) itu, pengorbanan tersebut dibuat kerana dia tidak mahu mengulangi pengalaman hilang suara yang pernah dialaminya selepas menikmati durian.
PENGORBANAN
Hussain kembali ‘puasa durian’ sepanjang Big Stage.
SEBAB
Tak mahu ulang pengalaman hilang suara ketika TTMM2.
PELUANG KEDUA
Diserap masuk ke Big Stage hasil undian tertinggi penonton.
TEKAD
Mahu membalas kepercayaan peminat dengan persembahan terbaik.
Tak Mahu Ulang Silap Sama
Hussain berkata dia pernah menahan diri daripada makan durian ketika bertanding dalam TTMM2 atas nasihat bapanya yang mahu dia menjaga vokal.
Namun, dia akhirnya tewas dengan godaan buah kegemarannya itu sehingga memberi kesan kepada suaranya.
“Masa TTMM dulu, bapa saya cakap saya tak boleh makan durian sebab boleh mengganggu suara dan vokal. Jadi saya memang ‘puasa’ durian.
“Saya memang sedih tak dapat makan sebab durian ni memang kegemaran saya. Tapi akhirnya saya makan juga dan lepas itu terus hilang suara,” katanya.

Kena ‘Puasa’ Lagi
Disebabkan pengalaman itu, Hussain berkata dia kini perlu kembali menahan diri daripada makan durian sepanjang saingan Big Stage X Rocketfuel.
Malah, dia mengakui terpaksa mengawal nafsu setiap kali melihat gerai durian walaupun musim raja buah sedang rancak.
“Lepas ini kena puasa semula daripada makan durian.
“Musim durian pula tengah rancak, lagi-lagi Musang King sekarang harga pun dah murah. Kalau nampak gerai durian, saya terus tutup mata dan pandang tempat lain sebab nak kawal nafsu,” katanya berseloroh.

Undian Peminat Bakar Semangat
Dalam masa sama, Hussain meluahkan rasa syukur apabila diberi peluang kedua untuk bertanding selepas diserap masuk ke Big Stage X Rocketfuel hasil undian tertinggi penonton.
Menurutnya, dia pada awalnya sudah bercadang untuk berehat selepas tamat TTMM2.
“Alhamdulillah, ramai yang mengundi saya. Benda itu buat saya lagi bersemangat. Kalau tidak, sebenarnya saya dah fikir nak berehat.
“Tapi bila saya tengok ramai yang masih nak saya masuk lagi, saya rasa mereka masih rindu dengan suara saya. Tanpa mereka, siapalah saya.
“Jadi saya kena kuatkan mental untuk terus berjuang. Insya-Allah, kalau ada rezeki saya nak sampai ke final,” katanya.

Anggap Semua Peserta Sebagai Keluarga
Mengulas cabaran bersaing bersama peserta lain, Hussain berkata dia memilih untuk menganggap semua peserta sebagai sebuah keluarga bagi mengelakkan wujudnya perasaan iri hati.
Katanya, setiap peserta mempunyai kelebihan tersendiri dan menjadi inspirasi untuk dia terus memperbaiki diri.
“Saya anggap semua peserta macam keluarga saya. Jadi tak ada rasa dengki atau apa-apa. Saya jadikan mereka sebagai inspirasi untuk saya terus perbaiki diri,” katanya.

Teruskan Cabaran Di Big Stage
Pada minggu pertama Big Stage X Rocketfuel, Hussain diumumkan sebagai peserta ke-11 dan bakal bersaing bersama Sufie Rose, Qilo, Rieffa, Danny, Aliff Kimiey, Yad-z, Ranisha, Danial Kifli, Sabrina serta duo Adam & Nazmie.
Sepanjang lapan minggu pertandingan, para peserta akan merebut kontrak pembangunan artis Rocketfuel bernilai sehingga RM200,000 yang merangkumi penghasilan single, video muzik, latihan vokal, pembangunan imej, sokongan pemasaran serta bimbingan kerjaya secara profesional.



GIPHY App Key not set. Please check settings