in

Dakwaan Harga Tak Masuk Akal, Havoc Food Festival Jelaskan Isu ‘Pasar Malam T20’

Screenshot

Isu festival makanan yang didakwa semakin mahal hingga dilabel sebagai ‘pasar malam T20’ akhirnya menerima maklum balas daripada pihak penganjur Havoc Food Festival.

Ketua Pegawai Eksekutif Havoc Festival, Datuk Firdaus Nadxaman, menegaskan bahawa penganjuran festival itu sejak awal bukan bertujuan membebankan pengunjung, sebaliknya memberi ruang kepada usahawan kecil menjana pendapatan secara konsisten.

🔥 Isu Havoc Food Festival 🔥
  • Havoc Food Festival nafi dakwaan ‘pasar malam T20’
  • Penganjur dakwa harga dikawal, bukan ditentukan sesuka hati
  • Kos permit dan logistik meningkat hingga hampir 60%
  • Festival dijalankan secara jelajah seluruh negara
  • Ada EO baharu jadikan Havoc sebagai benchmark tanpa faham realiti
  • Penganjur dedah vendor diberi peluang walaupun berhutang
  • Tapisan ketat dikenakan terhadap peserta termasuk selebriti
  • PBT disaran tapis penganjur bagi elak lambakan festival

Menurut beliau, pihak Havoc mengambil serius setiap kritikan yang timbul, terutama dakwaan kononnya harga makanan di festival kini tidak lagi mesra rakyat.

“Kami sedar isu ini sedang hangat diperkatakan. Objektif utama kami ialah bantu peniaga berkembang, bukan menjadikan festival makanan sebagai acara eksklusif untuk golongan tertentu,” – Ketua Pegawai Eksekutif Havoc Festival, Datuk Firdaus Nadxaman.

Firdaus berkata, industri festival makanan kini semakin sesak dengan kemunculan penganjur baharu yang menjadikan Havoc sebagai penanda aras, namun gagal memahami realiti sebenar kos penganjuran.

“Ada penganjur sendiri mengaku mereka jadikan Havoc sebagai benchmark. Itu yang merisaukan kerana setiap acara ada kos dan tanggungjawab berbeza. Bukan sekadar pasang khemah dan kutip sewa,” katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa penganjur acara berdepan pelbagai kos tersembunyi seperti sewaan tapak, logistik, permit dan caj pihak berkuasa tempatan terutamanya apabila festival dijalankan secara jelajah ke seluruh negara.

“Kos permit sahaja boleh mencecah puluhan ribu ringgit. Malah, ada kenaikan sehingga hampir 60 peratus yang perlu kami tanggung. Tapi kami tetap kawal harga jualan makanan supaya tidak melampau,” ujarnya.

Tambah Firdaus, wujud juga penganjur yang mengambil kesempatan terhadap vendor sehingga menjejaskan kepercayaan usahawan kecil, termasuk mengenakan caj tinggi tanpa memberi pulangan setimpal.

“Ramai vendor masih berhutang dengan kami, nilainya jutaan ringgit. Tapi kami tetap beri peluang supaya mereka boleh bangkit dan terus berniaga,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Havoc mengambil pendekatan lebih tegas terhadap individu yang menyalahgunakan tapak niaga, termasuk selebriti yang menjual semula lot kepada pihak lain.

“Kami kini lebih berhati-hati dalam memilih peserta, terutama dalam kalangan artis. Kami mahu bantu mereka yang betul-betul serius berniaga,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Havoc Festival, Faizul Mohd Yusof, menyifatkan lambakan festival makanan sebagai antara punca kekeliruan orang ramai terhadap isu harga.

Beliau mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan memainkan peranan menapis penganjur yang benar-benar berkualiti sebelum meluluskan sebarang penganjuran berskala besar.

“Kami tak boleh halang sesiapa buat festival, tapi PBT boleh bantu elakkan lambakan dengan tapisan yang lebih ketat,” – Ketua Pegawai Operasi Havoc Festival, Faizul Mohd Yusof.

Isu berkaitan harga dan lambakan festival makanan dijangka terus menjadi perhatian orang ramai, namun pihak penganjur berharap semua pihak dapat melihat perkara itu secara menyeluruh dengan mengambil kira kos penganjuran serta cabaran industri.

Ditulis oleh Ezza Azira

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Berani Sentuh Isu Poligami, Pak Su Ammara Dijangka Gegarkan Slot Megadrama!

Andy Teh Dedah Status Sebenar Dengan Chacha Maembong, Akui Terbuka Soal Jodoh & Agama