Sejarah baharu industri muzik tanah air akan tercipta menerusi konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 yang menyatukan empat figura hebat dalam satu pentas – Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel. Buat pertama kalinya, gabungan istimewa antara dua generasi dalam satu keluarga akan diraikan menerusi sebuah persembahan yang dinanti-nantikan ramai.
Konsert ini akan berlangsung pada 18 Oktober 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, dan dianjurkan oleh Anuar Zain Network dengan kerjasama Altus Prohouse. Ia bukan sekadar persembahan biasa, tetapi satu simbolik cinta, kasih sayang dan penghargaan terhadap bakat serta jalinan kekeluargaan dalam dunia hiburan.
Ziana dan Anuar, dua nama besar dalam industri, bergabung tenaga bersama Ernie dan Syamel untuk memberi persembahan terbaik buat para peminat. Menurut mereka, konsert ini adalah lambang silaturrahim dan penghargaan kepada peminat yang selama ini setia menyokong karya mereka. Bagi Ernie dan Syamel, peluang ini ibarat satu impian yang menjadi kenyataan.

Jennifer Thompson telah dipilih sebagai pengarah konsert, manakala Sze Wan pula mengetuai bahagian muzik. Menurut mereka, konsert ini dirancang sejak tiga tahun lalu dan menjanjikan pelbagai momen istimewa termasuk kolaborasi lagu-lagu hits yang merentasi empat dekad. Ia dijangka menjadi hiburan berkualiti untuk semua lapisan usia.
Tiket untuk Empat Live In Kuala Lumpur 2025 mula dijual pada 25 April 2025, jam 10.00 pagi di ticket2u.com.my/empatkl. Harga tiket bermula dari RM288 hingga RM2,088, termasuk pilihan tempat duduk khas seperti VIP dan Royal Twin Seat. Kategori khas juga disediakan untuk golongan OKU dengan menghubungi talian +6011-1190 0518.

Konsert ini terhasil daripada permintaan dan kasih sayang para peminat terhadap empat penyanyi hebat ini. Ia adalah peluang istimewa untuk menyaksikan gabungan suara, karisma dan semangat keluarga yang jarang berlaku dalam dunia hiburan tempatan.
Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini. Datang dan raikan bersama Ziana, Anuar, Ernie dan Syamel dalam Empat Live In Kuala Lumpur 2025 – sebuah konsert penuh makna, cinta dan kenangan.



GIPHY App Key not set. Please check settings