in ,

Konsert Homecoming Ella Di Pulau Pinang Catat Sold Out

Ella akhirnya kembali ke negeri kelahirannya apabila Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming – Edisi Permata Biru berlangsung di Setia SPICE Arena, Pulau Pinang, dengan tiket habis terjual.

Selepas kali terakhir mengadakan persembahan di Pulau Pinang pada 2023 menerusi Jilid Akhir Ella Puteri Kota, kepulangan kali ini hadir dengan makna tersendiri apabila Ella turut meraikan ulang tahun ke-60 bersama peminat yang memenuhi arena.

BUZZ RINGKAS
SIAPA
Ella, Dato’ Ramli Sarip dan Ziana Zain.

APA
Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming – Edisi Permata Biru.

BILA
22 Ogos 2026.

DI MANA
Setia SPICE Arena, Pulau Pinang.

MENGAPA
Ella kembali ke negeri kelahirannya sambil meraikan ulang tahun ke-60 bersama peminat.

BAGAIMANA
Konsert sold out dengan persembahan Ella, kemunculan Ramli Sarip dan Ziana Zain serta kempen Peace.Love.Rindu.

Kepulangan Yang Lebih Bermakna

Bagi Ella, Pulau Pinang bukan sekadar lokasi persembahan kerana negeri itu merupakan tempat kelahirannya.

Kepulangan menerusi konsep Homecoming itu menjadi peluang untuk Ella bertemu semula dengan peminat di Utara dalam sebuah malam yang turut disertai peminat dari negeri-negeri lain serta Sumatera, Indonesia.

Lebih istimewa, sambutan hari jadi Ella turut diraikan lebih awal bersama sekumpulan pemegang tiket terpilih sebelum konsert bermula.

“Saya dapat meraikan hari jadi bersama mereka yang dekat serta orang-orang yang saya sayangi. Melihat arena penuh malam ini merupakan satu hadiah yang sangat bermakna buat saya,” katanya.

Lagu Lama Kembali Menghidupkan Nostalgia

Malam tersebut menyaksikan Ella membawa penonton menelusuri perjalanan muziknya menerusi rangkaian lagu popular seperti Rama-Rama, Kesal, Bayangan, Cinta Selembut Sutera, Retak, Tiada Tangis Lagi, Kasih dan Pedih.

Setiap persembahan disambut dengan nyanyian bersama daripada penonton, membuktikan karya Ella masih mempunyai tempat dalam hati peminat daripada pelbagai generasi.

Ramli Sarip & Ziana Zain Curi Perhatian

Antara detik paling mendapat sambutan ialah kemunculan Dato’ Ramli Sarip yang bergandingan dengan Ella di atas pentas.

Ramli membawakan Istilah Bercinta dan Teratai sebelum meneruskan persembahan bersama Ella menerusi Kembara Kita.

Tidak kurang menarik ialah penampilan Ziana Zain yang membawakan lagu Madah Berhelah, sebelum kedua-duanya bergandingan dalam medley Senja Nan Merah dan Nuri.

Gabungan tiga nama besar tersebut menjadikan Homecoming bukan sekadar persembahan solo Ella, tetapi turut menjadi ruang mempertemukan figura penting muzik Malaysia dalam satu malam.

Peace.Love.Rindu Turut Diteruskan

Di sebalik kemeriahan konsert, kempen Peace.Love.Rindu turut menjadi sebahagian daripada perjalanan Homecoming.

Menerusi inisiatif itu, RM2 daripada setiap tiket terjual disalurkan kepada salah satu daripada tiga organisasi kebajikan berdasarkan pilihan pembeli.

Kategori Peace disalurkan kepada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pulau Pinang, Love kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN), manakala Rindu kepada Yayasan Kebajikan Artis Tanahair.

Pendekatan tersebut menjadikan konsert ini bukan sahaja ruang untuk meraikan muzik dan legasi Ella, tetapi turut membawa elemen memberi kembali kepada masyarakat.

Sold Out Jadi Penutup Istimewa

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, melihat sambutan tersebut sebagai bukti kekuatan Ella serta karya muzik tempatan dalam menyatukan peminat daripada pelbagai generasi.

“Ella merupakan sebahagian penting daripada sejarah muzik Malaysia. Apa yang kita lihat malam ini bukan sekadar sebuah konsert, tetapi bagaimana muzik tempatan terus mempunyai kekuatan untuk menyatukan generasi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Projek Khas Hitman Solutions, Keeran D., menyifatkan perkembangan Majlis Tertinggi Rockqueen sebagai bukti bahawa sebuah konsert boleh berkembang menjadi pengalaman yang mempunyai hubungan tersendiri dengan peminat.

“Untuk Homecoming, kami mahu mencipta sesuatu yang lebih dekat dengan Ella sendiri – kepulangannya ke tempat kelahiran, sambutan hari jadinya dan peluang untuk meraikannya bersama peminat. Melihat sambutan sold out malam tadi adalah penutup yang sangat bermakna kepada perjalanan ini,” katanya.

Kejayaan Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming – Edisi Permata Biru akhirnya menjadikan Pulau Pinang saksi kepada kepulangan Ella ke negeri kelahirannya dalam sebuah malam yang dipenuhi muzik, nostalgia, persahabatan dan penghargaan.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

“Jangan Buat-Buat Pandai” – Zizan Razak Nasihat Pengacara Baharu Belajar Dan Terima Nasihat