Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan, dan Keusahawanan akan menganjurkan Selangor Future Cup 2025 (SFC), sebuah kejohanan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB)

Kejohanan bakal melibatkan 64 sekolah menengah dari seluruh Selangor. Kejohanan ini dijadualkan pada 22 dan 23 Februari 2025 dan mendapat sokongan penuh daripada AEON, yang menyediakan AEON Mall Shah Alam sebagai venue rasmi.
Selangor Future Cup 2025 bertujuan untuk mengembangkan bakat pelajar berusia bawah 17 tahun di seluruh Selangor dalam bidang e-sukan secara kompetitif, serta membantu mereka membina kemahiran strategik, kepimpinan, dan kerjasama berpasukan.
Dengan kerjasama ini, TODAK Academy memainkan peranan penting dalam menjayakan inisiatif ini, yang turut menyokong usaha YB Najwan, Exco Belia, Sukan, dan Keusahawanan Negeri Selangor untuk memperkasakan e-sukan di peringkat sekolah dan menghasilkan lebih banyak atlet muda berbakat.
Peranan TODAK dalam SFC
TODAK, buat pertama kalinya, bekerjasama dengan Selangor Red Giants (SRG) dalam menjayakan kejohanan ini. Selain menguruskan pertandingan SFC, TODAK turut berperanan sebagai rakan pembangunan atlet, dengan menawarkan biasiswa pendidikan kepada para juara. TODAK Academy juga akan menyediakan bimbingan dan sokongan berterusan kepada bakat-bakat muda yang berpotensi.
Pendidikan sebagai Fokus Utama
Untuk pertama kalinya, kejohanan SFC menonjolkan pendidikan sebagai komponen utama. TODAK Academy menyediakan biasiswa penuh berjumlah RM160,000 kepada enam ahli pasukan yang memenangi kejohanan. Biasiswa ini merangkumi Diploma Sijil Kemahiran Malaysia (Tahap 4) dalam Creative Content Development, memberi peluang kepada pemenang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang relevan dengan industri e-sukan. En. Mohd Ikmal Fareeq Bin Shamsul Bahri, Timbalan Presiden Kelab Sukan Elektronik TODAK, berharap kejohanan ini dapat menarik lebih banyak institusi pendidikan untuk bersama-sama memberi sokongan dalam usaha menyediakan keseimbangan pendidikan dalam arena e-sukan.

Program Pembangunan Bakat
TODAK juga amat teruja untuk bekerjasama dengan SRG dalam mencari bakat baru di kalangan pelajar sekolah untuk diserap ke dalam program pembangunan atlet e-sukan. Pemenang kejohanan akan diberi pendedahan secara berperingkat dalam liga profesional dan di peringkat negeri, khususnya dalam Sukan Malaysia (SUKMA). Kerjasama ini turut melibatkan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, yang bertujuan mencari pemain berkualiti, sesuai dengan tema kejohanan SFC iaitu “Lahirnya Legenda.”

Harapan TODAK Buat Selangor Future Cup
TODAK berharap SFC dapat mengubah persepsi negatif terhadap industri e-sukan dengan menunjukkan kejayaan di peringkat negeri dan antarabangsa. Mereka berterima kasih kepada YB Najwan, Exco Belia, Sukan, dan Keusahawanan Negeri Selangor, MSN, serta SRG atas kerjasama ini yang akan menjadikan kejohanan ini sebagai platform untuk mengenal pasti bakat-bakat baru yang berpotensi mewakili Selangor dalam SUKMA XXII Selangor 2026.
Melalui kolaborasi bersama SRG dan TODAK, pihak kerajaan negeri berhasrat untuk menjadikan e-sukan sebagai sukan arus perdana, serta memperkasa ekosistem keusahawanan digital dan industri kreatif di Selangor. Inisiatif ini bukan sahaja berpotensi mencungkil bakat-bakat muda, tetapi juga memperkukuhkan lagi kedudukan Selangor sebagai pemimpin dalam arena e-sukan di Malaysia.
Shah Alam • 6 Februari 2025



GIPHY App Key not set. Please check settings