in ,

Teknologi, Gaya & Aksi Automotif Bertemu di MATEC 2025

KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Penganjuran kali kedua MARA Automotive Ecosystem (MATEC) 2025 oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) dijangka menjadi tumpuan utama dalam kalangan peminat dan pemain industri automotif tempatan.

Acara ini akan berlangsung dari 30 Oktober hingga 2 November di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, berkata MATEC 2025 menzahirkan usaha berterusan MARA untuk memperkukuh keupayaan usahawan bumiputera dalam sektor automotif. Penganjuran ini turut membuka peluang kepada pemain industri untuk meneroka teknologi baharu, memahami piawaian terkini, serta menjalin kerjasama strategik dalam rantaian nilai industri automotif.

Bertemakan “Charge The Hype”, edisi tahun ini akan menampilkan gabungan teknologi automotif terkini, gaya hidup permotoran, modifikasi kreatif, dan penglibatan generasi muda, khususnya Gen Z. Pendekatan ini diharap dapat menyuntik semangat baharu serta menarik minat lebih ramai pengunjung.

Empat komponen utama bakal diketengahkan iaitu Pameran (B2C), Business Matching (B2B), Diagnose Hub dan Experiential Wheel. Sebanyak 180 reruai pameran akan disediakan, melibatkan pengeluar kenderaan (OEM), vendor alat ganti dan aksesori, program khas automotif MARA, serta agensi dan rakan strategik yang terlibat dalam pembangunan industri.

Segmen Experiential Wheel pula memberi peluang kepada pengunjung untuk mencuba sendiri pelbagai teknologi baharu termasuk uji pandu kenderaan elektrik, selain menikmati tawaran menarik seperti diskaun servis, aksesori, dan barangan automotif. Pelbagai aktiviti interaktif dan cabutan bertuah turut disediakan termasuk EV Smart Quiz, Push Bike Challenge dan Wheel of Fortune, dengan hadiah utama berupa motosikal dan barangan eksklusif MATEC.

Penganjuran MATEC 2025 turut mendapat kerjasama daripada pelbagai rakan industri seperti PETRONAS, EON, Daihatsu, Little Joe, Bateriku, CelcomDigi, Mannol, dan PMH, selain agensi kerajaan dan institusi kewangan termasuk PUNB, MARii, dan SME Corp.

MATEC 2024 sebelum ini mencatatkan nilai transaksi jualan sebanyak RM16.6 juta dengan lebih 330 sesi padanan perniagaan, serta menarik kehadiran 26,550 pengunjung. Berdasarkan pencapaian tersebut, penganjur menyasarkan jualan melebihi RM50 juta bagi tahun ini, dengan peningkatan jumlah reruai dan sasaran kehadiran sekitar 50,000 pengunjung sepanjang tiga hari acara.

Sehingga kini, lebih 5,000 usahawan automotif bumiputera telah dibangunkan melalui pelbagai inisiatif MARA termasuk latihan, pembiayaan, fasiliti perniagaan dan bimbingan strategik. MARA juga memberi tumpuan kepada pembangunan industri High Growth High Value (HGHV) serta melatih tenaga kerja mahir dalam bidang automotif melalui institusi TVET MARA.

MATEC 2025 dijangka menjadi platform penting untuk memperkukuh penglibatan usahawan tempatan dalam industri automotif, menyokong agenda kelestarian, serta memupuk bakat baharu bagi kemajuan sektor automotif negara.

Ditulis oleh The Buzzer/Editor

Kadang-kadang lelaki. Kadang-kadang perempuan. Mengumpul berita dari serata ceruk alam maya atau melaporkan secara eksklusif.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Bukan Mahu Selamatkan Thalita, Grand Finale Talk To My Manager Sudah Lama Dirancang • Astro Jawab

Sean Paul Kembali Menggegarkan Malaysia Dengan Konsert Istimewa