Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi TheNoor, berkuat kuasa pada 31 Ogos 2024.
Dalam satu kenyataan di laman Facebook pada Sabtu, Dr Zulkifli menyatakan keputusan tersebut dibuat selepas pertimbangan mendalam dan mengambil kira pelbagai faktor relevan berkaitan tanggungjawab serta masa hadapannya.
Beliau menegaskan bahawa selepas peletakan jawatan ini berkuat kuasa, beliau tidak lagi terlibat dalam sebarang urusan, keputusan, atau aktiviti yang berkaitan dengan TheNoor. “Segala urusan dan tanggungjawab yang melibatkan TheNoor selepas 31 Ogos 2024 adalah sepenuhnya di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab pihak pengurusan baharu,” tambahnya.
Dr Zulkifli turut menzahirkan penghargaan kepada TheNoor atas sokongan yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya. Beliau menyatakan bahawa beberapa program telah berjaya dijalankan dan sedang diusahakan, termasuk ’30 Days Ramadan Capsule’, MoU Kolaborasi Strategik, dan Pembangunan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi Soal Jawab Agama serta Projek eBuku.
Beliau juga yakin bahawa pasukan pengurusan baharu TheNoor akan terus komited untuk mencapai visi dan misi syarikat dengan jayanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TheNoor, Mohd Izzairi Yamin, turut mengumumkan peletakan jawatannya sejak 2 Ogos lalu. Beliau menggambarkan perjalanan bersama TheNoor sebagai pengalaman luar biasa yang penuh dengan cabaran dan pertumbuhan.
Mohd Izzairi menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyokongnya sepanjang tempoh perkhidmatan beliau. Beliau yakin TheNoor akan terus maju dan berinovasi di bawah kepimpinan baharu.
TheNoor adalah aplikasi mudah alih berkonsepkan gaya hidup Muslim yang menyediakan pelbagai ciri seperti waktu solat, arah kiblat, pemain media al-Quran serta terjemahan dalam lima bahasa, iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil, dan Indonesia.
GIPHY App Key not set. Please check settings