Friday • 7 May 2021

Terkini

Farid aka ‘Sub Inspektor Lim’ Bertemu Jodoh Dalam Usia 55

Jodoh pertemuan sesungguhnya aturan Allah SWT. Siapa sangka dalam usia 55 tahun baharulah kesampaian jodoh pelakon mualaf, Mohd Farid Amirul Hisham Wu Abdullah atau lebih popular dikenali sebagai ‘Sub Inspektor Lim’, watak yang dipegangnya dalam drama bersiri ‘Gerak Khas’.

Farid sah bergelar suami kepada wanita yang sudah dikenali selama 6 tahun, Norhayati Abdullah, 39, selepas diijabkabulkan pada 16 Februari 2021 di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bersaksikan enam tetamu, mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang ditetapkan.

Bayangkan sudah 6 tahun mengenali hati budi masing-masing, jodoh mereka hanya kesampaian dalam tempoh negara berperang dengan pandemik COVID-19 pula.

“Semua ini ketentuan Allah. Saya sentiasa berpegang kepada ayat di setiap kesempitan mungkin ada kemudahan,” Farid dilaporkan berkata kepada media selepas gambar perkahwinannya dikongsikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Foto Kredit: FB Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Khabarnya, sifat penyabar, memahami dan tidak banyak kerenah yang dimiliki Norhayati menambat hati Farid untuk bernikah dengan wanita yang dikenalinya ketika melakukan penggambaran di tempat pasangannya itu bekerja.

Tidak menganggap keputusan berkahwin pada usia 55 tahun sebagai terlambat, Farid percaya aturan Allah SWT ada hikmahnya walau pun perancangan menuju mahligai bahgia berdepan pelbagai dugaan apatah lagi ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berkongsi detik-detik sebelum majlis akad nikah disempurnakan, Farid memberitahu terpaksa melalui beberapa rintangan apabila tarikh pernikahan pula terpaksa dipercepatkan tiga hari daripada asalnya.

Jelasnya, mengikut perancangan awal, abang ipar yang menetap di Kelantan sepatutnya menjadi wali tetapi disebabkan larangan rentas negeri, ia terpaksa digantikan dengan abang ipar yang tinggal di Kuala Lumpur sahaja.

“Selain itu kami terpaksa pula menghantar surat permohonan nikah yang baharu. Dan tanpa diduga, ketika majlis sudah ditetapkan abang ipar gantian pula mengalami kecederaan akibat terjatuh dari pokok. Jadi nak tak nak kami terpaksa meminta kebenaran JAWI untuk membawa seorang lagi bagi memapah abang ipar hadir ke majlis akad nikah,” cerita Farid panjang lebar.

Menurutnya, jika digantikan wali lain, mereka perlu sekali lagi mengisi borang baharu dan terpaksa melalui prosedur lain yang tentu sekali melambatkan apatah lagi majlis perlu dipercepatkan.

“Selain itu kami perlu buat ujian calitan di hospital Kerajaan kerana tidak dibenarkan melakukanya di hospital swasta dan ujian itu pula perlu dilakukan dalam tempoh tiga hari, jika tidak laporan dianggap tidak sah,” lapor Farid.

Apa pun itulah dugaan menempuh alam perkahwinan, kita hanya mampu merancang, tarikh dan jodoh berada pada ketentuan Yang Maha Esa jua.

Dan kebetulan juga rezeki berpihak kepada Farid apabila bertembung pula dengan Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang sempat mengucapkan tahniah dan berdoa untuk mereka.

Malah Dr. Zulkifli tidak ketinggalan memuat naik gambar mereka ke dalam laman sosial Facebooknya.  Gambar pasangan pengantin baharu ini turut dikongsikan rakan Farid, pelakon Zulkifli Ismail yang memegang watak ASP Razlan dalam drama sama – Gerak Khas.

Selamat Pengantin Baru Farid dan Norhayati!

TINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Masukkan nama anda di sini

Latest Posts

Video Terkini

Sentiasa bersama F8Buzz

Dapatkan artikel berita, inspirasi, gaya hidup & hiburan terkini, terus ke email anda. DAFTAR SEKARANG!