in , , ,

#Throwback 8 Topik Paling Hangat 2020

Selamat Tinggal 2020, Selamat Datang 2021.

Sepanjang setahun lalu, kita semua diduga dengan hadirnya pandemik COVID-19. Dalam keghairahan ramai yang mahu melangkah ke abad 21 dan menanti penuh debaran ‘Wawasan 2020’ yang dicetuskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed, tiba-tiba kejutan lain pula yang muncul tanpa diundang. Sehubungan itu, ekonomi dunia merudum, rakyat terkesan namun disebalik dugaan Allah SWT ada juga hikmahnya. Pendekata, dalam tangisan ada kemanisannya, banyak suka duka yang dilalui namun bagi F8Buzz, 8 ceritera yang paling hangat dan tular sudah tentu melibatkan industri seni hiburan, politik dan sukan. Di bawah ini dicoretkan serba ringkas berita yang menjadi topik bualan hangat ‘Mak Chik Kiah mahu pun Pak Long’ berakhirnya 2020:-

1. HUBUNGAN NEELOFA-PU RIZ BERGOLAK?

Kisah hubungan antara selebriti popular Noor Neelofa, 31 bersama pendakwah bebas yang so called  ‘tunangnya’, ‘Haris Ismail atau PU Riz, 25, boleh dikatakan gosip terhangat menutup tirai kalendar 2020 yang penuh mencabar tahun ini.

Terbaru, kenyataan daripada empunya diri, Lofa memohon agar netizen mendoakan yang terbaik buat dirinya sekali gus menafikan segala tohmahan yang timbul di mana paling dahsyat apabila kononnya beliau terkena buatan minyak pengasih.

Selain itu,  dikatakan Lofa telah memindahkan sejumlah wang yang agak banyak kepada Haris dan paling mengejutkan lagi apabila dikatakan sudah dinikahkan dengan PU RIz oleh bapanya sendiri di Kelantan.

Namun kesemua andaian itu dinafikan Lofa yang  berpendapat semua cerita yang dilemparkan adalah karut semata-mata dan merupakan tuduhan amat berat ditanggungnya.

Pun begitu, Lofa tidak menafikan setiap hubungan ada cerita-ceritanya tersendiri namun tidak manis baginya untuk bercerita lanjut seraya membelakangkan ahli keluarga.

Bagaimana pun, usahawan ‘Naelofar’ ini mohon agar netizen memberikannya ruang untuk mencari titik penyelesaian terhadap isu yang diperkatakan ramai itu agar tidak berpanjangan.

Bak kata pepatah ‘jika tiada angin masakan pokok bergoyang’, jadi memang sebaiknya lah Lofa segera menyelesaikan sebarang masalah atau perbalahan yang timbul bagi kebaikan kedua buah keluarga agar kata-kata umum bahawa tempoh pertunangan (jika benar bertunang) itu diduga dengan pelbagai cabaran itu tidak sepenuhnya benar kerana jodoh pertemuan di tangan Allah jua kan.

Manusia boleh merancang tetapi akhirnya ajal maut dan jodoh berada di dalam kuasa Allah Taala juga jadi redhalah jika apa yang dihajati tidak kesampaian.

Baik Lofa mahu pun Haris, jika jodoh kalian kuat dan utuh pasti segala rintangan dan dugaan dalam tempoh pertunangan dapat diselesaikan dengan baik tetapi jika sebaliknya sudah tentu orang yang beriman dan beragama seperti mereka dapat menerimanya dengan hati terbuka.

Moga dipermudahkan!

2. PANDEMIK COVID-19 CETUS ‘PANIK’

Rasanya semua setuju koronovirus berbahaya COVID-19 merupakan ‘gangguan’ paling besar dan tentu sekali tidak dapat dilupakan bermula awal tahun 2020 oleh seluruh dunia.

Virus tersebut dilaporkan menular di  Malaysia  pada akhir bulan Januari  2020 apabila para pelancong dari China yang tiba di Johor  melalui Singapura dikesan positif virus berkenaan pada 25 Januari 2020, berikutan pandemik COVID-19 di Hubei, China.

Ekoran peningkatan kes yang tular mendadak menyebabkan Kerajaan Malaysia pada 16 Mac 2020, mengumumkan  pelaksanaan  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa dari 18 hingga 31 Mac 2020 di seluruh negara bagi mengurangkan penyebaran COVID-19 hingga mencetuskan pembelian panik di kalangan rakyat.

Setakat 27 Disember 2020, terdapat sebanyak 105,096 kes yang telah disahkan di Malaysia dengan sebanyak 84,411 kes sudah pulih sepenuhnya dan 452 kes kematian serta 20,233 kes masih aktif.

Malaysia dilaporkan berada di tempat keempat dalam jumlah kes jangkitan dan kematian di Asia Tenggara di belakang Indonesia, Filipina dan Myanmar.

Walau pun kini, Kerajaan telah memberikan sedikit kelonggaran waima seperti kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob bahawa ‘Kerajaan tidak boleh menyekat kebebasan pergerakan orang ramai untuk selama-lamanya’ namun kita sebagai rakyat Malaysia perlu bersama-sama mengawal diri dan mengelak daripada dijangkit virus berkenaan.

Ekoran itu juga, hashtag #jagadiri #dudukdirumah #kitajagakita  merupakan sebutan yang menjadi satu perkataan yang viral dan akan sentiasa berada di hati setiap antara kita. Sampai bila, hanya Allah SWT maha mengetahui, kita hanya perlu berdoa ia dapat dihapuskan nanum norma baharu tetap perlu dipatuhi. Jaga SOP – basuh tangan, pakai ‘mask’ dan penjarakan sosial.

Foto kredit Instagram @nursajat23.

3. SAJAT DI MEKAH TIMBULKAN KONTROVERSI

Sebelum PKP berkuatkasa  pada bulan Mac, isu usahawan kosmetik popular, Nursajat atau nama sebenarnya, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman yang mengerjakan umrah bersama keluarga ke tanah suci Mekah menjadi berita paling tular di media perdana mahu pun laman sosial.

Bukan soal umrah yang dihebohkan waima itu satu kewajipan yang perlu dilaksanakan umat Islam berkemampuan, memang sewajarnya lah seorang berduit seperti Sajat mendahulukan soal beribadat.

Tetapi apa yang diperlakukannya di tanah haram itulah yang menjadi persoalan netizen apabila Sajat dilihat sebagai seorang wanita siap bertelekung dan bukannya dalam ihram. 

Iyalah, bukan kah jantina asalnya dilahirkam sebagai seorang lelaki?

Apakah dia sendiri yang membuat keputusan asal usulnya sebagai perempuan sedangkan dia dilahirkan sebagai Muhammad Sajjad Kamaruzzaman malah jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) belum mengesahkan identiti Sajat secara rasmi kecuali menyatakan Sajat seorang khunsa.

“Bila saya sampai di sini,saya berniat dalam hati..saya nak berbicara dengan Tuhan saya,bicara soal kejadian saya,kenapa saya di lahirkan begini?kenapa saya yang Allah pilih jadi macam ini?kenapa saya yang banyak di berikan ujian? Kenapa saya selalu di katakan dilaknat dan syurga itu bukan milik saya?kalau bergini kejadian saya dimuka bumi ini,kenapa ALLAH jadikan saya?kenapa tidak pada orang lain?Tiada siapa yang hendak di lahirkan serba kekurangan…’ begitu antara coretan Sajat dalam laman Instagramya ketika berada di Mekah.

Sehubungan kontroversi itu juga, agensi pelancongan yang membawa Sajat dan keluarga menunaikan umrah teruk dikecam netizen apabila membiarkan usahawan itu berpakaian wanita ketika berada di Tanah Suci memandangkan status jantinanya yang masih diragui.

Apapun, semoga isu jantina Sajat ini dapat diselesaikan agar tiada lagi caci mencaci dilemparkan bukan sahaja terhadap Sajat tetapi terhadap kesucian dan hak agama Islam di mata dunia.

Adakah kerja umrahnya diterima atau tidak, Allah SWT sahaja yang ada jawapannya, sebaiknya kita jangan membuat dosa dengan menyebarkan lagi sesuatu perkara yang JAKIM pun belum memutuskannya.

Foto kredit: Instagam @nabilmahir.

4. AYDA JEBAT- NABIL BERTUNANG

Pasangan selebriti Ayda Jebat dan Nabil Mahir mencipta sejarah tersendiri apabila mengikat tali pertunangan secara atas talian melalui aplikasi Google Meet pada 28 April 2020 gara-gara mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan pandemik COVID-19.

Majlis yang berlangsung atas talian dari kediaman masing-masing menyaksikan kehadiran kira-kira 20 ahli keluarga kedua belah pihak yang mana tarikh tersebut juga dipilih sempena ulang tahun Nabil ke-32.

Terdahulu, pelakon dan penyanyi bernama penuh Nur Suhada binti Jebat ini dilamar Ahmad Nabil bin Ahmad Mahir pada malam sambutan hari jadi Ayda yang ke-28 pada 17 Mac iaitu sehari sebelum negara menguatkuasakan PKP.

Namun selepas lebih dua bulan mengikat tali pertunangan di mana pasangan ini sering berkongsi perkembangan bersama di laman sosial timbul pula desas desus dan gosip di kalangan netizen yang bertanya apakah mereka sudah tinggal sebumbung walau pun belum sah bernikah?

Cakap-cakap nakal itu terus tersebar apabila Ayda dan Nabil mengambil keputusan untuk mengumumkam tarikh pernikahan bersama melalui saluran YouTube mereka, Wuvv Show pada 7 November 2020.

Dalam pakaian hijau sedondon, Ayda dan Nabil memberitahu yang mereka  sepakat memilih tarikh yang mudah diingati iaitu 1.1. 2021, memandangkan Ayda paling sukar mengingati tarikh lain.

Dan berhubung kenapa mereka selalu dilihat bersama di rumah, Ayda akui belum berani nak keluar kerana takut dengan wabak COVID-19, jadi lebih baik jumpa, mesyuarat dan melakukan penggambaran di rumah yang lebih selamat dan selesa, katanya.

Netizen pun, tentulah ada lagi orang lain kat rumah tu, takkan lah kedua-dua belah keluarga membenarkan mereka berduaan je kerana syaitan akan hadir sebagai orang ketiga tak gitu?

Siti Nurhaliza bersama duta produk BeauSiti, Nabila Razali. Foto kredit: Instagram @ctdk.

5. SITI NURHALIZA UMUM HAMIL ANAK KE-2

Pada 1 Disember 2020, penyanyi nombor 1 negara umum hamil empat bulan anak keduanya selepas 2 tahun melahirkan Siti Aafiyah melalui  kaedah rawatan persenyawaan in-vitro (IVF).

Pengumuman itu dilakukan sempena majlis pelancaran ‘TwoGether BeauSiti X Wonderlab’ yang berlangsung secara virtual bersama media sekali gus memperkenalkan duta kempen produk terbaharunya, Beauessence & BeauNes iaitu penyanyi dan pelakon popular Nabila Razali.

Genap 12 hari selepas itu pula sempena majlis ulang tahun platform e-dagang Shopee  Siti Nurhaliza atau lebih mesra disapa Tok Ti mengambil kesempatan mengumumkan pula jantina bayi yang dikandung iaitu seorang ‘putera’ yang diimpikannya selama ini.

Nampak gayanya walau pun ramai yang terkesan dengan pandemik COVID-19, Siti Nurhaliza boleh menganggap tahun 2020 sebagai satu hikmah tersendiri bagimya  di sebalik dugaan yang menimpa dunia.

Selain menjadi satu-satunya artis yang berjaya melancarkan sebuah album penuh ‘ManifestaSITI2020’ yang merupakan album ke-18nya ketika industri hiburan terkesan dengan wabak koronovirus, Siti berjaya membuktikan jualan albumnya laris.

Selain itu, lagu ‘Aku Bidadari Syurgamu’ yang menjadi runut bunyi drama popular ‘7 Hari Mencintaiku’  di TV3 memecah rekod lebih 7.3 juta tontonan sejak dilancarkan dalam YouTube pada 2 Julai 2020 sehingga  5 petang, 3 September 2020.

Malah lagu ciptaan Ippo Hafiz itu turut memecah rekod Carta RIM sebagai lagu domestik yang berjaya mendapat tempat ke-3 dalam carta Top 20 bersama lagu-lagu antarabangsa dimana kedudukan lagu berkenaan berada di bawah lagu Blackpink serta Ariana Grande.

Pendekata, pencapaian itu merupakan rekod tertinggi pernah dicapai oleh sesebuah lagu domestik di dalam Carta RIM di mana kali terakhir pernah dicapai oleh kumpulan Insomniacks di tangga ke-5 pada tahun 2019.

Dengan pencapaian-pencapain berkenaan sepanjang tahun 2020, tiday syak lagi Siti Nurhaliza sememangnya artis nombor satu negara yang tiada tolok bandingnya setekat ini. Tahniah Tok Ti!

Foto kredit: Instagram @safawirasid29.

6. SAFAWI RASID CIPTA SEJARAH TERSENDIRI

Baharu lebih kurang tiga bulan bintang bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Safawi Rasid, 23,  dipinjamkan umtuk semusim  ke pasukan liga utama Portugal, Portimonense SC, khabarnya beliau sudah kembali ke Malaysia.

Sejak menyertai Portimonense SC, tonggak Harimau Malaya itu dilihat masih belum meraih sebarang ‘debut’ bersama skuad yang beraksi dalam Liga Primeira melainkan memanaskan bangku simpanan dan hanya diturunkan ketika bersama skuad bawah 23 tahun menentang Sporting CP yang menyaksikan pasukannnya tewas 1-3.

Tanda-tanda bayangan Safawi tidak akan berada lama bersama Portimonense SC dilihat menerusi Instastory @Portimonense1 yang memuat naik video dan gambar Safawi bersama kumpulan rakan sepasukannya di kelab Portugal itu dengan kapsyen berbunyi “Safawi…kita adalah satu keluarga…kami mendoakan yang terbaik untuk anda…Terima kasih Johor yang istimewa.”

Ekoran itu, pemilik Kelab Bolasepak JDT,  Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut berkongsi perkara itu di Instagram miliknya beserta ucapan “terima kasih” manakala Safawi juga berkongsi video instastory @Portimonense1 pada laman Instagram miliknya.

Dan terbaharu, gambar yang dimuat naik oleh Safawi di laman Instastory bersama Tunku Ismail menguatkan lagi  perkhabaran yang Safawi sudah pulang ke Malaysia.

Sebelum ini, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengesahkan Safawi akan kembali bersama JDT bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Apa pun, hasrat peminat bola sepak negara untuk melihat Safawi membuat penampilan pertama di Liga Primeira, Portugal tidak kesampaian meskipun pemain kelahiran Dungun itu empat kali berada dalam senarai pemain simpanan.

Ini bermakna, Safawi tidak menghabiskan kontraknya secara pinjaman dengan pasukan Portimonense yang sepatutnya berakhir Mei tahun depan.

Sementara itu, hubungan Safawi dengan adik kepada pelakon Syatilla Melvin, Syifa Melvin, 26,  masih tidak ada sebarang pengesahan rasmi daripada kedua belah pihak.

Hubungan mereka pernah menjadi bualan warganet yang berkongsi cerita mengenai hadiah berupa telefon bimbit  jenama Iphone Pro Max dan beg tangan jenama LV yang diterima Syatila sempena hari jadinya waima Safawi dianggap ‘bodoh’ melakukannya.

Gosip itu tular ekoran dakwaan kemerosotan mendadak pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) musim lalu itu disebabkan tekanan daripada Syifa untuk berkahwin dengan Safawi.

Semoga segalanya dipermudahkan waima jika ada jodoh tidak kemana  malah tidak lari gunung dikejar jika itulah kemahuan pemain muda ini kan cuma apa yang diperkatakan oleh ibunya bahawa Safawi masih muda dan perlu membina kerjayanya dengan lebih kukuh perlu juga dititikberatkan ya tak kerana restu orang tua amat diperlukan bagi kebahagian setiap perkahwinan.?

Foto kredit: Instagram @MUNSYIDMalaysia.

7.  ANAM 2020 MARTABATKAN NASYID PERINGKAT GLOBAL

Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (MUNSYID), buat julung kalinya menganjurkan Anugerah Nasyid Malaysia  2020 atau ringkasnya ANAM 2020, empat hari sebelum berakhirnya tahun 2020 dengan sokongan Kementerian Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), serta Radio Televisyen Malaysia (RTM).

11 kategori dipertandingankan di mana 6 kategori utama dinilai oleh juri profesional meliputi Lagu Nasyid Terbaik, Lirik Nasyid Terbaik, Vokal Terbaik Dalam Lagu, Susunan Muzik Terbaik, Rakaman Lagu Terbaik dan Video Muzik Terbaik.

Selain itu dua kategori melibatkan anugerah khas juri  yang dinamakan  Anugerah Kembara dan Anugerah Khalifah sementara satu kategori dikhaskan buat artis nasyid antarabangsa dari Indonesia, Thailand, Brunei dan Singapura turut diperkenalkan.

Malah bagi penyertaan peminat, mereka boleh memilih mengundi artis kesayangan masing-masing melalui tiga kategori yang disediakan melalui  kategori Artis Nasyid Pilihan, Artis Baru Pilihan serta Artis Nasyid Nusantara.

Penganjuran ANAM 2020 dilihat sebagai satu langkah awal ke arah penganjuran Festival Nasyid Antarabangsa Malaysia pada tahun 2021, sejajar dengan status Malaysia sebagai “The Home of Contemporary Nasyeed” di persada dunia.

Majlis kemuncak yang bersiaran secara langsung dari RTM menobatkan lagu ‘Ittihad’ dari kumpulan Rabbani sebagai penerima Anugerah Lagu Nasyid Terbaik serta Anugerah Lirik Nasyid Terbaik oleh Ito Lara sekali gus Rabbani menggondol Anugerah Vokal Nasyid Terbaik.

Kumpulan terkenal, Raihan memperoleh Anugerah Khalifah manakala  Inteam yang memenangi kategori Artis Nasyid Pilihan turut menerima Anugerah Kembara ANAM 2020.

Pemenang lain terdiri daripada Aniq Muhai sebagai Artis Nasyid Baru; Amin Nordim, Artis Rakaman Nasyid Terbaik untuk lagu ‘Sakit’ nyanyian Areef; Omar K menerima Anugerah Susunan Muzik Nasyid Terbaik bagi lagu ‘Putaran’ nyanyian Fareed Zane.

Yang mengejutkan tiada pemenang bagi kategori Anugerah Video Nasyid Terbaik memandangkan penulis lirik Habsah Hassan selaku salah seorang juri profesional berpendapat tiada video yang dilihat ada kriteria untuk dinobatkan sebagai yang terbaik.

Dalam pada itu, Anugerah Nasyid Nusantara menamakan artis dari Indonesia, Sabyan sebagai penerima pertama ANAM 2020.

Sesungguhnya, ANAM 2020 merupakan satu inisiatif yang baik dalam memartabatkan genre muzik nasyid Malaysia sebagai satu cabang kesenian Islam dan instrumen dakwah ke peringkat antarabangsa.

Tahniah!

8.   DR M LETAK JAWATAN, MUHYIDDIN PM KE-8, NAJIB KEHILANGAN IBU

Sepanjang tahun 2020, berita yang paling panas dan mengejutkan negara apabila Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed meletakkan jawatan pada 24 Februari 2020, sejak memegang tampuk kepimpinan negara sebanyak dua kali sebagai PM ke-4 dan ke-7.

Sehubungan itu, buat pertama kalinya dalam sejarah, Malaysia mempunyai Perdana Menteri Interim selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Tun Dr Mahathir Mohamad menyandang kedudukan itu buat sementara waktu sebelum PM baharu dilantik.

Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri pada kira-kira jam 1 tengah hari dan pada jam 7.30 malam pada hari sama, beliau dilantik sebagai perdana menteri interim.

Lebih mengejutkan apabila selepas bergelar Perdana Menteri Interim dalam tempoh Kerajaan belum ditubuhkan waima kabinet Kerajaan Pusat (PH) bubar secara automatik, Tun Dr. Mahathir menyuarakan pula keinginannya untuk kembali menjadi Perdana Menteri ke-8.

Tindakannya itu sudah tentu menimbulkan rasa keliru rakyat apatah lagi beliau yang meletakkan jawatan tetapi beliau juga yang mahukan kembali jawatan tersebut.


Kemelut politik yang melanda itu mengakibatkan kekalutan namun akhirnya Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 berkuatkuasa 1 Mac 2020 sebaik sahaja Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan disempurnakan di Istana Negara.

Terbaharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan akan menjadi antara individu pertama menerima suntikan vaksin COVID-19 sebagai langkah untuk meyakinkan rakyat bahawa vaksin yang diperoleh adalah selamat dan berkesan.

Kerajaan menjangkakan bekalan pertama sejuta dos vaksin dari Pfizer akan diterima dan mula diberikan kepada kumpulan sasar seawal Februari 2021.

Di luar negara, bakal Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden,78,  mengambil dos suntikan vaksin COVID-19 di Hospital Christiana di Newark, Delaware yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen  pada 21 Disember 2020, sebagai sebahagian usaha pemimpin AS itu meyakinkan rakyat tentang keselamatan vaksin tersebut.

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri ke-6, Dato Sri Najib Tun Razak yang bukan sahaja berdepan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah terhadap 7 tuduhan pecah amanah, menyalahkan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42j milik SRC International Sdn Bhd (SRC), turut kehilangan insan yang paling dikasihinya, ibunya Tun Rahah Tan Sri Mohamed Noah,  yang kembali ke Rahmatullah dalam usia 87 tahun.

Biar pun, Najib merupakan ketua negara pertama di Malaysia diheret ke mahkamah namun di bawah pentadbiran Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin, pengkebumian balu kepada perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein itu diberikan penghormatan istiadat pengebumian negara di mana jenazahnya disemadikan di Lingkaran Makam Pahlawan pada 19 Disember 2020 iaitu sehari selepas Tun Rahah menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Prince Court, sekitar jam 4.45 petang Jumaat, 18 Disember 2020.

Tabik kepada Tan Sri Muhyiddin yang memberikan penghormatan itu dan mengetepikan apa jua perasaan dan pertelingkahan yang berlaku dalam arena politik antara beliau dan Najib demi agama dan bangsa apatah lagi Allah SWT melaknati mereka yang memutuskan hubungan silaturrahim umum!.

Ditulis oleh The Buzzer/Editor

Kadang-kadang lelaki. Kadang-kadang perempuan. Mengumpul berita dari serata ceruk alam maya atau melaporkan secara eksklusif.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Ayda Jebat Akui Mengurat Nabil. Nikah 1.01.2021

Ayda Jebat, Nafiz Muaz Buka Tirai Perkahwinan Artis 2021